Jumaat, 16 Disember 2011

Sifat Ananiyah (keakuan diri)

Di dalam tausiyah guruku, beliau telah menekankan betapa pentingnya para ulama mendalami proses penyucian batin dan mencari perjalanan hakikat. Tiadalah salah untuk membicarakan soal tareqah, kerana semua tareqah adalah baik dan benar. Tetapi yang paling benar di dalam tareqah adalah bergantung kepada Mursyidnya.Tasauf bukannya pada zikir tetapi pada Mursyid. Walaupun sanadnya benar, tetapi andainya tiada Mursyid yang benar, maka tiada mereka akan sampai kepada hakikatnya, seumpama seorang pemandu kereta yang tiada pengetahuan tentang selok-belok kenderaan yang dipandunya, pasti tiada menyampai mereka kepada destinasi perjalanan, termasuklah mereka yang menumpang kenderaan tersebut.


Berkata beliau lagi, sekarang beliau tiada lagi suka untuk berbicara soal bunga dan kulit semata-semata. Semuanya itu hanya mainan hujah sesama manusia tetapi batin belum lagi terlepas daripada syirik “keakuan diri”. Mereka itu tiada bertuhan kepada berhala tetapi bertuhan kepada diri sendiri. Inilah masalah yang dihadapi oleh para alim ulama dan menurut guruku, kadang-kadang menjadi orang awam itu lebih selamat daripada menjadi orang alim tetapi menyesatkan. Mereka itu tiada faham akan hakikat. Sifat sebenar seperti apa yang yang ditekan di dalam kitab ialah kejujuran kita dengan ALlah SWT. Ramai yang tertipu, orang kaya, orang alim, ahli 'abid, semuanya tertipu.