Rabu, 11 Oktober 2023

PERANG PALESTINE 2023

 

Perperangan yang berlaku kini di Palestine akibat serangan Hamas adalah luarbiasa tidak sama dgn perperangan sebelumnya.

Jelas ketakutan pada pihak Israel dengan melakukan pembalasan kepada orang awam. Kemenangan kini berpihak pada HAMAS. 

Namun ia bukan jalan yang mudah, US sebagai perlindung utama Isreal tidak akan membenarkan kemenangan pada Hamas apalagi pilihanraya Presiden semakin hampir.

Serangan balas dari US dan sekutunya akan berlaku jika dilihat Israel semakin terancam. Rusia,Iran,Cina malah mungkin Arab Saudi akan bersama Palestine.

Ia pasti menambah parah kepada ekonomi dunia yang kini sudah pun tenat. Kita perlu bersedia hadapi zaman kesakitan dari aspek rohoni,mental dan gerak kerja.

Kelemahan Presiden US kini dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak lawan. US tidak lagi digeruni. Begitu juga agen Mosad Israel yg terkenal menjd bahan ketawa krn tak mampu mengesan serangan  yg akn dilakukan HAMAS.

HAMAS adalah ASWJ yg tertarik dengan Gerakan Ikhwan Muslimin di Mesir yang diasaskan oleh Imam Hasan al Banna. Tika Morsi menjd Presiden Mesir, Hamas mendpt kekuatan kerana banyak bantuan diperolehi.

Namun apabila Morsi dijatuhkan dan diganti dgn  Abd Fatah as sisi, maka tiada lagi bantuan malah dianggap musuh utama lantaran HAMAS dianggap sekutu Ikhwan Muslimin yg diharamkan di Mesir. 

HAMAS juga disenaraikan sebagai Penganas oleh US dan Antarabangsa, maka segala bantuan tidak boleh disalur pd Hamas krn akan dicop sebagai membantu Penganas.

Hanya Iran satu² Negara Islam yg berani membantu HAMAS walaupun berlainan mazhab. Mereka bersatu hadapi musuh yg sama iaitu Israel dan mengenepikan perbezaan Mazhab.

Hizbullah yang berpengkalan di Lebanon adalah sebuah badan jihad bermazhab Syiah mempunyai hubungan yang akrab  dengan Hamas dalam aspek ketenteraan.

Ada kelompok Islam yang sedang mainkan Isu Hamas adalah sekutu Syiah, maka tidak perlu disokong kerana mereka membawa agenda Syiah.

Dalam suasana perang yang  getir ini, tiada sepatutnya isu ini dipermainkan. Hamas dan Fatah adalah ASWJ namun ada perbezaan dalam mazhab  siasah namun mereka saling menghormati.

Begitu juga dgn Hizbullah dan Iran,mrk bermazhab Syiah namun saling hormati dgn mazhab Sunni para penduduk dan pejuang Palestine.

Isu kebersamaan dalam perang tak boleh dikaitkan dengan kebersamaan dlm mazhab. Suasana perang juga membawa suasana yg mrk tak sempat untuk besarkan perbezaan mazhab, mereka hadapi musuh yang sama penuh kezaliman. Mereka  lebih tumpu kpd kebersamaan menyusun perang dan keselamatan daripd isu perbezaan mazhab.

Kita yang aman ini sahaja ada masa berperang hal khilafiah dan perbezaan Mazhab. 

Dalam Syiah mengikut Tuan Guru Hj Hadi miliki pelbagai mazhab, ada yang hanya Syiah dalam siasah namun dalam bab akidah dan mazhan adalah sunni. Ada yang melampau mengkufurkan sahabat dan isteri Rasulullah saw,namun ada yang sederhana menentang golongan radikal tersebut.

Tika ini kita perlu bersama dengan Para pejuang Hamas dalam menentang Israel, berilah bantuan apa jua bentuk yang mampu dilakukan. Adapun isu yang lain kita selesai secara dalaman kemudian.

Kalam² yg mengaitkan Hamas diperkuda oleh Syiah perlu dilempar jauh lantaran suasana getir yang mereka hadapi. 

Tika seluruh dunia memulau Hamas dengan tanpa bantuan, apakah pilihan yang ada pada Hamas untuk meneruskan perjuangan. Berdamai  dengan Israel seperti Fatah atau meneruskan perjuangan menentang Israel.

Jika mahu meneruskan perjuangan maka perlu bersama dgn Iran yang tetap teguh berani membantu. Mereka tiada pilihan ke dua.

Akhir kalam kita Ucap tahniah pd kerajaan Malaysia  yang tetap konsisten dalam isu Palestine walaupun bertukar PM dan Parti kerajaan, terus bersama mendukung Palestine dlm memperjuangkan hak mereka  dan menentang kezaliman Israel pada rakyat  Palestine.

Rakyat Malaysia perlu bersatu dalam isu Palestine.

Wallahualam.

WIAM

11.10.2023

Jumaat, 8 September 2023

KIAMAT INTERNET DAN ELEKTRIK

 

Tanpa disedari manusia secara halus terperangkap dalam penjara besar internet dan elektrik.

Tika mana hidup manusia telah bergantung sepenuh dengan sistem elektrik dan internet, tiba-tiba semua dihentikan. Kiamat Elektrik dan Internet akan berlaku. Segala kehidupan akan terhenti.

Bangunan dan rumah-rumah megah yang kelihatan di bandar besar dengan segala teknologi tiada boleh bertahan walau satu minggu jika tiada elektrik dan internet. 

Para penghuni akan berduyun keluar, segala maklumat hilang, segala kekayaan hilang, segala gedung makanan tiada dapat operasi, segala perhubungan terputus, pam minyak tak dapat beroperasi menyebabkan kenderaan tersadai, kapal terbang, keretapi tak bergerak.

Kilang-kilang yang membekalkan segala kegiatan sumber kehidupan terhenti. Bank-bank yang menyimpan data penyimpan dan kewangan terhenti.

Segala kegiatan kehidupan manusia zaman moden ini akan terhenti. Cukup satu minggu sebuah Negara akan menyerah kalah dan akan tunduk kepada segala tuntutan yang dikehendaki jika mahu berjalan seperti biasa.

Kiamat Internet dan elektrik mungkin akan berlaku. Manusia hanya diberi dua pilihan samada mengikuti atau musnah kehidupan.

Kita perlu bersiap. Serangan melalui atap-atap rumah.

Wallahualam.
Walid Ibrahim Al Malik

Jumaat, 29 Oktober 2021

Redha dan Sabar

Para Kekasih Allah melalui kesedihan dengan penuh Redha dan Sabar, malah dia mencintai kesedihan tersebut dan tiada mahu hilang dalam dirinya walaupun penuh kesakitan lantaran ia membawa kejernihan jiwa dan bermanja dirinya dengan Allah.

Sesiapa yang dicintai Allah, nescaya akan dijadikan hidupnya melalui pelbagai kesedihan, jika mereka Redha dan Sabar, akan diangkat dalam wilayah para kekasihNya

Hati yang penuh kegembiraan, sedikit kesedihan sukar untuk mencapai wilayah Cinta lantaran banyak kelalaian dan kesombongan

Semakin hidup penuh kesedihan dilalui dengan Redha dan Sabar, semakin tinggi kedudukan di sisi Allah, semakin tinggi kedudukan syurga yang diperolehi..

Jangan memusuhi kesedihan kerana di dalamnya penuh hiburan yang disediakan Allah apabila dilalui dengan Redha dan Sabar..

Sesungguhnya cara Allah menyayangi mu kadangkala amat menyakitkan mu namun itulah kebaikan untuk dirimu.

@Ibnu Muhamad

Selawat Meringankan Beban

 

Hidup ini banyak bebanan, jika diri mu lemah akan akan terasa amat berat bebanan, jika diri mu kuat, bebanan akan terasa ringan, jika lebih kuat akan lebih lagi ringan...

Jika selawat yg diamalkan dalam 300 sehari masih terasa berat bebanan pada jiwa, tingkatkan menjadi 500 sehari agar terasa ringan, jika masih berat lagi tingkatkan menjadi 1000 sehari, begitulah seterusnya ditingkatkan jumlah selawat.

Semakin banyak selawat , rohoni mu menjadi kuat hubungan dgn Rasulullah Salallahu alahi wasallam, maka dengan sendiri membawa kuat hubungan dgn Allah

Semakin kuat hubungan dgn Allah, bebanan permasalahan kehidupan akan semakin ringan

Semakin Rohoni mu berterbangan kpd Allah, segala bebanan dunia semakin jauh meninggalkan mu

@Ibnu Muhamad

Dunia Yang Penat

 

Dunia adalah tempat kepenatan pada badan, fikiran dan hati, ada kepenatan yang bernilai di sisi Allah, ada kepenatan yang sia-sia  sahaja malah ada yang dimurka Allah

Kepenatan badan lantaran kerja keras, kepenatan fikiran lantaran banyak berfikir, kepenatan hati lantaran banyak kesedihan, keresahan dan kebimbangan

Beruntung mereka jika kepenatan untuk mencapai Redha Allah dan Rasul, rugilah mereka jika kepenatan untuk mencapai Redha manusia dan nafsu

@Ìbnu Muhammad

Rabu, 5 Jun 2013

Kalimah Nafi & Isbat

SEPUTAR KEFAHAMAN TENTANG NAFI DAN ISBAT YANG DIBENTANGKAN OLEH AYAHANDA WALID AL MALIK

Kalimah syahadah La ilaha iLLah mengandungi dua komponen; nafi dan isbat. Nafi ialah kalimah la ilaha yang bermaksud tiada tuhan dan isbat ialah illaLLah yang bererti melainkan Allah.

Sementara Allah adalah nama bagi dzat, sifat , asma' dan af'al.

Justeru kalimah nafi isbat terkandung di dalamnya penafian akan dzat, sifat, asma' dan af'al dan mengisbatkannya hanya pada Allah.

Nafi dan isbat pada dzat ialah kita menafikan wujud yang sebenarnya melainkan Allah. Wujud selain dari Nya hanya lah wujud yang diciptakan yang berada dalam genggaman kekuasaan Nya.

Juga kita menafikan adanya wujud yang qadim, baqi, mukhalif lil khalqi, qaim bi nafsih melainkan wujud Nya yang wahdaniy (tunggal).

Manakala nafi dan isbat pada sifat pula ialah dengan kita menafikan adanya sifat lain melainkan Allah. Sifat-sifat yang lain itu tiada bercerai (kam munfasil) dan tiada bersatu (kam muttasil) dengan ketunggalan sifat Allah. 

Tiada yang bersifat dengan qudrat, iradat, ilmu, hayat, sama', basar dan kalam melainkan Allah. Apabila kita melihat kita nafikan penglihatan itu milik kita dan kita isbatkan hanya milik Nya.

Jumaat, 6 Januari 2012

Bicara Walid - Berada Di Dalam Ilmu


الرَّحِيمِ الرَّحْمَٰنِ اللَّهِ بِسْمِ

(Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang)



Dalam pelajaran ilmu makrifatullah di mana-mana sekalipun, saya menekankan kepentingan pembelajaran ilmu ini sebagai asas yang utama berdasarkan sandaran pegangan orang tua kita, bersandar pada ulama’-ulama’ kita.

Awaluddin makrifatullah. Awal agama kita wajib mengenal Allah. Apabila kita tidak mendalami pelajaran mengenal Allah dengan sempurna, kita beribadah, kita beramal bagaikan orang-orang yang belayar yang tidak mengetahui ke manakah arah tujuan pelayaran itu atau bagaikan orang yang berkayuh perahu di atas darat atau bagaikan orang yang menyelam bukan di dalam lautan. Jiwa mereka tidak mencapai hakikat.

Di dalam pelajaran makrifatullah, seseorang itu wajib terlebih dahulu mengenal di manakah Allah memperkenalkan diriNya kerana di situlah tempat cermin kita untuk memandang dan mengenal akan Allah. Di manakah tempatnya Allah mentajallikan segala rahsia-rahsiaNya untuk dilihat, dipandang dan dipelajari agar manusia dapat mengenal akan dirinya.

Jumaat, 16 Disember 2011

Sifat Ananiyah (keakuan diri)

Di dalam tausiyah guruku, beliau telah menekankan betapa pentingnya para ulama mendalami proses penyucian batin dan mencari perjalanan hakikat. Tiadalah salah untuk membicarakan soal tareqah, kerana semua tareqah adalah baik dan benar. Tetapi yang paling benar di dalam tareqah adalah bergantung kepada Mursyidnya.Tasauf bukannya pada zikir tetapi pada Mursyid. Walaupun sanadnya benar, tetapi andainya tiada Mursyid yang benar, maka tiada mereka akan sampai kepada hakikatnya, seumpama seorang pemandu kereta yang tiada pengetahuan tentang selok-belok kenderaan yang dipandunya, pasti tiada menyampai mereka kepada destinasi perjalanan, termasuklah mereka yang menumpang kenderaan tersebut.


Berkata beliau lagi, sekarang beliau tiada lagi suka untuk berbicara soal bunga dan kulit semata-semata. Semuanya itu hanya mainan hujah sesama manusia tetapi batin belum lagi terlepas daripada syirik “keakuan diri”. Mereka itu tiada bertuhan kepada berhala tetapi bertuhan kepada diri sendiri. Inilah masalah yang dihadapi oleh para alim ulama dan menurut guruku, kadang-kadang menjadi orang awam itu lebih selamat daripada menjadi orang alim tetapi menyesatkan. Mereka itu tiada faham akan hakikat. Sifat sebenar seperti apa yang yang ditekan di dalam kitab ialah kejujuran kita dengan ALlah SWT. Ramai yang tertipu, orang kaya, orang alim, ahli 'abid, semuanya tertipu.

Rabu, 30 November 2011

Jagalah hati...

Renunglah selalu hati kita 
Kerana ia merupakan sumber kebaikan dan kejahatan 
Wadah kekufuran dan keimanan 
Rebutan di antara malaikat dan syaitan

Hati perasaannya halus 
Sentuhannya tiada terasa 
Tapi sangat memberi kesan di dalam kehidupan kita 
Siapa yang arif perjalanan hatinya

Faham kebaikan dan kejahatannya 
Bersungguh-sungguh bermujahadah membuang kejahatannya 
Diganti segera dengan kebaikan 
Orang itu akan selamat dari tipu daya syaitan dan dunia

Ramai orang tidak faham perjalanan hatinya sekalipun ulama 
Terima sahaja yang baik dan yang buruknya 
Kemudian merasakan baik semuanya 
Tiada terasa lagi membuat dosa

Di sinilah perlu pimpinan guru yang mengenal hati manusia
Ia dikatakan mursyid

Tanpa pembimbing maka mudah tersesatlah kita

Kerana cahaya makrifatuLlah ada pada kekasih Allah

Carilah dia, gengamlah dia
Hormatilah dia, beradablah dengannya
Ilmu dari dadanya menusuk ke dada kita
Bukan hanya ilmu di akal kerana akal jua lemah

Hati adalah Raja kepada seluruh anggota atau kerajaan


Ya Rabbi, 
Ampunkanlah diriku yang sentiasa lalai dengan-Mu
Bersihkan diriku yang penuh kekotoran ini
Sucikanlah diriku yang penuh sifat zulumat ini
Hidupkan cinta dalam hatiku pada mereka yang mencintai-Mu.
Amin....

Ku perlukan lagi bimbinganmu...

Alangkah sedihnya hati ini...
Bila mendengar sang ayah...
Ingin meletakkan jawatan sebagai pemimpin dan pembimbing bagi diri ini
Mampukah diri ini untuk berjalan sendirian tanpa pembimbing dan pemandu?

Alangkah pedihnya hati ini...
Bila sang ayah sudah letih dan penat...
Dengan karenah dan perangai anak-anak seperti diri ini
Tiada menghargai pengorbanan dan cinta sang ayah...

Ku tafakur ke dalam diri ini
Merenung serta muhasabah dalam diri yang hina ini
Layakkah daku untuk memimpin diri sendiri?
Mampukah daku untuk mengharungi ujian hidup tanpa bimbingan dan pertolongan sang ayah?

Bila sang ayah sudah penat dan letih dengan karenah anak-anak
Maka anak-anak yang dahaga ilmu dan bimbingan perlu merenung dalam diri sendiri
Apakah yang menyebabkan sang ayah begitu letih dan penat dengan anak-anak?
Adakah anak-anak terlalu nakal, terlalu degil atau terlalu keras hati?

Wahai ayah,
Daku masih perlukan bimbingan dari mu
Daku masih perlukan pimpinan mu
Daku masih perlukan cinta dari mu
Daku masih perlukan perhatian mu

Ya Allah,
Dengan berkat syafaat Rasul kekasih-Mu,
Aku insan hina dina
Aku insan lalai, leka dan alpa
Aku insan tiada menghargai sesuatu
Aku insan tiada menghargai cinta..
Bantulah daku, ingatkanlah diriku,
Tunjukkanlah daku, 
Limpahkanlah keberkatan-Mu terhadap diriku
Ku perlukan cahayaMu melalui para kekasihMu
Untuk daku berjalan di dunia yang penuh kegelapan ini...

Ku pohon keampunanMu
Sebab diriku penuh dengan dosa-dosa dan kelalaian......

Amin....