Jumaat, 17 Jun 2011

Kepada siapa kemarahan kita?

Ada sebuah kisah iaitu seorang isteri melenting dan marah apabila merasai isi sebiji tembikai (timun cina –bahasa Terengganu) yang tidak manis kepada suaminya. Sang isteri marah kepada suaminya yang membeli buah tersebut di tepi jalan. Maka di sini kepada siapa sebenarnya kemarahan sang isteri itu? Kepada suaminya ke? Kepada penjualnya ke? Kepada pekebun atau peladangnya ke? Atau kepada Pencipta buah?

Kehidupan adalah satu perjalanan. Seseorang itu berjalan dari alam yang tiada kepada ada dan dari sesuatu tempat ke sesuatu tempat. Di dalam perjalanan tersebut pasti terdapat halangan, ujian dan pengorbanan untuk sampai ke destinasi yang hendak dituju. Perjalanan ini memerlukan kenderaan, kewangan, makanan dan peta sebagai bekalan dan persediaan. Maka di sini perlulah kita fahami bahawa hakikat kehidupan kita juga adalah sama seperti satu perjalanan hidup kembali kepada Allah swt. DariNya kita datang dan kepadaNya kita dikembalikan.

Di dalam perjalanan ini, ada masa kita akan gembira, ketawa, seronok dan adakala kita akan merasa sedih, derita dan sengsara. Ujian ini akan tetap berterusan dan berjalan sehinggalah sakratulmaut (perpisahan di antara Ruh dan jasad).


Milik kita adalah satu PINJAMAN. Seseorang yang memahami bahawa apa itu pinjaman pasti dia tidak akan menjadi resah dan gelisah dengan apa dia ada. Sebab dia mengetahui bahawa pinjaman tetap pinjaman di mana pinjaman mesti dipulangkan. Begitu juga dengan kehidupan kita, apa yang kita ada di sekeliling ini adalah ‘pinjaman’. Jasad ini sendiri pun adalah pinjaman semata-mata daripada Allah swt. Apatah lagi anak, isteri, suami, harta, kekayaaan, kenderaan, rumah, dan sebagainya adalah sebuah pinjaman daripada Allah untuk kita pergunakan untuk menyenang dan memudahkan peribadatan kita kepada Allah swt. Apabila pinjaman ini ditarik daripada kita pada bila-bila masa maka hati kita tidak perlu resah dan gelisah dengan penarikan ini kerana pinjaman ini adalah ‘pinjaman’ dan ia adalah hak milik kekal Allah swt. (We are nothing!)



Apabila seseorang itu merasa resah, gelisah, tidak puas hati dengan kehilangan sesuatu apa yang dia ada maka di sini jelas menunjukkan bahawa hatinya telah mengatakan pinjaman tadi adalah hakmiliknya yang kekal. Penyakit ini yang amat berbahaya yang perlu dibuang dalam hati kita. Semailah SABAR dan REDHA dengan apa yang berlaku.

Firman Allah swt yang bermaksud:
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:
(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
(Al-Baqarah:155-157)



Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya
Kita sebagai manusia tidak boleh lari walau sedikit pun daripada takdir Allah swt. Nafas yang masuk dan keluar daripada lubang hidung kita ini adalah ‘satu takdir’ yang telah ditetapkan. Barangsiapa melawan dan menahan nafas ini, maka binasalah dia.


“Barangsiapa merasai semua musibah dan takdir yg dialami adalah DATANG DARI ALLAH, dia merasai bergerak dan diam dia BERSAMA ALLAH, dan hidup, ibadat, kerja dan pergorbanan UNTUK ALLAH maka tenang dn tenteramlah HATInya walau sejuta musibah dan masalah yang timbul dlm kehidupannya...”.

Benarlah firman Allah untuk mereka yg jiwa tenang dgn ujian dan takdir Allah;
“Wahai mereka yang berjiwa mutmainah(tenang), kembalilah kpada Tuhanmu
dalam keadaan (kamu) redha dan diredhai (Tuhan), maka masuklah kamu ke dalam golongan hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu.”
(Al-Fajr:27-30)

Begitu juga apa yang telah berlaku dan akan berlaku, semua itu adalah milik dan dalam pengetahuan Allah swt. Adapun kita hanya diberikan sedikit qudrat dan iradat (diperkuasakan dan diperkehendakan) untuk berusaha dan berikhtiar menjalankan segala syariat dan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah swt. Namun perlu kita fahami bahawa usaha dan ikhtiar kita sedikit pun tidak memberi bekas atau kesan. Yang menjadikan dan yang menentukan atau yang memberi bekas hanyalah Allah swt. Mudah-mudahan usaha,ikhtiar dan cita-cita kita selari dan sejalan dengan takdir yang telah ditetapkan kepada kita.
Wallahu'alam


*Hati-hati dalam hati kita sebelum memarahi sesuatu...