Selasa, 19 April 2011

Kalam dari seorang ArifbiLlah



Dirimu adalah rahsia Allah, tiada yang mengetahuinya melainkan yang berilmu, mengenali diri adalah pembukaan pada alam ghaib yang tinggi. Ramai manusia yang telah buta dan tertipu dengan pandangan basyariah, mereka tidak dapat melihat hakikat disebalik kehidupan. Jiwa dinodai dengan cinta dunia, Tuhan dibelakangi dan akibatnya hati terhijab dengan cahaya kebenaran. Hati tidak berfungsi sebagai alat menerima hidayah, hati tidak menyelami rahsia makrifat dan akhirnya hati menjadi mati untuk iman.

Amat bahaya kehidupan ini jika tiada ilmu, ilmu adalah cahaya bagi jiwa bagaikan matahari bagi alam. Tanpa cahaya manusia dalam kegelapan dan begitu jua tanpa ilmu, manusia kegelapan dalam melihat kebenaran. Tiada jalan lain, kembalikan rohani kepada kebersihan sehingga terpancar kembali ilmunya dialam arwah bagaikan mata air yang keluar dari bumi. Cahayakan kembali ia dengan mematuhi segala hukum syariatnya, beramal dengan jalan tarekah tasauf yang haq sehingga mencapai maqam hakikat dan makrifat. Janganlah hanya berdiri dialam syariat sahaja, berdiri diatas ilmu fekah semata-mata. Ia boleh mengeraskan hati sehingga jiwamu jauh dari kelembutan dan keindahan amal Islam. Tenggelamlah dirimu dalam lautan tasauf yang akan membawa dirimu mengecapi kebahagiaan yang hakiki. Islam akan menjadi kuat apabila pendukungnya adalah mereka yang berjaya menundukkan hawanafsu, Islam akan kelihatan indah pada mukmin yang jiwanya terpancar rahsia makrifat. Wallahualam.
Oleh: al faqir WALID ASY-SYATHARI