Sudah hampir sebulan (bulan May) saya tidak mengemaskini blog catatan hamba ini kerana masa dan peristiwa-peristiwa yang sedikit sebanyak telah menghalang saya untuk berbuat demikian. Sudah tentu sahabat-sahabiah, tuan, puan, saudara dan saudari menanti akan tulisan saya di blog ini dengan tanda tanya kenapa blog ini tidak dikemaskini.
Pertamanya saya merafa’kan kesyukuran kepada Allah swt kerana telah mentakdirkan diri saya ini berada di dalam Iman dan Islam walapun diuji dan dicuba dengan bermacam-macam perkara sehingga kadangkala akal tidak berfungsi lagi untuk mencari jalan penyelesaian. Jalan seterusnya untuk jalan penyelesaian adalah menggunakan hati dengan syukur, sabar dan redha dengan keadaan yang telah berlaku dan akan berlaku. Dengan ujian ini, teringatlah saya akan firman Allah swt yang bermaksud;
“Apakah manusia menyangka akan dibiarkan berkata: Kami telah beriman, padahal mereka belum diuji? Sesungguhnya Kami telah uji orang-orang yang dahulu, sehingga mengetahui siapa yang beriman dan siapa yang berbohong.” (al-Ankabuut:2-3)SubhanaLlah……inilah peringatan yang saya perlu fahami kenapa “terekat ujian” terus menerus melanggari diri yang fakir dan dhaif ini….
“Maha Suci Allah yang ditanganNyalah segala kerajaan dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu, yang menjadikan mati dan hidup supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun” (Al-Mulk:1-2)
“Kamu sungguh-sungguh akan diuji terhadap harta dan dirimu.” (Ali-Imran:186)
“Apakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu cubaan sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka dtimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya; “Bilakah datangnya pertolongan Allah?”Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (Al-Baqarah:214)
Diri ini juga merasa tenang dan tenteram di atas ujian ini kerana firmanNya yang bermaksud;
“Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.”(al-Baqarah :45)MasyaAllah…..Tuhan tidak menurunkan ayat-ayat ini tanpa ujian dari-Nya…….Namun hakikatnya diri ini memang bersifat seperti firman-Nya yang bermaksud;
“Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah, dan kuatkanlah kesabaranmu, bersedialah, serta bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu mendapat kejayaan atau kemenangan.” (ali-Imran: 200)
“Sesungguhnya Kami (Allah) akan mendatangkan sedikit cubaan kepada kamu yang merupakan ketakutan kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan, maka gembiralah orang-orang yang sabar.” (al-Baqarah:155)
“Sesungguhnya manusia dijadikan bersifat tamak dan kikir. Bila ditimpa kesusahan berkeluh kesah. Bila mendapat keuntungan menjadi bakhil(kikir). Selain orang-orang yang solat. Yang terus dengan tetap melakukan solat itu”. (al-Ma’rij:19-23)Sebab itulah hati ini sentiasa merasai resah dan gelisah ketika diberi ujian………..Namun ubatnya telah kujumpai di dalam diriku dan diri-Mu....
Ya Allah Ya Tuhanku Yang mentadbir perjalanan hidupku, yang mentakdirkan setiap keluar masuk nafasku…..Berikanlah kekuatan dari sifat-Mu yang Maha Berkuasa untuk menjalankan amanah-Mu dan berikanlah daku hidayah dan petunjuk untuk aku membuat apa jua tindakan dalam urusan agama dan kerja duniaku….amin