Untuk menuntut Ilmu KeTuhanan melalui jalan para ‘arifbiLlah, kita mestilah memahami beberapa syarat atau disiplin yang perlu ada, tanpanya perjalananmu tidak sempurna kecuali mereka yang dikehendaki oleh Allah. Kalam hikmah dalam al-Hikam mengatakan “permulaan awal yang benar akan melahirkan akhir yang benar.”
Allah telah menciptakan alam ini, perjalanan insan dengan hukum sebab musabab.
Firman Allah yang bermaksud:
“Allah tidak akan mengubah nasib satu kaum jika mereka tidak mahu mengubahnya”. (Ar-Ra’du : 11)Kita perlulah mendapat bimbingan seorang guru yang mursyid yang memiliki segala syarat-syarat dan kelayakan. Berhati-hatilah dengan zaman ini kerana amat sukar untuk mendapatkannya sehingga Imam Al-Ghazali mengatakan, (bertemu) guru mursyid di zamannya bagaikan mendapat belerang merah.
Ramai yang ada pada hari ini adalah (guru) dakwaan, kepalsuan malah ramai yang mengambil kesempatan untuk mendapatkan pengikut yang ramai, mendapatkan kekayaan, kehormatan dan mengambil kesempatan terhadap wanita melalui jalan yang tiada syarak. (Mereka juga) memasukkan pelbagai ajaran kebatilan, membuat pelbagai dakwaan seperti ia adalah wali Allah, sultan Auliya, Qutub Alam dan sebagainya. Mendakwa dapat kasyaf, memiliki firasat, karamah, sentiasa didatangi Imam Mahadi, para wali yang ghaib, mencari harta karun, berguru dengan guru ghaib, berhujah dengan ilham, mimpi, suka menceritakan hal-hal kerohanian dirinya, mendakwa boleh meninggalkan syariat atau meringankan syariat kerana sudah mencapai fana dan sebagainya.
Sebaiknya dibuat penilaian dari sudut akidahnya, ibadahnya, akhlaknya, syariatnya, ilmunya, pegangannya, salasilahnya, perguruannya. Kita juga perlu melihat akhlaknya seperti amat ikhlas, menjauhi akan kemasyhuran, tiada mencintai makhluk malah suka jika ditinggalkan, suka bersendirian kerana asyik dengan Tuhannya, mempunyai pelbagai ilmu, tidak jumud dan sebagainya.
Jauhilah guru yang membuat pelbagai dakwaan atau yang menunjukkan kelebihan kerana ia bukan matlamat tasauf yang hakiki. Ingatlah bahawa guru akan menjadi sahabat sejati dimana ia amat mempengaruhi kehidupan kita. Carilah guru yang dapat memberi petunjuk pada kita dengan lisan dan perbuatannya.
Sebaiknya lengkapkan diri kita dengan kemantapan ilmu baik ilmu usul, memahami tasauf dari kitab yang muktabar, mengetahui dengan baik syariah serta meminta nasihat dari orang yang mempunyai ilmu dari bidang tersebut yang dipercayai akan keadilan dan keilmuannya. Ia adalah langkah terbaik sebelum mengikuti mana-mana guru tasauf agar dengan ilmu tersebut, ia menjadi penyuluh diri kita dalam mengamalkannya agar tidak mudah ditipu apalagi tersesat. Ini adalah zaman yang amat memerlukan kita berhati-hati.
Tasauf tidak lain hanyalah membawa pengamalnya kepada makrifat dan ubudiyyah yang tinggi kepada-Nya dengan penuh keikhlasan, kecintaan, ketakwaan dan berpegang teguh pada syariat dan sunnah Rasulullah SAW.