Selasa, 27 Julai 2010

Ujian Suatu Kasih Sayang

Wahai diriku,

Dirimu sentiasa diuji dengan bermacam-macam perkara. Sehinggalah dirimu mengangkat bendera putih ke hadrat Penciptamu. Dia yang menciptakan dirimu dari setitis air yang tiada nilai pun di sisi makhluk dan memberikan segala rezeki untuk dirimu. Anak, isteri, rumah, kenderaan, pekerjaan, kesihatan dan pelbagai lagi telah disediakan untukmu. Asalnya dirimu hanyalah datang dalam keadaan lemah dan tidak berpakaian. Sekarang kau lihat apa yang kamu ada sekarang? Adakah ini semua masih tidak mencukupi?


Wahai diriku,

Ujian dengan anak, isteri dan harta benda adalah merupakan proses untuk mengingatkan kehebatan diri-Nya. Cukup rezeki-keperluan atau tidak adalah bukan isunya jika hatimu benar beriman dan bertaqwa kepada Allah swt. Kau tahu bukan, tujuan hidupmu diciptakan adalah utk ‘mengabdikan’ diri kepada Tuhan. Pengabdian kepada Tuhan adalah matlamat ‘utama’ kamu diciptakan. Apakah dengan pemberian rezeki berupa anak, isteri dan harta benda itu melalai kamu dengan pengabdian kepada Tuhan atau menguatkan lagi pengabdian kepada Tuhan.

Wahai diriku,

Janganlah sedih dan terkilan dengan ujian dari Tuhan. Ini semua adalah jalan untuk mendidik hawa nafsumu yang jahat. Jalan ini juga adalah untuk mendekatkan dirimu kepada Tuhanmu. Inilah kasih sayang Allah kepadamu, agar kamu terus merasa lemah, berhajat, fakir dan tunduk pada Allah swt yang Maha Perkasa dan Maha Agung. Tanpa ujian ini, nafsu dalam dirimu tidak akan menyedari bahawa dirimu sedang berada dalam kesombongan, keangkuhan, kehebatan dan takabur.

Wahai diriku,

Melalui ujian, dirimu tidak akan mengaku semua yang kamu miliki sekarang ini adalah datang dari usaha, ilmu dan kebijakan dirimu. Berapa ramai di luar sana mengaku bahawa kekayaan harta benda, kecantikan isteri-isteri, keramaian anak-anak adalah datang daripada kehebatan akal dan ilmu diri sendiri. Inilah kesyirikan yang tiada disedari oleh mereka. Maka insaflah wahai diriku, Allah itu amat menyayangi dirimu agar dirimu tidak lalai dan leka dengan diri-Nya yang Maha Perkasa dan Kuasa.

Wahai diriku,

Pegang, gengam serta gigit sekuat-kuatnya pesanan gurumu bahawa merasai sifat kehambaan, nafas yang sentiasa bersyukur dan hati yang sentiasa mencari cinta Allah adalah penawar untuk dirimu tenang dan aman dengan ujian hidup......

Wahai guruku,

Jutaan terima kasihku kepadamu kerana banyak membimbing diriku yang selalu lalai dengan Allah swt. Dirimu telah banyak memberi daku kesedaran akan hakikat kehidupan ini.

Ya Rasulullah,

Selawat dan salam sejahtera buat dirimu, ahli keluargamu dan para sabahatmu kerana telah membawa cahaya kerahmatan di alam maya ini. Tanpa dirimu, pasti diriku tidak wujud dan pasti dalam kegelapan.
Ya Allah Ya Tuhanku,
Aku pohon keampunan dari Mu atas kelalaianku dan sujudku hanyalah untuk-Mu..