Khamis, 8 April 2010

Seketul daging...

Apabila kita melihat dua pihak berperang, masing-masing mengunakan pelbagai senjata yang memuntahkan peluru yang saling berbunuhan. Yang sebenarnya kita sedang menyaksikan sifat mazmumah yang bersarang di dalam hati kedua-dua pihak dizahiran melalui senjata.

Apabila kita mendengar dua orang sedang berkrisis, bermusuhan, bertelagah, bertengkar, saling membenci, tuduh menuduh, caci memaki, sumpah seranah, mengumpat, mengadu domba, mengutuk, kita hakikatnya sedang melihat kedua-dua pihak itu saling memuntahkan sifat mazmumah dari hati masing-masing melalui lidahnya.


Apabila kita dipaparkan berita tentang perogolan, seks luar nikah, pergaulan bebas, sebenarnya kita sedang membaca berita mengenai hati manusia sudah dikuasai nafsu dan syaitan.

Apabila kita melihat manusia yang rakus, tamak haloba sehingga sanggup merompak, mencuri, menyamun, menipu, rasuah, menyeleweng, salah guna kuasa, kita hakikatnya menyaksikan manusia yang hatinya cinta dunia.

Boleh disimpulkan ialah apa jua bentuk gejala negatif, sikap buruk, perbuatan keji dan mungkar adalah berpunca dari hati.

Begitulah sebaliknya, segala sifat positif, mencintai kebaikan, saling berkasih sayang, banyak berbuat kebajikan dan berbakti, inginkan kemajuan, idamkan kesejahteraan dan keharmonian, semuanya datang dari hati yang subur dengan sifat-sifat mahmudah.

Allah perintahkan manusia takut kepada-Nya. Kerana apabila manusia takut kepada Allah, manusia akan menjadi baik. Apabila manusia menjadi baik, bukan Allah yang untung, tetapi faedah dan manfaat dari kebaikan manusia itu akan kembali kepada manusia itu sendiri. Kehidupan manusia menjadi aman damai, tenteram dan harmoni.

Allah perintahkan manusia cinta kepada-Nya. Kerana apabila manusia mencintai Allah, manusia akan berkasih sayang sesama sendiri. Apabila manusia berkasih sayang, bukan Allah yang untung tetapi manusia itu sendiri yang mendapat manfaatnya. Manusia akan bersatu padu, tolong menolong, bela membela dan saling mengenang budi dan jasa antara satu sama lain.

Dunia hari ini bingung dan celaru dalam menghadapi berbagai masalah dan krisis kemanusiaan. Golongan yang bermasalah tidak tahu mengatasi dan menyelesaikan masalah dan tidak tahu di mana tempat mengadu. Pihak yang berusaha mengatasi dan menyelesaikan masalah juga dalam kebingungan kerana setelah dicuba dan dilaksanakan ternyata gagal malah masalah bukan semakin berkurang tetapi semakin bertambah dan merebak. Lebih memeningkan ialah timbul masalah dan gejala baru.

Bukan sedikit tenaga, masa, duit, dan idea yang dikorbankan untuk mencari jalan penyelesaian. Pelbagai kajian dan analisis telah dibuat namun ia tidak menampakkan hasil.

Marilah kita mengambil iktibar dan pengajaran “Mengapa Rasulullah SAW mengambil masa 13 tahun memperjuangkan Allah yang satu berbanding hanya 10 tahun memperjuangkan syariat yang beribu”. Sebabnya ialah agar manusia kenal Allah (makrifatuLlah), mengagungkan Allah, membesarkan dan mengutamakan Allah. Merasai takut dan cinta kepada Allah swt. Agar menjadikan Allah swt segala-galanya dan sekaligus sebagai “matlamat”. Apabila ini dimiliki oleh manusia maka manusia akan menjadi beriman dan bertaqwa yang mana natijahnya Allah akan menolong, Allah akan membantu untuk kecemerlangan, kemenangan dan kejayaan dalam semua aspek kehidupan. Inilah ubat dan jawapan kepada persoalan manusia. Bahkan inilah faktor yang membawa kepada kegemilangan umat terdahulu yang telah dipaparkan dalam sejarah. Sejarah boleh menjadikan kita panduan.

Di sini barulah disedari bahawa amat penting manusia ciptaan Allah ini kembali kepada mengenal Allah, memahami kerja Allah, memiliki rasa ubudiyah (kehambaan) dan rasa berTuhan. Kerana dengan cara ini sahaja sesuatu masalah dan krisis itu dapat di atasi secara tuntas. Bukan setakat itu sahaja bahkan manusia akan lebih berjaya, cemerlang, bahagia, selamat dan harmoni dalam segala aspek kehidupan. Lebih-lebih lagi sejahtera di akhirat yang kekal abadi.