Firman Allah yang bermaksud:
“Allah-lah yang menciptakan tujuh langit dan juga bumi. Perintah Alah berlaku padanya agar kamu mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu, dan sesungguhnya Allah, ilmuNya benar-benar meliputi segala sesuatu.”
(Ath-Thalaq:12)
Di akhirat kelak. Ibadah pertama yang akan disoal oleh Allah ialah solat. Bila gagal amalan ini maka amalan lain secara ‘auto’ juga akan gagal. Solat yang tidak gagal ialah solat yang khusyuk. Apa dia khusyuk? Khusyuk bermakna hati kita sentiasa ingat Allah di dalam solat.
Firman Allah swt yang bermaksud:
“ Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat (iaitu) orang-orang yang lalai dalam solatnya.” (surah Al-Ma’un:4)
Rasulullah saw bersabda:
“Berapa ramai orang yang mendirikan solat tetapi yang diperolehinya hanya penat dan lelah, kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya.”
Menurut Imam Al-Ghazali bahawa solat itu ialah merupakan munajat kepada Tuhannya. Bila sebut bermunajat, sudah tentu ia dilakukan dengan penuh kesedaran dan khusyuk/asyik/tawaduk. Bagaimana mungkin seorang yang lalai boleh berbisik atau berdialog dengan Allah ?
Khusyuk merupakan syarat samada solat seseorang itu akan diterima oleh Allah. Jika khusyuk tidak wujud dalam diri orang yang menunaikan solat, maka ruang kosong itu pasti akan diisi dengan sifat lalai.Orang yang lalai tidak akan merasai keagungan Allah, sekalipun lidahnya mengucapkan kalimah-kalimah yang mengandungi kata-kata pujian kepada Allah.
Untuk mengetahui kita seronok dengan Allah atau manusia ialah melalui perhubungan. Bila kita solat, adakah kita ‘seronok’ bersama Allah ketika itu? Atau rasa ‘serabut’ ketika solat? Dengan perhubungan sesama manusia pula, manusia hari ini boleh ‘berjam-jam’ bercakap tanpa henti. Tak kiralah percakapan itu adalah pasangan kekasih atau bukan. Ini menunjukkan bahawa ketika kita bercakap dengan manusia ‘berjam-jam’ itu adalah bermakna hati kita sedang khusyuk/ asyik. Sebab apa kita asyik dengan manusia? Sebab kita telah kenal siapa yang kita bercakap itu. Bila kita kenal..maka seronoklah kita bercakap atau berhubung.
Bagaimana dengan Allah? Adakah kita asyik juga? Kalau kita tidak asyik dengan Allah ini bermakna hati kita masih tidak mengenaliNya dengan secara hak. Hati kita masih liar dengan Allah. Hati kita masih buta dengan Allah. Untuk ‘check’ hati kita lazat atau asyik dengan Allah ialah ..cuba kita duduk atas tikar solat dan sebut nama Allah selama 1 atau 2 jam. Asyik atau tidak ketika itu. Mengikut pengalaman penulis ..selama 1 jam duduk berzikir kepada Allah adalah suatu perkara yang menyeksakan. Hati rasa terseksa krn hati ketika itu tidak asyik dengan Allah. Kalau hati kita sudah asyik dengan Allah…1, 2 ,3 jam berzikir merupakan waktu yang bahagia bersama Allah.
Jadi sedarlah kita, hanya kenal Allah (makrifatullah) secara benar sahaja hati kita akan asyik dengan Allah. Hanya kenal Allah, hati kita akan rindu nak bertemu denganNya. Hanya kenal Allah hati kita sentiasa menangis krn Allah. Menangis disebabkan banyaknya nikmat yang telah diberikan kepada kita yang kita tidak dapat syukuri dengan sebaik-baiknya.
Bagimana kita hendak mengenali Allah? Kenal diri kita dahulu. Topik ini telah diperbincangkan sebelum ini. Bila kita telah mengenali diri kita, mari kita mencari Allah. Allah yang begitu dekat dengan kita, kenapa kita tidak dapat merasainya.
Untuk kenal Allah secara permulaan ialah..kita kenal belajar ilmu tauhid(ilmu usuluddin). Ilmu ini adalah ilmu akidah/iktiqad. Belajar sifat-sifat dan asmak (nama-nama) bagi Allah. Ilmu ini adalah ‘wajib’ bagi setiap muslim. Oleh itu belajarlah ilmu ini untuk mengenali Allah secara permulaaan.
Selepas kita mengenali sifat-sifat Allah, untuk mendapat khusyuk dalam solat, kita hendaklah faham akan makna setiap ucapan(kalimah yang kita sebut). Jangan kita menjadi burung kakak tua yang pandai memberi salam sahaja tetapi tidak faham apa yang ia sebut..
Selain itu, untuk dapat asyik dengan Allah, guru saya memesan supaya banyakkan latihan di luar solat. Latihan apa? Latihan berzikir kepada Allah. Pegang tasbih, lepas tu sebut nama Allah dengan sebanyak-banyaknya. Buat lepas solat. Latihan zikrullah ini adalah untuk menentang khayalan. Bila berzikir sahaja, kita akan khayal atau ingat benda lain. Latih dan terus berzikir supaya hilang khayalan. Bila khayalan hilang, maka datang keasyikan dengan Allah. Bila zikir tadi pada mulanya berada di bibir, maka zikir tadi telah masuk ke dlm hati. Mulut diam, tapi hati tetap berzikir dengan menyebut nama Allah. (Allah! Allah! Allah!..dlm hati)
Bila hati kita telah dilatih asyik dengan Allah di luar solat, maka bila kita masuk dalam solat, maka hati kita ‘tetap’ akan asyik dan khusyuk dengan Allah. Inilah latihan yang telah dilakukan oleh golongan Sufi yang dlm perjalanan menuju Allah swt. Nabi kata, hati ini adalah RAJA, bila Raja asyik dengan Allah maka anggota lain juga akan turut asyik dengan Allah.
Latihan zikir ini..adalah satu perkara yang bukan mudah untuk dibuat. Ia dapat dilakukan dengan hanya bersungguh-sungguh dan ada semangat. Latihan mestilah dibuat secara kosisten dan istiqomah(berterusan). Latihan ini akan cepat mendapat natijah bila mendapat ijazah zikir daripada seorang guru yang ada salsilah sampai ke Rasulullah saw kerana di sana ada barakah. Di samping itu, banyakkan berdoa kepada Allah supaya hati kita tetap istiqomah dlm beramal-zikir dan supaya Allah datangkan dalam hati rasa asyik dengan Allah swt. Pertolongan Allah akan tiba bilamana kita bersungguh-sungguh untuk mendapatkan-Nya.
Ibadah solat adalah makanan rohani dan amalan utama yang akan dipertanggungjawabkan oleh Allah swt di akhirat kelak. Jadi, berusahalah ke arah pembaikan solat. Bila hati sudah asyik dengan Allah..inilah dikatakan KEBAHAGIAAN yang hakiki. Kita sedang mencari kebahagiaan yang hakiki. Kebahagiaan dunia dan akhirat yang kekal abadi.
Yakinlah, suatu masa nanti roh kita akan naik ke langit (alam yang tinggi) manakala jasad pula akan turun ke bumi. Roh akan mengadap Allah manakala jasad akan dimakan ulat serta kembali kepada kejadian asal iaitu tanah.
Ya, Allah, kurniakan kami solat yang khusyuk......
“Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) kebaikan selama aku masih berkemampuan.Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakkal dan hanya kepadaNya lah aku kembali.” (surah Hud:88)