“Apakah kamu mengira mereka dijadikan hanya untuk bermain-main saja , dan bahawa kamu tidak dikembalikan kepada kami? Maka Maha Tinggi Allah, Raja yang sebenarnya, tiada Tuhan selain Dia. Tuhan yang mempunyai arasy yang mulia.”
Demi Allah, manusia sentiasa diuji oleh Allah SWT setiap saat selagi nafasnya berfungsi pada kehidupan ini, tiada yang diuji melainkan akidah kita. Kalimah Laillahailallah, Muhammad Rasulullah yang diucapkan apakah benar kita memahaminya, menghayatinya. Ramai manusia yang tertipu sehingga akidahnya tidak bersih, ia melakukan dosa yang tidak akan diampuni Tuhan di akhirat iaitu syirik.
Mereka tertipu dengan segala apa yang berlaku di hadapan mereka. Apabila mereka diberi harta, pangkat, kepandaian, pengikut mereka merasa mereka kuat, mereka hebat sehingga mereka lupa hakikat diri mereka yang lemah, mereka lupa diri mereka hamba yang lemah, jahil, buta dan tuli. Mereka menjadi syirik dengan pergantungan hati telah berpaling dari Allah SWT. Mereka tidak memerlukan Allah SWT lantaran merasai diri mereka kuat sedangkan apa yang mereka miliki adalah amat lemah dan rapuh.
Tauhid telah mengajar kepada kita bahawa makhluk tiada memberi bekas tetapi ramai yang tewas dengan ujian tauhid, mereka merasai mereka kuat apabila mereka memiliki kuasa, kekayaan dan sebagainya sedangkan ia adalah makhluk yang lemah yang tiada boleh memberi apa-apa manfaat. Tetapi manusia memuja mereka, menjadikan mereka bagaikan berhala yang boleh memberi kebahagiaan dan kesengsaraan sehingga mensyirikan Allah SWT dalam sifat kekuasaanNya. Mereka beriman pada Allah tetapi mensyirikan Allah dalam sifat keTuhananNya. Mereka telah tewas dalam ujian Allah, mereka tewas dalam ujian akidah, kalimah tauhid yang mereka ucapkan adalah batil kerana dalam hatinya mengakui adanya kuasa-kuasa yang lain boleh memberi kebahagiaan dan kesengsaraan.
Umat Islam telah terpedaya dengan konsep hidup barat yang tidak bertuhan. Mereka menjadikan ciptaan manusia sebagai kuasa kebahagiaan hidup manusia. Islam tidak pernah meletakkan kejayaan dan kebahagiaan manusia pada pangkat atau harta. Islam meletakkan kemuliaan seorang insan diatas kekuatan pegangannya dia dengan Allah SWT, kekuatan takwanya. Seorang yang memiliki Allah tidak akan merasai atau bergantung pada kekuatan kekuatan yang lain. Allah sumber kekuatan, kebahagiaan, kekayaan, kesempurnaan . Barang siapa yang mengatakan dengan wang, kuasa ia senang dan kuat, ia boleh melakukan apa sahaja, ia menjadi syirik pada Allah SWT. Allah SWT menyuruh Nabi Musa menyeru Firaun supaya mengakui ketuhanan Allah dan menafikan ketuhanan dirinya. Firaun menjadi sesat kerana merasai kuat dengan pangkat, kekayaan dan pengikut yang ramai. Allah SWT menempelak firaun dengan tenggelam dalam dasar laut iaitu tempat yang paling rendah dibumi, tempat yang tiada didiami oleh manusia melainkan ikan-ikan dan tumbuhan. Allah SWT menempelak Namrud yang merasai dirinya Tuhan lantaran tertipu dengan pangkat, harta, tentera yang ramai, mati dengan hanya seekor nyamuk yang masuk kedalam otaknya. Allah SWT menghukum Kamal Artartuk yang angkuh dengan memberi penyakit yang aneh yang tidak boleh diubati walaupun di sekelilingnya terdapat pakar-pakar dalam bidang perubatan. Allah SWT memempelak mereka seolah mengatakan di manakah Tuhan-tuhan yang kamu sembah dan puja yang kamu merasai diri kamu kuat sehingga menolak Allah SWT. Di manakah kekuatan tuhan-tuhan yang kamu sembah untuk melindungi kamu kudrat dan iradah Allah SWT. Allah SWT telah mentajalikan(menzahirkan) sifat kekuasaanNya mengatasi segala kuasa yang ada pada manusia.
Firman Allah SWT dalam Surah (Al An'am : 17):
”Jika Allah menimpakan suatu kemudharatan kepadamu, maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikkan kepadamu, maka Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
Berhati-hatilah dengan ujian Allah SWT dan jangan kita tertipu, fahamilah bahawa dirimu dan segala apa yang berada dihadapanmu adalah lemah. Jika kita sombong dengan apa yang kita miliki, kita sudah tertipu dan bahayanya kita berada dilembah kesyirikan. Kenali Tuhan dengan pengenalan yang haq agar kita tidak berhajat kepada sesuata yang lain dalam kehidupan ini. Semoga Allah SWT menyelamatkan diri kita dari segala kejahilan dan kesyirikan Laa haulawala quwwatailla billahiiazim.
Ya Allah! Lemahnya daku dalam ujian-Mu....