Isnin, 4 Januari 2010

Tahun 2010

Segala puji hanyalah milik Allah swt yang mentadbir dan mengatur segala perjalanan makhluk ciptaan-Nya. Selawat dan salam sejahtera buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW , para ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Kita sudah melangkah ke Tahun 2010 di mana tahun ini telah dipanggil sebagai tahun baru bagi masyarakat dunia dan seisinya namun masih ada mereka mengatakan tahun 2010 adalah menunjukkan dunia dan seisinya semakin tua dan semakin menuju kehancuran. Sedarkah kita?


Firman Allah swt yang bermaksud;
Semua yang ada di bumi itu akan binasa. Dan tetap kekal Dzat Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan. (Ar-Rahman 26-27)

Bila kita memandang apa yang ada disekeliling kita, daun-daun semakin kuning dan keguguran, selipar dan kasut semakin lusuh, barang yang berkilau dan bersinar menjadi pudar, kulit yang tegang menjadi berkedut, dan diri kita sendiri badan yang sihat menjadi semakin tidak sihat. Inilah tanda-tanda dunia dan seisinya semakin menuju kehancuran dan kebinasaan.

Fiman Allah swt yang bermaksud;
Apabila terjadi hari kiamat, tidak seorangpun dapat berdusta tentang kejadiannya. (Kejadian itu) merendahkan (satu golongan) dan meninggikan (golongan yang lain), apabila bumi digoncangkan sedahsyat-dahsyatnya, dan gunung-gunung dihancur luluhkan seluluh-luluhnya, maka jadilah ia debu yang beterbangan, dan kamu menjadi tiga golongan. (Al Waaqi'ah 1- 7)

Dengan kesedaran ini, sepatutnya tahun baru ini adalah satu penghijrahan buat diri kita agar diri kita terus membuat perubahan dan pembaikan sebagaimana produk yang kita lihat hari ini dipasaran yang sentiasa membuat penambahbaikan (improvement).

Pengalaman saya melihat sambutan tahun baru yang dibuat dataran merdeka baru-baru ini ialah persembahan konsert dan perhimpunan rakyat. Di sana mereka berkumpul tidak kira lelaki dan perempuan, bergaul dengan bebas, serta menari dan membuat sebuah “pertunjukkan” di tengah-tengah perhimpunan sambil mendengar nyanyian konsert. Mereka fana’ atau mabuk dalam lagu yang disajikan oleh artis. Kepala dan badan mereka digoyangkan ke sana ke sini seperti mereka dalam kemabukan (fana’). Benar! Mereka fana’ dalam nyanyian. Kemabukan mereka ini hanyalah sementara kerana bila konsert sudah habis maka kemabukan mereka juga habis di situ sahaja. Terfikir saya sejenak, alangkah seronoknya jika mereka semua ini fana’ (mabuk) dengan Allah swt. Alangkah bahagianya jika mereka yang berpuluh ribu yang hadir pada malam menyambut tahun baru 2010 dengan persembahan konsert itu mabuk dengan Allah swt.

Selepas kemabukan dan percampuran lelaki dan perempuan pada malam itu, mereka akan ke mana? Allah jua yang Maha Mengetahui. Pada saya, cara perlaksanaan konsert yang tidak memisahkan lelaki dan perempuan ini banyak mudharat daripada kebaikan. Kita boleh melihat mereka membuat “maksiat” di dalam perhimpunan tersebut. Diri ini bukan datang untuk bergembira tetapi datang untuk melihat sendiri gelagat anak bangsa Melayu Islam kita yang mana matlamat hidup dan tujuan hidup tiada dalam kamus mereka. Dalam lautan manusia yang berpuluh ribu itu berapa ramai mereka yang hatinya sedang mengingati Allah swt? Sedih, pilu dan terkilan.

Adakah mereka ini yang kita harapkan untuk mempertahankan agama dan negara daripada diceroboh, dihina, dipersenda, dipijak, diperlekeh, dipermain dan dikhianat?

Pada siapa harus kita pertanggungjawabkan? Fikirlah dengan hati yang disinari dengan ilmu pengetahuan (Quran, Hadis, Ijmak dan Qias).

WaLlau'alam