Isnin, 18 Januari 2010

Sabarkah Daku?

Bukan dinamakan makhluk sekiranya tidak mempunyai masalah. Setiap makhluk samada di bumi dan di langit mempunyai masalahnya yang tersendiri. Cuma di sini setiap makhluk mempunyai perbezaan dalam masalahnya. Tapi Allah swt telah memberikan akal dan hati kepada kita untuk menghadapi permasalahan itu. Dengan akal inilah kita berfikir untuk mencari jalan penyelesaiannya. Ada di kalangan yang kita yang tewas dan ada dikalangan kita yang menang dan berjaya dalam mengharungi kehidupan yang bermasalah itu.

Anggaplah setiap masalah itu satu cabaran yang harus kita tempuh dan sahut. Sebenarnya masalah itu ialah ujian daripada Allah swt untuk menguji sejauh mana keimanan kita kepada Allah swt. Dengan ujian atau masalah itu, ternyatalah siapa yang berjiwa besar dan siapa yang berjiwa kecil untuk mengharungi liku-liku kehidupan yang penuh onak dan duri ini. Dengan ujian atau masalah ini jugalah keimanan seseorang semakin bertambah dan ada juga keimanan seseorang semakin ‘decrease’ dan lebih malang lagi ada juga yang kufur. Wanauzubillah.....inilah diriku...

Seperti juga kita belajar di KUSZA atau mana-mana institusi pendidikan, kita belajar siang dan malam untuk menimba ilmu dan pada masa yang sama juga kita akan diuji dengan test, kuiz dan exam untuk menilai sejauh mana kefahaman kita. Kalau tidak diuji maka kita tidak tahu sejauh mana kefahaman kita. Begitu juga dengan keimanan kita. Bila kita mengatakan kita beriman kepada Allah, sudah semestinya ujian sedang menanti kita di hadapan untuk Allah ‘check’ sejauh mana keimanan kita.

Firman Allah swt yang bermaksud;

“Apakah manusia menyangka akan dibiarkan berkata: Kami telah beriman, padahal mereka belum diuji? Sesungguhnya Kami telah uji orang-orang yang dahulu, sehingga mengetahui siapa yang beriman dan siapa yang berbohong.”(al-Ankabuut:2-3)

Tetapi ingatlah bahawa ‘fail’ dalam examination di sekolah atau Kampus, kita boleh ‘repeat’ sebanyak yang mungkin. Tetapi kalau kita ‘fail’ di alam barzakh / kubur maka kita akan terus gagal buat selama-lamanya. Tiada istilah boleh repeat atau kembali ke alam dunia ini lagi. Wanauzubillah..

Firman Allah swt yang bermaksud;

"Dan, jika sekiranya kamu melihat mereka ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): "Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal saleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin.". (Sural As-Sajadah: 12)

Jadi berusahalah dan berfikirlah untuk bagaimana menyelesaikan konflik dan problem dalam diri kita dan dan jangan sesekali kita lupa untuk memohon pertolongan daripada Allah. Tanpa pengharapan daripada Allah swt kita adalah manusia yang sombong dan angkuh. Bagaimana untuk mendapatkan pertolongan Allah ?

Firman Allah :
“Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.”
(al-Baqarah :45)

Jadi, pertolongan Allah itu akan datang apabila kita bermohon dan sentiasa dalam keadaan sabar, tabah dan tetap hati, dan tetap di dalam mengerjakan solat atau segala ibadat kepada Allah. Allah berfirman yg bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah, dan kuatkanlah kesabaranmu, bersedialah, serta bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu mendapat kejayaan atau kemenangan.” (ali-Imran: 200)

Jadi, untuk mendapat kemenangan atau kejayaan, kita harus bersabar, dan menganjurkan kesabaran kepada orang lain, bersedia bekerja kuat dan disertai dengan perasaan taqwa kepada Allah. Sebab bagaimana kuat pun kita bekerja dan berjuang, apabila kita tidak sabar, tidak tetap hati dan tidak tabah, kita akan kecewa dan merana bila mana usaha dan perjuangan kita gagal. Sebab itu setiap orang yang ingin berjaya, mesti mendidik diri sendiri dan teman-temannya untuk bersabar dan tabah hati, pantang undur menghadapi tentangan dan bahaya.
Allah berfirman yg bermaksud:

“Bersabarlah engkau hai Muhammad, dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah dan janganlah engkau berdukacita terhadap (kekafiran) mereka, dan janganlah engkau merasa sempit dada lantaran tipu muslihat mereka.” (an- Nahl :127)

Selagi kita bersabar, selagi itulah Allah bersama-sama kita. Tetapi apabila kesabaran itu lenyap dan hilang, itulah tandanya Allah tidak bersama kita lagi.Kerana kesabaran itu adalah syarat bagi pertolongan Allah untuk mencapai kemenangan dan kejayaan dalam apa jua bidang lebih-lebih lagi dalam meninggikan agama Allah swt, maka Allah melarang manusia bersifat lemah, lekas berputus asa, rasa rendah diri dan sebagainya. Firman Allah yg bermaksud:

“Maka bersabarlah kamu seperti orang-orang yang mempunyai keteguhan hati dari rasul-rasul yang telah bersabar dan janganlah kamu meminta disegerakan azab bagi mereka.” (al-Ahqaaf:35)

Sebab itu teruskanlah perjuangan, dengan tidak mengira bilakah kemenangan dan kejayaan yang kita idamkan itu tercapai. Kewajiban kita hanya berusaha, bekerja dan berjuang, dengan segiat-giatnya dan tidak mudah berputus asa, manakala kejayaan dan kemenangan itu adalah hak Allah dan terserah kepada Allah. Allah tidak akan dengan mudah memberikan kemenangan itu selagi belum terbukti manusia itu bersabar, tetap hati dan tabah dalam menghadapi segala mehnah, tribulasi, halangan, rintangan, ancaman dan permusuhan.

Inilah kesabaran. Allah sangat memuji terhadap orang-orang yang sabar dan tabah. Firman Allah yang bermaksud;

“…dan orang-orang yang sabar di saat kesulitan, kesusahan dan dalam peperangan; merekalah orang-orang yang benar dan merekalah orang-orang yang bertaqwa.” (al-Baqarah:177)

“(iaitu) orang-orang yang sabar, yang benar, yang tetap taat, yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah), dan yang memohon ampun di waktu sahur.” (Ali-Imran:17)

Ketahuilah bahawa orang yang selalu hidup dalam kelapangan, selalu dalam kemewahan dan tidak mengalami kekurangan apa-apa, gembira, riang, bahagia, tidak pernah mengalami kesulitan-kesulitan dan kesusahan, belum tentu disayangi, dikasihi dan dicintai Allah swt. Ramai manusia yang derhaka, jahat, kufur, hidupnya selalu dalam keadaan cukup, tidak kurang sesuatu apa pun dan selalu gembira.

Malah sebaliknya kita lihat ramai orang yang baik, soleh dan solehah, taat, berakhlak mulia dan berjasa hidupnya sering ditimpa kesulitan, kesusahan, kesedihan, dan ditimpa kekurangan. Bahkan ramai orang yang soleh, di antaranya para Nabi-nabi dan Rasul-rasul Allah, hidup dalam keadaan menghadapi berbagai-bagai kesulitan, halangan dan rintangan bahkan ada yang dibunuh dengan zalimnya.

Kita juga jangan lupa bahawa tidak semua orang yang menderita, susah dan hidup melarat dicintai dan dikasihi Allah swt. Yang dikatakan orang yang dicintai dan dikasihi Allah ialah orang beriman serta menderita, susah dan mengalami kesulitan tetapi sabar dan redha menanggung penderitaan dan kesulitan itu.

Apabila seseorang mengalami kesulitan, kesusahan dan kelaparan, menghadapi bahaya, tetapi dia gelisah, berkeluh kesah, bahkan merungut, kadang-kadang menyalahkan takdir Allah swt dan ada juga yang melakukan maksiat untuk melepaskan penderitaan tersebut, itu adalah tanda bahawa mereka tidak tergolong dalam orang yang dicintai dan kasihi Allah, malah Allah murka padanya. Penderitaan, kesulitan, kesusahan, kelaparan dan bahaya yang ditimpakan kepada mereka adalah sebagai seksaan dan kutukan Allah kepadanya. Firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya manusia dijadikan bersifat tamak dan kikir. Bila ditimpa kesusahan berkeluh kesah. Bila mendapat keuntungan menjadi bakhil(kikir). Selain orang-orang yang solat. Yang terus dengan tetap melakukan solat itu.”
(al-Ma’rij:19-23)

Bersabda Rasulullah saw yang bermaksud;

Mengagumkan keadaan seorang yang benar-benar beriman itu. Apa sahaja yang terjadi kepadanya semuanya adalah baik. Keadaan ini tidak berlaku selain kepada orang yang beriman. Apabila dia mendapat sesuatu yang mengembirakan (untung), dia bersyukur, dan keuntungan itu baik bagi dirinya. Dan apabila dia ditimpa kesusahan (rugi), dia bersabar. Maka kerugian atau kesusahan itu baik baginya.”

Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui dan menentukan siapa yang harus diuji, bilakah ujian itu akan dilaksanakan dan apakah ujian yang paling sesuai untuknya.

Orang yang beriman ialah orang yang tetap bersabar dan tabah, dan sentiasa berbaik sangka terhadap Allah dalam menghadapi segala ujian. Bila disulitkan hidup kita, kita kena bersabar, ini adalah kerana kita yakin bahwa itu adalah peringatan atau ujian. Mungkin ujian itu sebagai ‘muhasabah’ bahawa kita ada salah dan berdosa kepada Allah. Ini membolehkan kita sempat bertaubat dan meminta ampun daripada Allah swt. Itulah kasih sayang Allah swt kepada hambaNya.

Sebab itu marilah kita berikhtiar, berusaha dan berjuang agar kita menjadi orang yang beriman dengan mendidik diri kita masing-masing, memperdalamkan keyakinan dan pengetahuan kita tentang Allah dan agamaNya.

Firman Allah :

“sesungguhnya Kami (Allah) akan mendatangkan sedikit cubaan kepada kamu yang merupakan ketakutan kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan, maka gembiralah orang-orang yang sabar.” (al-Baqarah:155)

Bersabda Rasulullah saw yang bermaksud;

“Tiada apa yang diberikan Allah kepada seseorang manusia yang lebih baik dan lebih besar daripada kesabaran.”

“Bahawa kesabaran itu adalah sinar dan cahaya.”

Ya Allah, kurniakan daku kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi ujian dari-Mu, aku teramat-amat lemah dan sangat-sangat berhajat dengan-Mu yang Maha Kuat dan Maha Berkuasa....