Berfikir merupakan pintu bagi mendapatkan maklumat. Maklumat adalah pintu kepada ilmu. Semakin tinggi fikirnya, semakin tinggi pengkajiannya, semakin tinggi dibukakan maklumat kepadanya. Tiadalah fikir yang paling mulia melainkan berfikir tentang ayat-ayat Allah, berfikir tentang mutiara-mutiara Nabi sama ada perkataan atau perbuatannya. Ayat pertama yang diturunkan adalah ayat yang menyebabkan masyarakat jahiliah terkejut dari lamunan dan berfikir tentang satu hakikat-hakikat bahawa adanya Tuhan yang menciptakan diri mereka, dan dicipta mereka daripada tanah.
Firman Allah SWT :
“Bacalah dengan nama (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan, Dia telah menciptkan manusia dari segumpal darahmenjadikan kamu dari tanah..” (Al-‘Alaq : 1-2)
Marilah kita merenung beberapa ayat dan berfikir tentangnya.
Firman Allah SWT :
“Sesungguhnya Kami ciptakan manusia dari sari tanah, kemudian Kami jadikan air mani yang disimpan dari tempat yang kukuh, kemudian Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu kami jadikan sepotong daging, lalu sepotong daging Kami jadikan tulang, lalu tulang itu Kami bungkus dengan daging, kemudian dia Kami ciptakan makhluk yang lain (manusia yang sempurna). Maha suci Allah sebaik-baik yang menciptakan. Kemudian sesudah itu kamu mati. Kemudian pada hari kiamat kamu dibangkitkan (kembali).” (al-Mukminin : 12-16)
Ayat mengajak mereka merenung langit dan berfikir tentangnya :
“Tidakkah mereka melihat langit di atas mereka, bagaimanakah Kami membangunkannya dan menghiasinya dan tiada ada pecah?” (Qaaf : 6)
Ayat mengajak mereka merenung bumi dan berfikir tentangnya :
“Dan tiadakah mereka melihat bumi, bagaimana Kami membentangkannya dan mengadakan gunung-gunung atasnya, dan Kami tumbuhkan di atasnya bermacam-macam (tumbuh-tumbuhan) yang indah?” (Qaaf : 7)
Berfikir tentang matlamat kehidupan, berfikir tentang kematian, berfikir tentang ke manakah masa yang dilalui, berfikir tentang kasih sayang Tuhan, berfikir tentang kasih sayang Nabi, berfikir tentang kesalahan, berfikir tentang alam barzakh, berfikir tentang alam akhirat, berfikir tentang azab dan nikmat yang dijanjikan, berfikir betapa lemahnya diri, berfikir tentang ruginya di akhirat nanti, berfikir tentang berpaling Tuhan dari melihatnya, berfikir bahawa dia seorang ayah yang wajib membimbing dan menjadi contoh kepada isteri dan anak-anak, berfikir ia adalah seorang isteri yang wajib mentaati pada suaminya dan memberi kasih sayang kepada anak-anak, berfikir ia sebagai seorang anak yang wajib atasnya memuliakan ibu bapanya, berfikir bahawa ia perlu menjauhi harta yang haram, berfikir bahawa haram atasnya menzalimi manusia dan berfikir dan terus berfikir.
Daripada merenung dan berfikir dengan ayat-ayat Allah secara ikhlas, insya Allah akan lahirlah cetusan keinsafan di hatinya. Hatinya merasa gerun dan bimbang dengan kehidupannya yang lalai, kehidupannya yang diperdaya dengan dunia, kehidupan yang jauh dari kehendak Allah. Bangkitlah dalam dirinya rasa mahu bertaubat kepada Allah, tetapi timbul pula persoalan pada dirinya bagaimanakah cara ia mahu bertaubat kepada Allah dan mendapatkan redhaNya.
Jalan menuju Allah yang seperti "pendakian" ini perlukan keikhlasan, kesungguhan dan ilmu. Tanpa keduanya kita mungkin akan tersungkur dalam perjalanan. Kita perlu mengetahui segala hal dan cabaran yang akan ditempuh dalam pendakian ini. Kita akan menempuh pelbagai dugaan, namun kita tiada pilihan jalan lain yang diberi oleh Allah. Kita hanya diberi dua pilihan sahaja, sama ada jalan ke syurga atau jalan ke nerakaNya. Jika mahu jalan ke syurga, bersedialah diri kita dengan segala rintangan yang mencabar nafsu. Namun jika kita memilih jalan ke neraka, ia bagaikan menyusur turun dari tempat tinggi yang tiada halangan, ianya amat menyeronokan nafsu. Justeru itu bila kita telah berfikir dengan mendalam, (barulah) kita membuat pilihan untuk mendakinya .
Ya Allah, jauhkanlah diri ini daripada bersifat malas berfikir...