Khamis, 25 Februari 2010

Rasulullah (SAW)

Sempena ketibaan Maulidul Rasul..marilah sama –sama kita merenung dan mengimbas kembali sedikit cerita berkenaan Baginda Nabi SAW yang telah terlalu banyak berkorban buat umatnya.
Dialah hamba Allah yang diberi nama Muhammad bin Abdullah, yang ummi, yang memikul beban dakwah demi untuk melihat semua umatnya kembali kepada Allah swt.

Setiap nafas yang keluar dan masuk atas diri Nabi SAW adalah nafas kasih sayang. Baginda sanggup meninggalkan segala kemewahan dan keamanan yang dikecapinya. Baginda turun ke tengah masyarakat untuk memberi peringatan, disebabkan kasih dan sayangnya kepada umatnya. Baginda bersungguh-sungguh menyebarkan iman dan kasih sayang, dan tiada perkara yang paling bernilai yang melambangkan kasih sayang Baginda kepada manusia, melainkan mengeluarkan manusia dari kejahilan kepada keilmuan, mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya dan memberi keselamatan kepada manusia di dunia dan akhirat. Sesungguhnya, tidak terbalas kasih sayang Rasulullah SAW kepada kita. Tanpa dakwah Baginda, kita hari ini mungkin penyembah matahari, bulan, api, pohon-pohon kayu dan batu-batu. Adakah kita mengingati setiap penderitaan baginda? Atau hanya mengingati hari kelahiran Baginda?

Lihatlah sirah yang mencatatkan seribu satu kisah mengenai sifat kasih sayang Rasulullah SAW. Baginda memaafkan kaum Thaif yang memaki dan melontarkan batu sehingga kakinya mengalirkan darah yang mulia. Baginda memaafkan kaum Quraisy Mekah yang menghalaunya dari tempat kelahirannya dan rumahnya yang mempunyai beribu kenangan dengan Siti Khadijah. Tiada apa-apa kesalahan yang dilakukannya, melainkan hanya seruan kepada keimanan dan ini semua kerana Baginda menyayangi kaumnya agar tidak tersesat dengan syaitan dan dunia. Lantaran masih dalam kebutaan umatnya, umatnya tiada dapat menilai kasih sayang Baginda sehingga sanggup melakukan perkara yang melukakan hati baginda SAW. Adakah kita sekadar mengingati kelahiran baginda tanpa mengamalkan sunnah baginda SAW?

Rasulullah SAW juga pernah dipulau sehingga terpaksa mengikat batu diperut kerana kelaparan. Walaupun isteri tersayangnya meninggal dunia, Baginda tetap istiqamah, perjuangan demi kasih sayang mesti diteruskan. Kalau kita meninjau setiap bukit yang didaki oleh Baginda, kita akan terfikir betapa beratnya dugaan fizikal yang diharungi oleh Baginda. Betapa bebannya kehidupan baginda dari segi fizikal...

Dalam usia yang menjangkau lima puluhan, Baginda terpaksa naik ke bukit demi bukit, bersembunyi di celah-celah batu dan gua untuk menyelamatkan dakwahnya demi untuk disebarkan kepada manusia. Manusia mana lagi yang lebih patut kita sayangi melebihi Baginda? Pengorbanan Baginda tidak akan sanggup dilakukan oleh sesiapapun di dunia ini demi memastikan kita umatnya tidak jahil, tidak buta dan tidak sengsara di dunia dan akhirat. Bahkan, akhir kalamnya disudahi dengan menyebut “ummati, ummati, ummati…” menggambarkan betapa mendalamnya kasih sayang dan kecintaan Rasulullah SAW terhadap umatnya. Adakah perlu lagi kita masih bermusuh-musuhan untuk menyambut kelahiran baginda sedangkan sunnah dan ajaran baginda tidak sekali kita amalkan dan perjuangkan? Cintailah Rasulullah SAW....

Selawat dan salam ke atas junjungan Baginda SAW.

Ya Rasulullah..dipadang mahsyar nanti, berikanlah daku syafaat mu....

Yaa Rasulallah

Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kutatap wajahmu

'Kan pasti mengalir air mataku
Karena pancaran ketenanganmu


Alangkah indahnya hidup ini

Andai dapat kukucup tanganmu

Moga mengalir keberkatan dalam diriku

Untuk mengikut jejak langkahmu

Ya Rasulallah, Ya Habiballah

Tak pernah kutatap wajahmu

Ya Rasulallah, Ya Habiballah

Kami rindu padamu


Allahumma sholli 'alaa Muhammad

Ya Robbi sholli 'alaihi wassalim


Alangkah indahnya hidup ini

Andai dapat kudakap dirimu

Tiada kata yang dapat aku ucapkan

Hanya Tuhan saja yang tahu


Kutahu cintamu kepada ummat

Umati umati

Kutahu bimbangnya kau tentang kami

Syafa'atkan kami


Ya Rasulallah, Ya Habiballah

Terimalah kami sebagai umatmu

Ya Rasulallah, Ya Habiballah

Kurniakanlah syafa'atmu


Album Nasyid: Raihan