Khamis, 31 Disember 2009

Peranan Manusia

Manusia dilahirkan ke dunia ini atas dua urusan :

1. Sebagai malaikat yang sentiasa beribadah, bertahmid pada Allah.
2. Sebagai khalifah Allah dalam mentadbir dan memakmurkan bumi ini mengikut ajaran Allah.

Apabila kita menyentuh persoalan tasbih ;

Pertama - Ia adalah sifat malaikat.


Perkara ini disebut oleh firmanNya :

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.” (Al-Baqarah : 30)

Kedua - Ianya adalah sifat alam.

Seluruh alam ini sama ada yang ada di bumi atau di langit bertasbih pada Allah sebagaimana firmanNya :

“Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (As-Saff : 1)

Apabila manusia itu hanya menumpukan pada permasalahan tasbih dan ibadah yang khusus sahaja, mereka telah lari dari konsep tujuan mereka diciptakan. Ini disebabkan tugas tersebut telah dijalankan oleh para malaikat dan alam dengan begitu baik. Manusia memiliki kehebatan Ruh yang tidak ada pada malaikat dan alam. Ruh manusia bukan sahaja mempunyai kekuatan makrifat, kekuatan kecintaan padaNya, namun juga diberikan kekuatan fikir dan kehendak. Disebabkan dua perkara ini dalam diri ruh manusia, dengan sendirinya fungsi atau tugasnya amat berlainan dengan tugas makhluk yang lain.

Tugas sebagai Khalifah

Ini dinyatakan dalam firmanNya sebagaimana di atas (Al-Baqarah ayat 208). Dengan pelbagai kehebatan dan kesempurnaan manusia, ia layak memikul amanah Allah iaitu menjadi wakil Allah di atas muka bumi ini. Apabila disebut wakil Allah dengan sendirinya ia tidak boleh bertindak mengikut kemahuan diri mereka. Ianya mesti bertindak atau hidup mengikut garisan yang telah ditetapkan oleh Allah iaitu Islam. Ia hendaklah menggunakan segala potensi yang ada padanya untuk melaksanakan tugas sebagai khalifah untuk mendapat keredhaan Penciptanya. Gagal melaksanakan amanah dan engkar akan hanya membawa kepada kebinasaan diri. Ia adalah golongan yang gagal mengenal diri sendiri, gagal mengenal matlamat ia dihantar ke bumi dan akan gagal pada kehidupannya yang sebenar di akhirat nanti.

Apabila kita menyentuh peranan kita sebagai hamba Allah di atas muka bumi ini, kita perlu bertanya pada diri kita dengan merenung segala kelebihan yang ada pada diri kita; ‘kenapakah Allah memberikan aku akal yang hebat, memberi nafsu yang sentiasa inginkan kepuasan, memberi kekuatan anggota badan, memberi bakat tertentu seperti bakat dalam penulisan, bakat berceramah, bakat menghafal, bakat mendidik, bakat seniman, bakat mencipta, bakat memimpin dan pelbagai lagi bakat.’ Adakah bakat-bakat ini sengaja dicipta Tuhan tanpa memerlukan ia digunakan. Adakah bakat ini akan disiakan begitu sahaja, tidakkah bakat ini adalah nikmat Tuhan yang perlu disyukuri.

Segala kurniaan Tuhan kepada hambaNya bertujuan agar hambaNya itu berfungsi mengikut kekuatan yang diberikan dalam melaksanakan tugas sebagai khalifah. Ia mestilah menumpukan dirinya kepada melaksanakan Deen Allah iaitu hidup atau membangunkan alam ini mengikut acuan Allah, bukannya acuan dirinya atau acuan masyarakat atau acuan pemerintah. Ia tidak boleh terikat dengen persekitarannya, ia hanya terikat dengan Allah dalam segala aspek tindak tanduknya. Ia hanya wakil bukan Tuannya, alam ini bukan miliknya, ia hanya ditugaskan menjaga oleh Tuhannya sebagaimana orang gaji yang ditugaskan menjaga rumah Tuannya. Ia hanya melakukan apa yang disuruh oleh Tuannya, tidak berani membuat suatu keputusan tanpa merujuk kepada Tuannya terlebih dahulu.

Seorang hamba yang mengetahui (hakikat) dirinya akan merendah diri kepada Tuhannya. Ia tidak akan berani untuk merasa angkuh dengan perintahNya sama ada perintah itu kecil atau besar. Ia telah berjanji ketika di alam arwah sebelum ia dihantar ke bumi, tiada terdetik sedikitpun dihatinya untuk engkar kepada Penciptanya, malah sentiasa bersyukur dengan kelahirannya di atas muka bumi ini untuk membuktikan kebenaran kecintaannya terhadap Tuhannya. Kehidupan di alam arwah adalah kehidupan yang tiada boleh membuktikan kebenaran tauhid, ia belum diuji lagi dan menjadi lumrah para kekasih akan menguji kesetiaan kekasihnya.

Manusia mempunyai kehebatan untuk berhubung dengan Tuhannya yang amat rahsia bagi alam ini. Hubungan yang unik ini dinamakan akidah. Akidah adalah simpulan atau keterikatan. Seekor kambing tidak boleh bergerak melainkan pergerakannya mestilah mengikut ukuran panjang pendek tali yang ada pada lehernya dengan puncanya. Hubungan manusia dengan Tuhan adalah amat tinggi dan amat suci. Manusia diberikan kebebasan dalam melakukan apa sahaja samada berfikir, bercakap, berkehendak, bergerak namun dalam kebebasan tadi Allah mengawal agar tidak menerobos batas kesucian makhluk kesayanganNya. Ia Maha Mengetahui akan hambaNya, Ia mencipta dari tangan yang penuh kasih sayang. Seorang ibu yang mengenal anaknya juga akan mengawal akan pergerakan anaknya agar tidak dirosakkan oleh alam sekeliling. Begitulah juga dengan syariat yang diturunkan kepada manusia, ia bukan bertujuan memberatkan mereka, malah ia adalah penzahiran sifat kasih sayang Allah kepada manusia.

Insan perlu bersyukur dengan menggunakan segala kelebihan yang ada pada dirinya untuk Deen Allah. Semua pergerakan hendaklah berpaksi dan bermatlamatkan Deen Allah. Jika ia seorang doktor, ia memahami bahawa tugasnya menjadi doktor sudah ditaklifkan Tuhan sejak azali lagi. Justeru itu Tuhan mendatangkan cita-cita dari kecil lagi, kemudian disertakan segala bakat-bakat untuk layak menjadi seorang doktor. Apabila ia mengetahui hal demikian, tiada sepatutnya ia hanya bekerja disebabkan minat semata-mata, atau hanya mahu membantu pesakit, atau disebabkan dorongan keluarga semata-mata, mahu dihormati atau kerana mencari rezeki keluarganya semata-mata. (Jika begitu) terlalu kecillah niatnya dan akan kecillah ia pada pandangan Allah, akan kecil pula akan pahalanya.

Sepatutnya ia luaskan akan niat dan matlamatnya iaitu tugasnya dikembangkan untuk Deen Allah. Ia bukan hanya seorang doktor yang bertugas merawat tubuh pesakit tetapi juga merawat hati manusia, merawat pemikiran manusia, merawat kehidupan manusia, menyuburkan benih kecintaan manusia kepada Allah, RasulNya dan Islam. Ia harus menjadi salah seorang anggota yang bekerjasama dengan manusia lain demi memancarkan cahaya Deen Allah. Begitu juga dengan kerjaya atau bidang-bidang yang lain.

Yang penting mereka mesti bersatu dalam matlamat, kefahaman dan diikat dengan mukjizat kasih sayang. Mereka bergerak bersama-sama dalam posisi yang berlainan. Mereka sibuk dengan urusan sebagai hamba Allah yang bertasbih kepada Allah pada pagi, petang dan malam dan dalam masa yang sama mereka sibuk dengan tugas sebagai khalifah Allah sehingga akhirnya alam ini tersenyum indah dengan cahaya Islam, manusia mendapat kebahagiaan, keadilan dan kebenaran kehidupan. Sesungguhnya lain dari akhlak ini manusia berada dalam kerugian dan Allah telah bersumpah dengan masa dan Allah jua yang Maha Mengetahui nilai masa ke atas manusia dimana kehidupan mereka di dunia ini hanyalah sebentar sahaja dan kehidupan ini digunakan sebaik-baiknya untuk membuktikan kebenaran iman mereka pada Allah kerana mereka tidak akan diberi peluang untuk kali kedua.

Firman Allah dalam surah Al-Asr :

Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.” (Al-Asr : 1-3)

WaLlahu ‘alam