Selasa, 9 Mac 2010

Syariat Islam pintu Syurga


Segala puji hanyalah milik Allah swt, yang mengatur dan memelihara alam ini dan isinya.
Selawat dan salam sejahtera buat junjungan besar nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda, para sahabat, para tabien, para solehin, para syuhada dan para alim ulama’.

Manusia hari ini menjadikan kehidupan dunia ini adalah satu matlamat bukan satu alat untuk menuju alam akhirat. Tiada yang mulia di dunia ini di sisi Allah swt melainkan kita membawa agama dalam kehidupan. Agama itu ialah agama Islam. Hanya Islam dapat menyelamatkan kita daripada fitnah dunia dan fitnah di akhirat. Barang siapa benar-benar beramal dengan Islam nescaya selamatlah dia di dunia dan akhirat. Ini adalah janji Allah swt. Janji siapa lagi kita perlu percaya? Tuhan tidak pernah memungkiri janjinya.


Kepercayaan kepada Allah inilah merupakan satu keimanan yang bukan boleh dijual beli seperti barang. Keimanan ini jugalah bukan barangan yang boleh diwarisi dari mana-mana keturunan. Ia adalah anugerah Allah swt yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki namun jangan kita merasa Allah itu zalim kerana memberi hidayah mengikut IradatNya. Di sana manusia perlu memahami kenapa hidayah Allah itu dikurniakan kepada sesiapa yang menjadi pilihanNya.

Semua kita maklum bahawa diri kita adalah berasal daripada Syurga Allah. Bapa kita iaitu Adam A.S berasal dari syurga Allah yang penuh kenikmatan. Itulah tempat asal kita. Tempat itu jugalah akan Allah kembalikan kita selepas melalui beberapa ujian di dunia ini. Allah menjadikan Neraka adalah untuk memberi peringatan agar kita di dunia ini berusaha dengan sedaya upaya untuk mengelakkan diri masuk ke dalamnya dan berusaha untuk masuk ke dalam Syurga Allah swt. Adakah kita memahami akan matlamat kehidupan ini?

Allah swt yang bersifat Rahmat dan Kasih Sayang menurunkan Nabi-nabi dan Rasul-Rasul memberi peringatan, perkhabaran dan pengajaran kepada hamba-hamba-Nya. Inilah kasih sayang Allah swt yang kita tidak sedari selama ini. Allah tidak akan membiarkan hamba-Nya berada di dalam kejahilan dan kebodohan. Kelengkapan dan potensi yang ada pada diri manusia itu membolehkan manusia menjadi khalifah di muka bumi dengan mengikut syariat Allah swt yang diturunkan melalui Nabi-Nabi dan rasul-rasul. Adakah Allah zalim? Tidak! Sudah cukup persediaaan dan panduan telah diberikan oleh Allah kepada hamba-Nya untuk melalui ujian hidup di dunia ini. Kita sahaja yang mengambil jalan hawa nafsu dan syaitan sebagai panduan hidup. Sebab itulah kita merasa sedih, resah, gelisah dan hanyut dengan harta benda dunia ini. Mereka yang mukmin yakni yang mengikut jalan Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul akan tenang tenteram hatinya walaupun hidup dalam keadaan senang ataupun susah. Segala kemungkaran di dalam rumah dan diluar rumah tidak akan berlaku jika setiap kita melaksanakan perintah Allah swt. Tiada buang anak, tiada seks bebas, tiada khalwat, tiada bunuh, tiada mencuri, tiada tidak berakhlak, tiada jenayah dan tiada segala kemungkaran. Ini semua hasil pendidikan yang menekankan perlaksanaan syariat Islam. Indahnya Islam namun kita masih jahil dan buta mata hati akan keindahannya....

Marilah sama-sama kita berusaha untuk mengamalkan semua syariat Islam dan menyebarkan syariat Islam ke dalam masyarakat dengan cara membuat usaha dakwah yang mengikut kemampuan dan kemahiran. Tiada kerja yang paling mulia melainkan membuat kerja Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul. Inilah dia kerja yang Allah swt pandang tinggi kerana kita berusaha untuk membawa hamba-Nya yang sudah jauh tersesat kembali kepada kepangkuan Allah sebagai Tuan dan Tuhan. Umpama kita membawa seorang anak yang berpuluh tahun berpisah daripada ibubapanya...tentu ibu bapa anak tersebut akan mengucapkan jutaan terima kasih serta penghargaan yang tinggi kepada kita.

Jangan kita menjadi penghukum.....hukum serah pada Allah swt.....