Selasa, 6 Oktober 2009

Bala Tuhan

Sedih, pilu, menyayat hati bila melihat dan mendengar kisah orang-orang yang telah diberi ujian oleh Allah swt di Padang, Indonesia. Belum pun selesai ingatan kisah yang mengorbankan ratusan ribu manusia di Aceh dek kerana Tsunami, kini ujian yang baru menimpa lagi. Tiada kata dan ucapan yang boleh dikeluarkan melainkan perkataan "Innalillahhiwainnailaihirajiuun" - DariNya kami datang dan kepada-Nya kami akan dikembalikan. "Lauhaulawala quwwataillahbillah" - tiada daya dan kuasa melainkan kekuasaan Allah…..Inilah pegangan yang perlu ditanam di dalam jiwa seorang Muslim bila diberi ujian sedemikian rupa. Perkataan tersebut mudah disebut namun hakikatnya amat pahit di dalam hati bila empunya diri terkena pada diri sendiri.


Inilah kekuasaan dan kehebatan Allah swt yang mentadbir dan menjadikan alam cakrawala dan isinya. Setiap zarah dan benda yang bergerak adalah dibawah takluk Qudrat dan Iradat-Nya. Tidak sesaat pun yang bergerak dan berlaku tidak dibawah jagaan Allah swt. Allah tiada masa tidur dan rehat….apa yang berlaku semua berada di dalam kitab-Nya. Kita ini hanyalah makhluk ciptaanNya yang sangat lemah dan tidak berupaya. Benarlah firman Allah swt yang bermaksud;

"Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia Yang Hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhluk-Nya); tidak mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaan-Nya apa yang di langit dan di bumi. Tiada yang dapat memberi syafa'at di sisi Allah tanpa izin-Nya? Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya. Kursi Allah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar
." (Al-Baqarah:255)

Sedarlah kita dan insaflah diri kita yang sentiasa lalai dan ingkar pada Allah…..siapa kita untuk melawan takdir Allah swt……sekelip mata sahaja Allah boleh menghancurkan kita….sebenarnya hidup kita ini terus menerus dalam Asma’-Nya dan Afaal-Nya. Rasailah akan hakikat ini. Diri kita dan seluruh alam cakrawala ini mempunyai satu titik tenaga yang telah disalurkan oleh satu tenaga yang Maha Hebat. Tanpa tenaga tersebut kita semua akan mati dan tidak mempunyai kehidupan.
Fahamilah diri kita, janganlah kita memakai pakaian Tuhan kita. Berusahalah dan bermujahadahlah dengan bersungguh-sungguh dengan menyucikan diri hati kita daripada sifat ujub, riyak dan takkabur. Kerana sifat-sifat ini hanyalah layak untuk Allah swt. Sekiranya kita memakainya juga maka kemurkaan Tuhan akan menimpa diri kita, kaum keluarga kita dan masyarakat kita. Renunglah apa yg telah berlaku disekeliling kita….bala dan malapetaka terus menerus berlaku disebabkan oleh tangan-tangan manusia yang bersifat penuh dengan kesombongan dan keangkuhan…..
Kepada hamba-hamba Allah yang telah mengalami dan merasai penderitaan kerana ujian Allah ini, bersyukurlah dan bersabarlah…kerana Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kamu…..