Selasa, 20 Oktober 2009

Hakikat Diri Manusia

Ketahuilah bahawa manusia adalah makhluk yang paling mulia, melebihi kedudukan para malaikat dan makhluk-makhluk yang lain. Ia dijadikan dengan sebaik-baik kejadian. Bukan kerana faktor fizikal dan anggota lahiriah semata-mata, tetapi kerana ia mempunyai jiwa atau roh, yang datang dari alam ghaib atau alam keTuhanan yang membolehkan ia terus berhubung terus dengan Allah, Tuhan yang menciptanya.

Hari ini ramai manusia termasuk diriku yang derhaka kepada Allah, kerana lupa asal usul. Jika bagi mereka yang kufur itu, ia tidaklah suatu yang sangat pelik tetapi mereka yang diutuskan Rasul dan Kitab terus menerus berada dalam keadaan menderhakai Allah. Malah ada juga yang berlagak sebagai Tuhan, melawan sistem dan peraturan Tuhan Maka jadilah kehidupan manusia itu sentiasa berada di dalam kemurkaan Allah.


Manusia seperti ini, termasuk kita sendiri perlu sedarkan kembali tentang asal usul kita, siapa kita yang sebenarnya. Bukan ‘aku’ yang bernama ak-fakir atau ‘aku’ yang menjadi Perdana Menteri dan Pengurus Besar Syarikat, tetapi ‘aku’ yang datang dari alam roh dan diturunkan ke dunia untuk menjadi hamba Allah, mengabdikan diri kepadaNya dan menjadi khalifahNya. Apabila membicarakan persoalan mengenai hakikat diri manusia, ia tidak boleh lari dari perbincangan mengenai hati atau roh. Ini kerana dalam Al-Quran dan Hadis nabi SAW, kemuncak pembicaraan mengenai manusia ialah mengenai kalbu (hati). Kadangkala ia disebut jiwa atau roh.

Hati ini juga dipanggil “hakikat keakuan” – aku ini, aku itu, aku pergi ke sana, aku datang ke sini, itu rumah aku, itu kereta aku, aku bijak, aku kuat, aku cantik, aku hensem, aku...aku...aku.... “Aku” itulah sebenarnya hakikat insan kerana ia ganti nama bagi roh atau kalbu. Apabila ia bercerai atau berpisah daripada tubuh kasar nescaya jadilah tubuh itu seperti tunggul kayu yang menunggu reput dan hancur menjadi tanah.


Dialah yang akan menerima hukum pembalasan sama ada baik atau jahat di negeri akhirat. Dialah yang memerintah negara-negara besar di dunia ini. Dialah yang menakluki makhluk-makhluk ini menjadi hamba abdi kepadanya. Dialah yang mencipta alat-alat dengan penuh kreativiti dan dialah punca hikmah dijadikan alam ini. Kalau bukan kerananya sudah tentu segala makhluk, syurga dan neraka tidak dijadikan.


Dia datangnya dari alam ghaib atau alam al-amr (alam yang tinggi), oleh itu ia akan kembali ke alam ghaib. Ia wujud sebelum alam kasar atau alam syahadah (kenyataan) ini wujud. Ia ditumpangkan ke alam dunia ini, tempat sementara ini kerana ada tujuan untuk menerima ujian. Ia datang dari alam kejadian Tuhan yang aneh (alam kerohanian) yang tidak menerima binasa dan fana selama-lamanya.

Dialah yang menanggung rasa bahagia atau celaka di akhirat. Dialah yang sudah mengenali Tuhan di alam arwah sebelum benda-benda ini dijadikan. Dialah yang mengetahui segala hakikat suatu dengan tanggapan ilmunya. Dialah yang sudah hidup, melihat, mendengar, bercakap dan seterusnya bersifat dengan sifat-sifat ma’ani (sifat Ketuhanan) sebelum ia bercantum dengan tubuh badan kasar.

Dialah yang digelarkan sebagai fitrah Allah (tabiat semulajadi untuk menerima agama dan rasa berTuhan) yang sudah mengenali dan mengetahui agamaNya dengan tidak payah belajar atau mentelaah kitab di alam arwah, yakni ia sudah mengenali segala –galanya sebelum ia dihantar atau dicantum dengan alam kenyataan (syahadah) ini. Malah ia pernah mengakui dan bersaksi di alam arwah bahawa Tuhan Yang Maha Esa itu adalah Allah. Firman Allah yang bermaksud:
“Tidakkah Aku ini Tuhamu? Mereka menjawab; Bahkan kami menyaksikan” (AL-‘Araf:172)

Dialah juga dijadikan sebab diutusnya para Rasul ke alam dunia ini untuk mengawasi dan mengingatkan kembali mengenai perkara-perkara agama yang manusia telah mengetahuinya ketika di alam arwah dulu, mudah-mudahan supaya manusia tidak mengotori fitrahnya, malah hendaklah sentiasa bersih dari awal sampai akhir. Firman Allah yang bermaksud:
Dialah fitrah yang Allah jadikan sesuai pada manusia, tidak dapat diubaha-ubah lagi pada kejadian Allah, itulah agama Allah yang betul.

Adapun orang-orang yang tiada menerima dan tiada mempercayai agama Allah yang disampaikan para Rasul di dunia ini, maka itulah tandanya mereka sudah mengotori fitrah bersih mereka yang sebenar dan ia sudah tercemar. Dengan itu mereka berhak mendapat gelaran ‘kufur’ di sisi Allah dan sewajarnya di dalam neraka, Na’udzubillahiminzalik.

Dialah juga tidak dijadikan atau dihantar ke alam dunia ini melainkan dengan ada hikmat ubudiyyah atau beribadah dan berbakti kepada Allah. Firman Allah yang bermaksud:
Dan Aku tidak ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada Ku” (Adz-Dzariyat)
Itulah hakikat “aku” yang sebenarnya. Lalu mengapa manusia tidak mahu menyedarinya atau memikirkannya?