Jumaat, 30 Oktober 2009

Hakikat Kebahagiaan Insan

Renunglah dalil Quran yang menjadikan tujuan utama Nabi dan Rasul diturunkan oleh Tuhan ke alam ini. Mereka memperjuangkan tauhid...rasa bertauhid atau rasa berTuhan..

Firman Allah swt yang bermaksud:
“Dan Kami tidak mengutuskan seorang rasul pun sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawasanya tiada Tuhan melainkan Aku, maka kamu sekelian hendaklah menyembah Aku.” (Al-Anbiya’ : 25)


“Dan sesungguhnya Kami telah utuskan pada setiap umat itu seorang Rasul (untuk menyeru): Sembahlah Allah dan jauhilah Taghut.” (An-Nahl : 36)

“Dan sesungguhnya Aku telah utuskan Nuh (nabi) kepada kaumnya, lalu dia berkata (menyeru): Wahai kaumku, hendaklah kamu menyembah Allah, (kerana) sesekali tiada Tuhan melainkan Dia.” (Al-Mu’minun : 23)

“Dan (Kami telah mengutuskan) kepada kaum ‘Ad saudara mereka Hud (nabi): Hai kaumku sembahlah Allah, sesekali tiada Tuhan bagi kamu selain dari-Nya.” (Al-‘Araf : 65)

Sesungguhnya kehidupan berTuhan itu amat indah dan bahagia. Namun,masih ramai gagal menemui erti yang jelas dengan apa yang dimaksudkan dengan hidup dengan hidup rabbani, sehingga ada yang tersesat dalam memilih Tuhan yang Esa sebagai sembahan mutlak. Ada yang mengambil Tuhan hanya dalam beberapa aspek kehidupan sahaja dan yang lebih buruk lagi, hanya kembali kepada Tuhan di saat kesusahan atau semasa berhajat kepada sesuatu. Semua kesilapan dan kesesatan ini merupakan punca dunia hari ini semakin merosot nilai dan kualiti kebahagiaan dan keselamatannya. Dalam hidup berTuhan, Allah adalah Tuhan yang sebenarnya perlu diiktiraf sebagai satu-satunya Ilahi atau sembahan, dan tiada yang lain selainNya. Allah kemudiannya perlu dikenali dan dijadikan ”qasdul hayat” atau matlamat kehidupan. Setiap gerak-geri kita mesti untuk pengabdian kepada Allah semata-mata. Hati juga perlu menyintai Allah, disamping ketundukan dan kepatuhan yang total. Inilah falsafah tauhid yang perlu dijadikan pegangan setiap manusia. Kehidupan yang diwarnai dengan sinar Tauhid akan sentiasa membahagiakan insan. Ia juga akan menjadikan semua masalah hidup boleh dihadapi dengan jiwa yang tenang, besar dan positif. Tauhid juga membawa manusia kepada keselamatan, kebahagiaan dan kecemerlangan di dunia dan akhirat. Kegagalan untuk kembali kepada Tuhan dalam setiap aspek kehidupan akan membawa manusia kepada kesesatan yang membinasakan hidup. Bukan sahaja hidup sengsara di akhirat, malah kebahagiaan tidak akan dapat dikecapi di dunia ini lagi.
Kehidupan yang menyisihkan atau menepikan Tuhan akan menjadikan manusia seperti binatang buas yang sentiasa mencari kepuasan hawa nafsu. Hiduplah dengan menyintai Allah SWT.Jadikan Rasulullah SAW sebagai petunjuk kerana ini sahajalah cara hidup yang diiktiraf oleh Tuhan yang mencipta insan dan seluruh makhluk, termasuk kehidupan itu sendiri.