Khamis, 1 Oktober 2009

Amanat Assyeikh Tokku Ibrahim

Segala puji hanyalah untuk Allah swt, Hanya Dia sahaja yang layak untuk menerima pujian dan sanjungan. Selawat dan salam sejahtera buat junjungan besar Nabi Muhammad saw,ahli keluarga baginda,para sababat,para tabien,para alim ulama,para pejuang, para syuhada dan para auliya’ yang tiada putus-putus melaksanakan amanah Allah swt.



Semalam ada amanat yang telah dicampakkan ke dalam hati hamba ini di mana dia datang dari seorang guru yang ArifbiLlah. Kedatangang beliau merupakan rezeki yang Allah berikan kepada kami di Kuala Lumpur. Dalam semua manusia tengah menyibukkan diri melakukan kerja dunia, tapi kami mengorbankan sedikit masa untuk mengambil seberapa banyak barakah dan ilmu dari beliau. Di antara amanatnya yang telah diperdengarkan kepada kami ialah betapa pentingnya diri kita mempelajari ilmu tauhid,fekah dan tasauf. 3 pecahan ilmu ini sama sekali tidak boleh dipisah atau diceraikan. Perpisahan ilmu ini akan menyebabkan amalan beragama kita tidak akan sempurna. Ramai manusia hari ini hanya mempelajari ilmu tauhid dan fekah sahaja tanpa menghiraukan ilmu tasauf. Perumpamaan yang diberikan ialah solat. Solat syariat dan solat hakikat. Ramai yang belajar rukun solat feeli dan qauli sahaja dengan meninggalkan rukun qalbi. Semua orang bersolat mengikut cara perangai Nabi tetapi qalbi/hati nabi ketika bersolat ramai yang tidak belajar. Bila takbir bermula..apa yang ada dalam batin Nabi ketika itu? Inilah ilmu tasauf/hakikat yang perlu dipelajari agar dalam solat kita siang dan malam, kita tidak syirik pada Allah swt. Allahukbar kita bertakbir...adakah hati kita ketika takbir itu sudah tengelam dan hancur dalam sifat Al-QAHHARNYA? Bila kita tidak rasa, maka kesannya kita akan lihat diri kita yang kuat dan hebat...sebab itulah solat tidak mendatangkan apa-apa kesan dalam kehidupan kita. Kita syirik dengan Allah kerana kesombongan dan keangkuhan kita mendirikan solat. Hati tidak nampak dan rasa bahawa semua gerak dan diam hanya dari Qudrat dan Iradat Allah..Allahukbar....Bila kami mendengar kata-kata beliau itu...menitis air mata kami...zikir dan solat kami masih dalam kelalaian/ghoflah...hati masih ada sifat keakuan (ananiyyah). Tidak ada rasa fakir dalam hati bila datang mengadap Allah swt. Bacaan dan doa dalam solat terus menerus dalam kelalaian dan kesombongan dengan Allah swt.....kena faham betul-betul apa itu Laahaulawala quwwataillahbillah (tiada daya dan kuasa melainkan kekuasaan Allah).
Solat kita tiada makam ihsan. Kita menyembah Allah seolah-olah kita menyaksikan Allah. Inilah martabat ihsan. Martabat ini sampai mati kita tidak akan dapat mencapainya tanpa mempelajari ilmu tasauf dengan mencari seorang guru rohani (yang Arif dengan ruhani) serta bersungguh-sungguh di jalan menuju Allah ini (salik).


Seterusnya kata Assyeikh Tokku Ibrahim Mohammad Assyathari lagi, 3 perkara penting yang perlu ditekankan ketika ini.


1) Zikirullah–Tujuan semua dan apa jua kerja kita samada kerja dunia, ibadah,solat, haji, puasa, zakat adalah semata-mata kerana zikirullah (ingatan hati pada Allah swt). Solat kita tiada makna jika tiada hadir hati kita kepada zikrullah sehingga diri kita fakir dengan sifat KEAGUNGANNYA. Puasa kita tiada makna jika penghujungnya tiada menjadikan diri kita golongan zikrullah sehingga kita bertakwa pada Al-QAHHARNYA. Zakat kita tiada makna jika tiada zikrullah, sehingga jiwa kita bersih dari sifat cinta dunia lantaran kerana mencari AL-QUDDUS. Haji kita tiada makna jika tiada zikrullah sehingga diri kita mengembara dalam kerinduan mencari AL-GHAFUR AR-RAHIM. Ilmu kita tiada makna jika tiada zikrullah sehingga diri kita merasa bodoh dalam sifat Al-ALIMNYA. Ibadah kita tiada makna jika tiada zikrullah sehingga diri kita merasa lemah dalam sifat QUDRAT DAN IRADATNYA. Firman Allah SWT:
Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya. (Al-Ahzab: 41)


2) Syukur – Mujahadah dengan bersyukur kepada Allah swt. Apa jua yang Allah telah takdirkan untuk kita, kita mesti bersangka baik dan terima dengan redha. Didik diri kita sentiasa dalam keadaan bersyukur padaNya dalam keadaan sikit atau banyak, susah atau senang, sakit atau sihat, payah atau mudah, lalai atau ingat, dimakbul doa atau dilambatkan, dalam ujian musibah atau ujian kenikmatan, dalam kegagalan atau kejayaan. Hari ini, kita dan masyarakat tiada bersyukur kepada Allah, benarlah firmanNya:
Sesungguhnya Allah benar-benar mempunyai kurnia yang dilimpahkan atas manusia, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.(Al-Mukmin: 61)
Kita hanya mahu bersyukur apabila berjaya atau ketika banyak atau ketika kaya atau ketika tercapai hajat. Ini lantaran tiada makrifat hati kita terhadap kasih sayang Allah pada diri kita. Apakah apabila Allah memberi kita sedikit, tiada tercapai hajat, gagal atau lainnya bermakna kita tiada dikasihiNYA? Siapakah kita untuk mengetahui rahsiaNYA? Apa yang penting bagi kita hendaklah faqir dalam sifat keAgunganNYA, bersangka baik dan sentiasa bersyukur pada takdirNYA. Syukur adalah kunci kekayaan yang menyebabkan diri kita tiada akan resah, gelisah dan banyak merungut-rungut dalam kehidupan. Syukur adalah sentiasa redha dengan Allah dalam apa jua keadaan. Syukur adalah memandang pilihan Allah lebih baik daripada pilihan dirinya. Syukurlah jika diri kita tiada dikenali kerana ia menyelamatkan diri kita dari sifat riak. Syukurlah jika diri kita dihina kerana ia menyebabkan nafsu kesombongan hancur. Syukurlah diri kita diberi sedikit kerana selamat diri kita daripada ketamakan dan panjang angan-angan. Syukurlah diri kita dipilih dalam golongan yang berzikir walaupun tiada dikurniakan keasyikan kerana kita dapat menaiki tangga kewalian dengan kesabaran dan istiqamah. Belajar bersyukur yang sedikit, nescaya Alah akan menambah nikmat kepada kita. Firman Allah SWT: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.(Ibrahim: 7)


3) Mahabbah (Cinta) - bermujahadahlah diri kita dengan MAHABBAH. Cinta hanya pada Allah swt. Untuk memiliki cinta Allah, cintailah Nabi SAW. Sebagaimana firmanNya yang bermaksud:


Katakanlah: Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.(Ali-Imran: 31). Untuk memiliki cinta Nabi, cintailah alim ulama yang membawa amanah Nabi. Cinta boleh menyebabkan sang Raja meninggalkan istana, yang jauh menjadi dekat, yang payah menjadi mudah, yang berat menjadi ringan, yang sengsara merasa gembira. Cinta bagaikan siraman air bagi bumi yang kegersangan. Cinta dapat memadamkan ammarah, dendam, marah, dengki, sombong, khianat dan lainnya. Segala mazmumah akan lemah apabila berhadapan dengan cahaya cinta yang bertunjang Illahi. Nabi SAW menyebarkan cahaya cinta, cahaya cintanya memaafkan segala mereka yang menghalaunya daripada Mekah, cahaya cintanya menghalang malaikat dari membalikkan bukit Thaif kepada penduduk yang menzaliminya, cahaya cintanya dapat menyatukan segala kabilah, cahaya cintanya dapat menundukkan segala musuhnya. Suburkan cahaya Asmaâ Ar-Rahman dan Ar-Rahim pada diri kita, maka berjalanlah dengan cahaya itu. Kemudian kita pantulkan pula pada ahli keluarga, alim ulama, para sahabat, masyarakat dan ke seluruh alam. Jika cinta pada keluarga atau wanita atau lelaki atau lainnya bukan disandarkan pada cinta Allah, kita akan terkurung dalam kegelapan neraka yang mengoyakkan hati kita. Semua cinta itu akan membinasakan kita. Maka bebaskan diri kita dari segala belenggu cinta yang lain, jadikan cinta sebagai buraq untuk diri kita mikraj kepada Allah, maka cinta disuburkan kepada Allah dan Rasul. Cinta perlukan pengorbanan. Berbaik sangka adalah serendah-rendah cinta, bersama merasa senang dan susah adalah pertengahan cinta, dan mendahului yang dicintai adalah setinggi-tinggi cinta. Maka beramallah kamu salah satu antaranya dalam pergaulanmu dengan manusia, dan bermujahadahlah sehingga sampai kepada yang ketiga. Insya Allah, inilah jalan yang membawa dirimu menjadi para kekasihNya. Bersabda Rasulullah SAW: Seseorang itu akan bersama dengan orang yang dicintainya (di akhirat nanti.) (Bukhari & Muslim)


Inilah sedikit sebanyak pesanan yang amat bermakna untuk kami di Kuala Lumpur. Semoga dengan pesanan ini dapat kiranya diri kami yang jahil lagi bodoh ini terus berusaha dan bermujahadah untuk mengamalkan apa yang dinyatakan oleh tuan guru syeikh Tokku.