Isnin, 2 November 2009

Kerosakan umat,Punca&Cara Mengatasinya I

Marilah kita merenung, memikir seterusnya melaksanakan idea dan saranan Tuan guru Asyeikh Tokku Ibrahim Mohamad Assyathari dalam permasalahan umat Islam di Malaysia kini. Secara jujurnya, beliau mengupas dan menghuraikan 3 institusi penting yang perlu melakukan "reformasi" iaitu ulama, pemimpin politik dan rakyat.

Kekuatan negara di masa hadapan amat bergantung kepada kekuatan generasi muda hari ini. Fakta semasa memberi isyarat bahawa gejala sosial dikalangan anak-anak muda begitu serius dan amat membimbangkan. Negara boleh menuju kepada kehancuran jika punca permasalahan tersebut tidak dikenalpasti dan diambil tindakan segera dalam mengatasinya. Jika negara sekangkang kera ini hancur,ketika itu tidak berguna lagi mengalirkan air mata darah sekalipun. Segala usaha membangunkan syiar-syiar Islam akan runtuh dalam sekelip mata sebagaimana runtuhnya bangunan PWTC di US, rumah dan bangunan di Indonesia, dan lain-lain tempat bala bencana.


Marilah kita merenung dan mengkaji dengan sedalam-dalam dan sebaik-sebaiknya punca masalah, bukan menjerit ke sana sini menceritakan masalah. Perumpamaannya ialah apabila seorang doktor melihat sesuatu penyakit itu begitu mudah merebak, dia melihat bahawa puncanya kuman yang aktif dan subur dalam tubuh pesakit tersebut. Mengubat penyakit dengan menyapu ubat luaran sahaja tidak akan menyembuhkan penyakit tersebut selagi kuman atau punca penyakit tersebut tidak dihapuskan. Ia akan hilang hanyalah untuk sementara waktu,kemudian akan timbul semula. Kadang-kadang,penyakit yang lain pula timbul.

Begitulah bandingannya dengan penyakit masyarakat. Sudahlah gejala sosial seperti penagihan dadah tidak selesai malah semakin bertambah, timbul pula gejala seks bebas, buang anak, pil khayal,bohsia, murtad, sumbang mahram, dirogol, dibunuh, diculik, dan tidak dapat ditulis lagi kerana terlalu banyak kes yang pelik-pelik. Semua ini melambangkan bahawa kuman penyakit dalam masyarakat masih wujud.

Kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat datang dari manusia. Dan segala yang datang dari manusia adalah berpunca dari hati. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya di dalam jasad anak Adam itu ada seketul daging bila ia baik nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan bila ia buruk,maka buruklah seluruh anggota tubuhnya.Ketahuilah, ia itu adalah hati (kalbu)”.(Bukhari dan Muslim)

Bunga-bunga penyakit yang dapat dilihat sekarang adalah berpunca daripada hati yang kosong dengan iman. Tiadanya cahaya keimanan. Hati mereka subur dengan nafsu dan syaitan. Mereka yang kosong jiwanya akan menjadi makanan syaitan. Mereka mencari kepuasan jiwa dengan jalan yang ditunjukkan oleh syaitan. Jalan itu sudah tentu melalaikan dan merosakkan mereka. Sebaliknya, orang yang jiwanya terhibur dengan iman, masa bersama anak isteri dan bekerja, hiburan menjadi perkara sampingan dan sedikit sahaja masa diperuntukkan untuknya. Tetapi bagi mereka yang kosong jiwanya dengan iman dan Tuhan, hiburan yang melalaikan adalah satu keperluan yang penting bagi kehidupannya.

Jika kita melihat kemungkaran lebih subur dari kebaikan, ia menandakan mereka yang sakit lebih ramai dari yang sihat jiwanya. Jika dibiarkan, maka kuman kemungkaran ini boleh menjangkiti dan merosakkan orang yang sihat. Justeru itu, ibubapa hari ini amat bimbang dengan suasana begini. Mereka mendidik anak-anak dalam suasana yang cukup mencabar kerana suasana yang wujud adalah suasana penyakit, suasana di mana kuman yang sangat merbahaya bertebaran dan ada di mana-mana. Orang yang tidak mempunyai antibodi yang kuat akan mudah terdedah dan terus dijangkiti penyakit merbahaya tersebut.

Menangis kerana merebaknya penyakit tiada maknanya. Sebaliknya kita menangis kerana tiada doktor dan klinik yang mampu merawatnya. Penyakit lama masih belum sembuh, datang pula penyakit baru yang menambahkan penderitaan sedia ada.

Hujjatul Islam Iman Al-Ghazali ra. telah membuat kajian dan penyelidikan dizamannya mengenai punca kerosakan umat. Beliau melihat baiknya pemimpin memberi kesan kepada baiknya rakyat jelata. Rosaknya rakyat kerana rosaknya pemimpin. Di sini beliau melihat para ulama sepatutnya memainkan peranan mereka membimbing para pemimpin dan penguasa. Beliau begitu sedih mengenangkan sikap ulama dizamannya. Kata beliau: “ Malangnya sekarang lidah-lidah ulama telah terikat, kerana itu mereka lebih suka berdiam diri. Jika mereka bercakap,percakapan mereka langsung tidak membantu hal keadaan diri mereka. Kerana itu, tidak hairanlah kalau mereka tidak berjaya memainkan peranan dalam membimbing para sultan (pemimpin). Sekiranya mereka bersikap benar dan berniat semata-mata melaksanakan hak ilmu, nescaya mereka berjaya memainkan peranan itu”.
Rosaknya rakyat adalah disebabkan rosaknya raja-raja, manakala rosaknya raja-raja adalah disebabkan rosaknya ulama-ulama. Rosaknya ulama adalah disebabkan oleh cinta dunia dan kemasyuran. Orang yang dikuasai oleh cinta kepada dunia, tidak akan memperdulikan langsung benda-benda yang kotor. Sehubungan itu, bagaimana ia dapat memainkan peranan dalam membetulkan raja-raja dan pembesar-pembesar negara?”.

Kesimpulannya ialah untuk menyembuhkan penyakit-penyakit dalam masyarakat dan mewujudkan masyarakat yang baik, maka para ulama, pemimpin dan rakyat perlu dibaiki terlebih dahulu. Jika ketiga-tiga punca ini tidak diubati dan dirawati, penyakit sedia ada tidak akan sembuh malah akan sentiasa berkembang.

Kita sangat sedih dan kesian melihat generasi muda yang menjadi mangsa keadaan. Mereka ibarat anak-anak kecil yang terkena penyakit. Walaupun banyak program rawatan dibuat, jika tidak disediakan doktor pakar dan ubatnya, program tadi tidak memberi kesan malah membazirkan masa dan duit sahaja.

Bersambung.....