Rabu, 17 Mac 2010

Dialah Tuhan...


Fahamilah bahawa Ruh dan segala sifat yang dimilikinya adalah dicipta oleh Allah, bukanlah ia sifat Allah yang Qadim, ia adalah baharu. Ruh dicipta dengan memiliki sifat-sifat KeTuhanan bagaikan seorang anak yang memiliki sifat ayah dan ibunya, walaupun tidak sama tapi mempunyai iras. Begitulah sifat Tuhan dengan hamba-Nya, walaupun mempunyai persamaan dari bahasa dan sifatnya tetapi amat berlainan dari segi hakikatnya.


Apabila kita mengatakan sifat wujud, ia juga ada pada makhluk namun wujud diri-Nya amat berlainan dengan wujud makhluk-Nya. Kewujudan-Nya bersifat dengan sifat Salbiah (menafikan segala sifat yang tidak layak bagi Tuhan), Istighna (Kaya) yang tiada pada wujud makhluk. Wujud makhluk ada permulaan sedangkan wujud-Nya tiada permulaan (Qadim). Inilah kehebatan-Nya dan amatlah lemah bagi akal memikirkannya untuk sampai kepada kemuncak rahsia-Nya. Namun akal tidak boleh menerima Tuhan yang menciptanya lemah sepertinya.

Seorang hamba tidak boleh menerima pencipta-Nya juga dicipta. Jika Dia dicipta, dimanakah sifat kehebatan-Nya sebagai Tuhan dan apakah beza kewujudan-Nya dengan hamba-Nya. Sebelum huruf-huruf yang lain dihadapannya, adanya huruf alif dan sebelum huruf alif ia bermula dengan titik dan titik tiada permulaan.


Setiap persoalan dalam kehidupan yang tidak sampai kepada Tuhan, ia tiada memberi jawaban yang haq, ia belum sampai kepada hakikat ilmu. Setiap persoalan yang masih bertanya ‘siapakah sebelum Tuhan’, melambangkan tiada kematangan pada akalnya. Di mana akal wajib menerima bahawa setiap sesuatu itu perlu ada kesudahannya, dan kesudahan dalam KeTuhanan ialah wajib menerima sifat Kaya Tuhan yang layak Dia mengaku sebagai Tuhan dan kita sebagai hamba-Nya.

Wujud makhluk menerima kebinasaan sedangkan wujud-Nya tidak menerima binasa, tiada akhirnya. Alangkah tenang dan rendah hati ini apabila Tuhan yang kita sembah tiada binasa sebagaimana makhluk-Nya. Jika Dia binasa apa akan terjadi pada alam dan diri hamba-Nya. Kepada siapa lagi untuk mereka bergantung dan mengadu, siapakah yang akan membalas kezaliman, kehinaan, penipuan, penyiksaan, fitnah yang dikenakan kepada hamba-hamba-Nya yang lemah dalam kehidupan ini? Siapakah yang akan membalas segala kebaikan hamba-Nya yang sanggup berkorban untuk kesenangan orang lain, yang sentiasa membantu insan yang lemah dan susah, yang sangat amanah, yang sangat mencintai orang miskin dan anak yatim, mereka yang membela nasib kehidupan manusia lain, mereka yang banyak menabur bakti dalam kehidupannya, sanggup meluangkan masa dan tenaga untuk agama dan masyarakat?

Manusia perlukan keadilan dan kekalnya diri-Nya tanpa binasa telah memberi jawaban bahawa keadilan akan dilaksanakan walau satu zarah sekalipun. Jika Dia juga binasa, makhluk tidak boleh menerima-Nya sebagai Tuhan, wajib bagi kewujudan-Nya kekal. Kewujudan-Nya tetap tidak menyamai makhluk-Nya. Dia terkaya dari segala yang terkaya, Dia berlainan dari segala yang berlainan. Dia tidak berjisim, Dia tidak berjirim, dengan sifat ini Dia tidak memerlukan tempat, tidak memerlukan ruang, tidak terikat dengan sifat atas, kanan, kiri, bawah dan atas.

Allahukbar! Kaulah Tuhanku, akulah hamba-Mu....