Khamis, 18 Mac 2010

Pinjaman atau hak milik ?


Justify FullMaha Suci Allah yang menciptakan semuanya dan mencipta setiap hukum ke atas segala kejadian. Allah menyusun dengan begitu indah dan amat teratur apa yang berlaku dan akan berlaku di alam ini. Bayangkanlah jika jalan raya tanpa kereta, sungai dan laut tanpa ikan,langit tanpa bulan,matahari dan bintang, bumi tanpa makhluk, bangunan tanpa manusia sudah pasti ini semua akan menyebabkan kesunyian dan kekosongan.


Hanya kita bersendirian di alam ini hidup pasti diri ini akan sunyi, kosong, puas dan tidak merasai apa-apa nikmat. Allah swt yang Maha Hebat ini menciptakan teman hidup (isteri,rakan), adik beradik, saudara mara, masyarakat, binatang, tumbuh-tumbuhan, planet-planet adalah khas untuk diri manusia. Tidak diciptakan ini semua kecuali untuk kesenangan dan kesusahan hamba-hamba-Nya. Allah yang bersifat Pengasih dan Penyayang ini menjadikan semua yang ada di sekeliling kita ini adalah khusus untuk hamba-Nya menjadi khalifah dan menjadi hamba suruhan-Nya. Diri kita khas dan tersangat khusus dicipta untuk mengabdikan diri kepada Allah swt. Sujud dan patuh kepada Allah swt setiap masa dan ketika.

Semua yang ada di sekeliling kita iaitu harta, kereta, wang, perempuan (isteri, kawan, teman, adik beradik), rumah dan semuanya adalah pinjaman semata-mata bagi memudahkan hamba-Nya tenang dan aman dalam beribadat kepada Allah swt. Pinjaman semata-mata inilah bermaksud “bila-bila masa Allah boleh menarik balik pinjaman yang diberikan. Bagi mereka yang menganggap pinjaman ini adalah hak kekal miliknya adalah satu kesengsaraan dan malapetaka bagi dirinya. Merasai semua yang berada ditangannya ini adalah milik kekal merupakan racun yang membunuh dirinya disaat sakratulmaut. Inilah dipanggil penyakit “hubbudunia”. Penyakit mencintai dunia.

Penyakit mencintai dunia inilah yang menyebabkan masyarakat Islam khususnya menjadi manusia yang jauh dengan Tuhan, menjadi masyarakat runtuh akhlak, menyebabkan runtuhnya insitusi politik, sosial dan ekonomi umat Islam.


Marilah kita merenung sejenak berapa ramai mereka hidup susah di luar sana (di dalam negara dan diluar negara)? Kenapa mereka susah dan tidak mendapat makanan yang secukupnya?

Marilah kita merenung sejenak berapa ramai mereka diluar sana tidak mengenal Tuhan dan mengerti akan hakikat beragama Islam dan pengamalannya?


Marilah kita berbalik kepada asal rukun Islam dan rukun Iman dalam pegangan hidup kita , bukan rukun negara TETAPI rukun Islam!.

Rukun Islam
1) Kalimah syahadah
2) Solat
3) Zakat
4) Puasa
5) Haji

Di dalam rukun Islam yang pertama adanya rukun Iman
1) Percaya kepada Allah swt
2) Percaya kepada Malaikat
3) Percaya kepada Rasul
4) Percaya kepada Kitab
5) Percaya kepada hari Kiamat / Pembalasan
6) Percaya kepada Qada’ dan Qadar

Jika kita mengkaji lebih mendalam dan benar-benar mengamalkan akan rukun Islam dan Iman ini maka sudah barang tentu tiada kerosakan di muka bumi ini dan tidak berlaku mereka yang kelaparan dan kesusahan di luar sana.
Renung sedalam-dalamnya untuk apa rukun Islam dan Iman ini? Sudah pasti Tuhan yang Maha Pengasih ini menurunkannya agar hamba-hamba-Nya tidak sesat dan tidak melakukan kemungkaran di atas muka bumi ini. Allahukbar....


MANUSIA DI BUMI INI TIDAK AKAN ADA YANG KELAPARAN JIKA SEMUA YANG ADA DUIT/HARTA BERLUMBA-LUMBA MENGELUARKAN ZAKAT, BERSEDEKAH, MEMBANTU MEREKA YANG SUSAH BUKAN DISIMPAN DALAM BANK UNTUK “PERHIASAN”.

Firman Allah swt yang bermaksud: “Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mu'allaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk mereka yuang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”.( At Taubah:60)


MANUSIA DI BUMI INI TIDAK AKAN BERANI MELAKUKAN MAKSIAT KERANA PERCAYA ADANYA HARI PEMBALASAN/KIAMAT ATAU PUN MALU DAN SEGAN DENGAN ALLAH SWT YANG MEMBERI REZEKI SETIAP HARI. (KERANA DALAM SOLAT KITA BERDOA DAN BERJANJI DENGAN ALLAH SWT).


Firman Allah swt yang bermaksud : “Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, yaitu Al Kitab (Al Quran) dan dirikanlah shalat. Sesungguhnya shalat itu mencegah dari (perbuatan- perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (shalat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan”. (Al 'Ankabuut:45)

Sebagai kesimpulannya ialah manusia yang benar dalam tauhid dan keimanan kepada Allah taala akan melakukan yang terbaik supaya masyarakat di luar sana tidak susah atau tidak kelaparan dan juga tidak melakukan kemungkaran. Hakikatnya diri kita semua ini fakir,miskin dan berhajat dengan Allah swt. Semua adalah “pinjaman”...Jika diberi sedikit kelebihan maka berkongsilah dengan mereka tidak diberi kelebihan. Inilah pertolongan dalam Islam, inilah pengorbanan dalam Islam, inilah “saudara dalam Islam”. Kita semua sama di sisi Allah swt...