Segala ilmu yang ada pada alam ini dari apa jua bangsa, sama ada ilmu yang berbentuk keduniaan atau akhirat adalah dari Ilmu Tuhan yang satu. Persoalan ini perlu difahami dengan teliti agar kita tidak menjadi seperti kaum Jabariah yang mentafsirkan manusia bagaikan kapas, tiada memiliki apa-apa kekuatan dan tidak bertanggungjawab di atas apa-apa yang berlaku, semuanya Tuhan sehingga meninggalkan ikhtiar dan usaha.
Begitu juga dengan fahaman Qadiriah yang mengatakan bahawa apa yang berlaku sama
ada baik atau buruk, gagal atau berjaya adalah dari manusia itu sendiri, tiada hubungan dengan Tuhan. Pegangan Ahli Haq berada ditengah-tengah fahaman ini di mana mereka tidak meninggalkan ikhtiar dan usaha kerana ia adalah takdir yang ditetapkan oleh Allah, namun dalam hakikatnya Allah yang menentukan segalanya. Misalnya bila perut terasa lapar, dengan segala sifat yang dicipta oleh Tuhan, insan wajib berusaha mencari makanan kerana ia takdir untuk menghilangkan lapar. Apabila kita mendapat makanan, kita disuruh bersyukur kerana hakikat yang mengenyangkan perut kita adalah Allah, bukannya makanan.
Mengharapkan kenyang semata-mata dengan menyerahkannya kepada Allah tanpa mahu berusaha adalah fahaman Jabariah. (Sebaliknya) apabila kenyang dengan tidak melihat hakikat kenyang dan bertemu rezeki adalah dari Allah (tetapi) melihat kepada daya usaha dan kebijaksanaan dirinya adalah fahaman Qadiriah. Justeru, berhati-hatilah agar kita tidak terjerumus dalam pegangan batil ini. Ia tidak bersumber dan tidak menepati kehendak Pencipta.
Contoh tauhid yang hakiki ditunjuk-Nya melalui perjalanan Rasul-Rasul-Nya, sahabat-sahabat Nabi dan para kekasih-Nya.
Fahamilah tentang hakikat diri kita agar kita tidak derhaka kepada Tuhan, agar kita tidak takabur dengan-Nya sehingga lupa kepada-Nya, sehingga tidak mematuhi perintah-Nya.Untuk memahami persoalan KeTuhanan ini, tidaklah cukup hanya berdiri dipintu ilmu, dipintu perbahasan, dipintu Ilmu Kalam atau Ilmu Usul, kerana (adanya) beberapa perkara yang tidak boleh dijelaskan dengan akal dan lisan tetapi dapat dihuraikan melalui pembukaan hati (mukasyafah) melalui jalan para ahli sufi. Segala Ilmu KeTuhanan adalah dalam milik diri-Nya. Para ahli sufi mendalami ilmu KeTuhanan dengan Tuhan sendiri melalui tajalli ke dalam hati. Mereka dipanggil para ‘ArifbiLlah iaitu orang yang benar-benar kenal akan Tuhan. Inilah ilmu yang paling tinggi dalam martabat ilmu yang dimiliki oleh insan di dunia ini. Hal ini perlu dirujuk kepada ahlinya.
Sebelum itu marilah kita memahami penghuraian sifat-sifat Allah melalui jalan Sifat 20 dan pengenalan diri agar sempurna martabat Ilmu Yakin yang wajib difahami dan dipegang oleh para mukmin yang mengharap keredhaan Tuhan. Kita juga wajib memahami pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah dengan sebaik-baiknya dan aqidah yang batil agar dengan ilmu yang kita miliki menjadi cahaya dalam kehidupan ini.