Jika Dia nyatakan melalui kalam Al-Quran melalui lisan Rasul-Nya yang mulia bahawa Dia berada di ‘arasy, adapun istiwa’, Rasul dan para sahabat menyerahkan makna kepada Diri-Nya. Begitu juga jika Dia mengatakan bahawa Dia bercakap dengan Musa (a.s) di Bukit Tursina atau mengatakan turun ke langit pertama pada waktu malam, atau mengatakan Dia dekat dengan hamba-Nya atau mengatakan diri-Nya di sebelah kanan, atau mengatakan Dia ketawa, wajib diri kita menerimanya dan menyerahkan makna kepada Diri-Nya dan tidak mentakwilkan sebagai sama dengan sifat makhluk. Apabila Dia mengatakan di ‘atas’, (maka) ‘atas’ yang layak bagi sifat diri-Nya, bukannya ‘atas’ sebagaimana yang difahamkan makhluk.
Begitu juga dengan sifat-sifat yang lain, ia tetap tidak sama dengan makhluk kerana kewujudan-Nya adalah bersifat dengan sifat yang tiada pada makhluk.
Golongan yang menyamakan sifat Tuhan sebagaimana sifat makhluk seperti duduknya sama seperti makhluk, atau mengatakan atas sebagaimana atasnya makhluk, turun bagaimana turunnya makhluk atau ketawa sebagaimana makhluk adalah golongan yang terkeluar dari pegangan sejati seorang mukmin. Ini adalah pegangan mujassimmah yang menyamakan Tuhan dengan makhluk. Jika Tuhan memerlukan tempat sebagaimana tempatnya makhluk, Dia adalah lemah dan berlawanan dengan sifat Kaya-Nya iaitu Qiamuhubinafsih iaitu berdiri dengan sendirinya tanpa berhajat kepada makhluk, sedangkan makhluk berhajat kepada-Nya.
Jika ada golongan yang mengatakan Allah berada di atas‘arasy, sebagaimana makhluk, ia hendaklah memahami bahawa ‘arasy adalah makhluk, ia bersifat baharu. Jika Allah berada di ‘arasy atau di langit, sebelum Allah menciptakan ‘arasy, diri-Nya ada di mana? Jika Dia berada di ‘arasy, besar manakah ‘arasy untuk menampung kebesaran Tuhan, berapakah ukuran lebar dan panjangnya? Jika Tuhan boleh diukur panjang dan lebar, bermakna Tuhan mempunyai jisim sebagaimana makhluk-Nya sedangkan ia bertentangan dengan firman-Nya bahawa Dia tidak menyamai makhluk-Nya.
Begitu juga dengan firman-Nya yang bermaksud;
“Aku berada dimana kamu berada...” (Al-Hadid : 4),
Adakah Dia bersama dengan hamba-Nya di sebelah atas, atau di kanan atau di kiri atau di belakang atau di bawah atau dalam diri, tiadalah kita ketahui bagaimanakah yang dikatakan kehampiran sebagaimana firman-Nya yang bermaksud;
“Aku lebih dekat denganmu lebih dari urat leher kamu...” (Qaaf : 16).
Justeru itu wahai diriku dan hamba-hamba-Nya, bertakwalah kepada-Nya dan terimalah bahawa Dia adalah Tuhan yang memiliki segala sifat yang kaya, dan akal tidak mampu pergi lebih jauh untuk membahaskan sifat Kaya Tuhan, sebagaimana kata Saidina Abu Bakar: “Lemah dari segala pendapat itulah pendapat”.
Sebaiknya kita menyerah akan maknanya kepada diri-Nya Yang Agung apabila kita bertemu dengan ayat yang kita tidak fahami seperti ayat Mutasyabihah, kerana Dia yang lebih mengetahui tentang Diri-Nya, Sifat-Nya, Af’al-Nya dan Asma’-Nya. Namun, hendaklah kita menghormati para ulama yang mentakwilkan dengan tujuan mensucikan Tuhan dari disifatkan seperti makhluk, supaya terselamat umat ini dari terjerumus ke lembah kesesatan dalam kefahaman mengenai Tuhan.
Banyak perkara di alam ini yang dinyatakan oleh diri-Nya tidak dapat dihuraikan oleh akal, apalagi tentang kehebatan diri-Nya. Manusia tidak (mampu) memberi jawaban jika ditanya persoalan ruh di dalam dirinya. Di manakah ia berada dalam diri, bagaimanakah rupanya? Berapa beratkah ia? Begitu juga apabila kita ditanyakan tentang udara, bagaimanakah wujudnya? Di manakah letaknya, di atas, di bawah, di kanan atau di kiri? Insan tidak dapat melihatnya tetapi boleh mengetahui kewujudanya dengan pelbagai cara. Ia berada di dalam diri dan di luar insan, dan insan tidak boleh hidup tanpanya.
Insan juga boleh mengetahui adanya angin apabila melihat pohon bergoyang. Insan hanya boleh melihat dalil tetapi tidak mampu meneroka lebih jauh melebihi kemampuan akal yang diberi. Diri-Nya mencipta makhluk seperti udara supaya insan memahami bahawa ada perkara dalam kehidupan seharian tidak mampu mereka lihat dan memahaminya dan menjawab persoalan mengenainya.
Begitulah juga sifat ma’ani-Nya iaitu melihat, mendengar, berkata-kata, berilmu, berkudrat, beriradat dan hidup. Walaupun Dia menyatakan sifat ini pada makhluk-Nya namun ia tiada persamaan dengan makhluk pada hakikatnya. Sifat melihat Tuhan tidak sama dengan makhluk, Dia tidak memerlukan mata, Dia tidak terbatas, tiada apa yang tersembunyi dari penglihatan-Nya sama ada yang nyata atau yang ghaib, sama ada yang kita lahirkan atau yang kita sembunyikan.
Begitu juga sifat-sifat-Nya yang lain di mana ia melazimi sifat ma’anawiyah. Namun apa yang perlu kita fahami bahawa segala sifat makhluk ini adalah takluk pada sifat wahdaniah iaitu satunya Tuhan. Apabila dirimu wahai insan memahami hakikat wahdaniah ini, dirimu akan melihat kekuasaan-Nya dan fanalah segala kekuatan yang ada pada makhluk. Segala gerakdiam dan kelakuan di alam ini adalah takluk dibawah qudrat iradah-Nya. Tidak bergerak satu zarah pun dari gerak alam ini melainkan dengan izin-Nya. Inilah pegangan ahli Tauhid yang hakiki sehingga mereka tidak bergantung hati mereka kepada sesuatu yang lain, mereka tidak takut pada yang lain, mereka tidak meminta pada yang lain, mereka tidak mencintai yang lain melainkan Allah.