Isnin, 28 Disember 2009

Al-Quran dan Manusia

Hari ini masyarakat banyak membuat pentafsiran kebenaran mengikut pandangan mereka. Adakalanya perkara yang bukannya masalah dianggap masalah, adakalanya perkara yang baik dianggap tidak baik, adakalanya kebenaran dianggap batil dan adakalanya kebatilan itu dianggap kebenaran. Kekeliruan ini (berlaku) kerana mereka tidak meletakkan kayu ukur kepada Al-Quran, As-Sunnah dan pandangan ulama-ulama yang muktabar.

Berbeza pendapat adalah amat menepati dengan ruh Islam namun ianya mestilah mengikut prinsip-prinsip Islam. Jika kita rasa kurang bersetuju dengan satu pendapat ulama muktabar, hendaklah kita menolaknya dengan penuh kesopanan terhadap ulama dan menggunakan hujah ulama muktabar yang lain yang sama kekuatan ilmunya. (Imam) empat mazhab amat menghormati ilmu dikalangan mereka, mempunyai hubungan peribadi yang begitu akrab walaupun mereka banyak berselisih pendapat dalam beberapa hal. Mengkritik pendapat ulama memerlukan ilmu seperti mereka sebagaimana pepatah mengatakan, “Hanya batu besar yang boleh menolak batu besar”. Ia bagi mengelakkan kritikan atau pandangan (dibuat oleh) orang yang tiada mempunyai disiplin ilmu yang betul dan ianya berdasarkan emosi, nafsu atau suasana sekeliling.

Apabila manusia hilang kayu pengukurnya, mereka menggunakan akal sebagai sandaran sedangkan akal amat lemah dalam menentukan kebenaran, ianya amat kerdil pada alam ini, hanya sedikit pengetahuan yang dibukakan kepadanya. Akal hanya memberi satu keputusan berdasarkan fakta dan fakta itu banyak dipengaruhi oleh logik, kajian, suasana atau khabaran sedangkan segalanya itu tiadalah menjamin kebenaran. Apabila akal menjadi sandaran kebenaran, maka dengan sendirinya kebenaran akan berlaku mengikut pentafsiran akal mereka. Apabila adanya kaum yang berfikir bahawa kehidupan tanpa perkahwinan tiada salah kerana dilihat perkahwinan sebagai satu penghalang kebebasan, maka ianya menjadi kebenaran bagi mereka, (malah) orang berkahwin dilihat tiada tamadun.

Apabila seorang wanita mengatakan bahawa tiada salah untuk berbogel jika ianya untuk tujuan seni, maka jika ada golongan yang menentangnya dianggap tiada memahami seni. Jika ada yang mengatakan tiada salah berzina jika ianya suka sama suka, maka zina akan menjadi satu kebaikan dalam pentafsiran mereka. Manusia akan bebas mentafsirkan kebenaran mengikut kefahaman mereka yang sesuai dengan budaya mereka sehingga perkahwinan lelaki sesama lelaki, perempuan sesama perempuan dibenarkan di atas asas hak kebebasan manusia.

Dalam Islam, golongan yang banyak mentafsirkan Islam mengikut logik adalah terdiri dari golongan Muktazilah dan Sekular sehingga mereka berpendapat bahawa Tuhan tiada kuasa dalam menentukan kehidupan manusia. Hari ini golongan ini begitu hebat untuk memperjuangkan Islam mengikut pandangan logik mereka, sehingga jika terdapat dalam Islam sesuatu yang tidak sesuai dengan akal mereka, mereka bangun menyuarakan (desakan) supaya dibuat kajian semula. Slogan bahawa Islam itu indah dan adil menjadi tema perjuangan namun keadilan yang dimaksudkan juga mengikut takrif mereka.

Dalam Islam, satu perkara yang sudah menjadi nyata nas dan disepakati ijma’ ulama, tidak boleh lagi dibuka ruang untuk dibuat kajian seperti kewajiban solat lima waktu, bilangan rakaatnya, puasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji dan sebagainya. Yang dibolehkan ialah perbincangan dalam perkara yang tidak nyata dalam nas seperti kewajiban membaca Bismillah (secara) kuat atau perlahan, dimanakah kedudukan tangan ketika membaca al-Fatihah dan sebagainya.

Janganlah terkeliru dengan kehebatan akal, berpeganglah dengan ajaran Islam tanpa menjadikan akal sebagai sandaran. Setiap arahan Allah yang datang, hendaklah didengar dan dipatuhi walaupun tiada menepati dengan logik akal kita. Jika Al-Quran memerintah supaya tidak boleh bergaul lelaki dan perempuan yang tiada muhrim, janganlah kita menjawab kita tiada apa-apa, hanyalah (hubungan) abang angkat atau adik angkat sahaja. Jika Islam menyuruh kita memisahkan tempat tidur anak lelaki dan perempuan, janganlah dijawab ‘takkan adik beradik pun ada nafsu’, begitulah juga persoalan-persoalan yang lain sama ada yang kecil atau perkara yang besar.

Kalau kita melihat sejarah para sahabat-sahabat Nabi SAW, kita akan melihat bahawa mereka adalah manusia yang luar biasa, banyak kelakuan dan perkataan mereka diluar pemikiran manusia biasa. Inilah yang dianggap oleh masyarakat Jahiliyah di zamannya bahawa mereka terkena sihir Nabi Muhammad SAW. Ini disebabkan kehidupan para sahabat baik dari matlamat hidup, pandangan, tindak tanduk mereka amat berlawanan dengan logik akal dan suasana atau budaya yang diwarisi turun temurun oleh nenek moyang mereka.

Mereka yang dianggap gila inilah yang akhirnya bangun menguasai dunia. Hari ini mereka yang dianggap golongan pelik, gila, bodoh menjadi ikutan para pencinta Islam, mereka bagaikan bintang-bintang yang menyinari langit, mereka adalah para kekasih Allah yang terbaik di muka bumi ini. Apakah yang menyebabkan mereka menjadi golongan yang hebat ini? Tiada lain wahai saudaraku, (melainkan) jiwa mereka ini telah disentuh oleh mukjizat Al-Quran.

Apabila mukjizat Al-Quran bersentuh dengan ciptaan Tuhan yang paling sempurna dan ajaib, akan lahirlah letupan yang hebat sehingga keluarlah pada insan itu keajaiban-keajaiban yang amat luar biasa. Mereka adalah manusia yang luar biasa, mereka bukan lagi manusia biasa, segala permata-permata dalam diri mereka telah digilap sehingga mengeluarkan sinar yang menyilau mata manusia yang lain. Permata sabar, redha, cinta, rindu, tawakal, syukur, pengorbanan, berani, kuat dan sebagainya telah dihubungkan dengan ayat Allah, dididik dan dikembangkan oleh sebaik-baik Murabbi iaitu Nabi SAW sehingga sifat-sifat itu menjadi amat luar biasa. Mereka memiliki jiwa sabar yang luar biasa, kasih sayang yang luar biasa, pengorbanan yang luar biasa, keberanian yang luar biasa dan sebagainya.

Segala permasalahan kehidupan manusia khususnya masyarakat Islam, jika tidak ditarbiah mengikut Al-Quran, akan menyebabkan mereka menjadi lemah dan tidak bermaya. Yang tinggal pada mereka hanyalah warisan adat-adat dalam Islam seperti sembahyang, puasa, zakat, haji dan sebagainya.

Kecerdikan masyarakat hari ini diukur mengikut kelulusan peperiksaan, kekayaan, pangkat bukannya dilihat sejauh manakah mereka memahami dan menghayati Deen Allah. Nabi SAW meletakkan kefahaman dan penghayatan terhadap agama pada tempat yang tertinggi dalam ukuran kemuliaan dan kecerdikan manusia, contohnya dalam urusan jodoh, agama diletakkan sebagai perkara yang utama sebagai kayu ukur kecerdikan dan kebaikan pasangan itu.

Nabi juga mengatakan bahawa secerdik-cerdik manusia ialah mereka yang banyak mengingati mati. Bagaimanakah dikatakan cerdik seorang itu jika ia mengutamakan kehidupan dunia yang sementara dari kehidupan yang kekal abadi, dimanakah cerdiknya jika ia mengikut hawa nafsunya yang akan membinasakannya dari mujahadah nafsunya sehingga membawa ketenangan dalam kehidupannya. Bagaimanakah dikatakan cerdik jika ia lebih mendengar bisikan syaitan dari bisikan wahyu Allah SWT. Bagaimanakah dikatakan cerdik jika ia lebih mengikut perkataan dan perbuatan masyarakat atau pemimpin yang jauh dari amalan Islam dari mengikut perkataan dan perbuatan Nabi SAW. Dimanakah cerdiknya jika ia lebih mengikut orang fasik dari para Ulama dan solehin. Dimanakah cerdiknya jika kehidupannya menuju ke neraka Allah, dimanakah cerdiknya jika ia lebih bergantung pada manusia yang lemah dari bergantung pada Tuhan Yang Maha Perkasa. Dimanakah cerdiknya jika ia takbur dengan barang yang bukan miliknya kerana sesuatu yang ada pada dirinya adalah pinjaman dari Allah SWT. Persoalan ini perlulah difikirkan agar kita tidak hanyut dengan falsafah kehidupan umat Islam yang semakin hari semakin ditenggelami oleh falsafah-falsafah Barat. Segerakanlah dirimu berpaut pada bahtera Nabi Nuh (a.s), jika tidak dirimu akan tenggelam.

Nabi SAW telah bersabda bahawa umatnya akan mengikuti Yahudi sedikit demi sedikit, sehasta demi sehasta sehingga apabila mereka masuk ke lubang Dhab (biawak pasir) mereka akan mengikutinya. Justeru itu fahamilah Islam secara keseluruhan tanpa mengambil cebisan-cebisan sahaja sebagaimana firman Allah :

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam agama Islam secara keseluruhan…” (Al-Baqarah : 208)

Apabila pemikiran menjadi neraca kebenaran, mereka akhirnya akan menjadi penentang kepada kebenaran tanpa disedari.

Segala permasalahan umat Islam hari ini tiadalah boleh diselesaikan hanya dengan seminar, laungan, semangat, perlambangan atau perundangan, ianya mestilah kembali kepada asas iaitu tarbiah mengikut Al-Quran dan Sunnah. Kalau dilihat masyarakat di zaman Nabi SAW, mereka hanyalah terdiri dari golongan buta huruf, pemabuk, pembunuh, penzina, pelaku sumbang mahram, penipu, pendendam, kasar, penyembah berhala, tiada diikat dengan undang-undang, memandang rendah pada golongan wanita, menjual manusia, memperhambakan manusia dan sebagainya. Namun Nabi SAW telah berjaya mengubah mereka, bukan sahaja menjadi manusia yang baik pada diri mereka tetapi mereka bangun menyebarkan kebenaran dan kebaikan Islam ke seluruh dunia.

Mereka sanggup menempuh apa jua badai yang mendatangi. Mereka datang pada manusia dengan sifat yang memperlihatkan ketenangan dan kebahagiaan, manusia tertawan pada mereka kerana kebahagiaan inilah yang dicari-cari oleh seluruh manusia. Mereka menyatakan bahawa kehidupan mereka juga dulu adalah sama seperti manusia lain, mereka juga golongan jahiliyah, mereka merasakan bahawa mereka berada dalam kehidupan yang bahagia namun mereka menyedari kesilapan mereka, dan dengan kasih sayang Allah, mereka didatangi Rasul yang memimpin tangan mereka kepada kebenaran dan kebahagiaan yang hakiki. Manusia amat percaya pada mereka, mereka mempunyai daya tarikan yang hebat bagaikan besi yang bermagnet, ramai golongan pencinta kebenaran menghulurkan tangan pada mereka untuk dibimbing dan mereka amat ikhlas dalam membimbing manusia. Dengan Al-Quranlah Nabi SAW telah berjaya mengubah manusia di padang pasir yang tiada tamadun kepada manusia yang amat hebat dalam sejarah manusia.

Manusia-manusia yang luar biasa ini masih bertebaran di dunia ini. Mereka adalah manusia yang telah disentuh oleh mukjizat Al-Quran, mereka juga menghadapi cemuhan sebagaimana cemuhan yang dilemparkan masyarakat jahiliah kepada Nabi dan para sahabat, namun bezanya serangan yang mereka hadapi ialah dari kalangan orang-orang yang mengucap kalimah Tauhid, saudara seagama mereka. Mereka hampir tenggelam (tidak dikenali) kerana keluarbiasaan yang ada pada mereka hanyalah dalam bentuk individu-individu yang berpecah, tidak sebagaimana para sahabat dalam bentuk jamaah yang kukuh. Mereka ini mudah diserang tanpa memiliki kekuatan untuk menentang namun mereka adalah golongan yang kuat jiwanya, jiwa mereka ada hubungan dengan langit, mereka tidak menghiraukan perkataan yang datang dari nilai yang rendah iaitu bumi. Mereka bagaikan gunung yang terus berpusing dengan putaran dunia tanpa terjejas dengan tiupan ribut taufan.

Jiwa mereka amat hebat, perbuatan mereka amat bercanggah dengan budaya manusia di sekelilingnya. Perkara luar biasa yang dianggap oleh mereka adalah perkara biasa bagi generasi awal Al-Quran. Al-Quran dan manusia bagaikan Gas dengan Api, apabila bertemu ia akan melahirkan letupan hebat yang boleh mengegarkan kawasan di sekelilingnya. Dari sentuhan Al-Quran inilah, lahirnya manusia seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq yang sanggup menginfaqkan segala hartanya, dari seorang jutawan menjadi manusia yang miskin harta tetapi amat kaya jiwanya.

Sentuhan Al-Quran akan menukar jiwa manusia yang biasa kepada luar biasa. Janganlah kita hairan pada mereka yang luar biasa apalagi mengeluarkan kata-kata yang tidak baik terhadap mereka. Jawablah pada diri kita bahawa kita tidak mampu mengikuti mereka kerana jiwa kita tidak sepenuhnya menerima tarbiah Al-Quran, (sebaliknya) mereka adalah manusia yang soleh di atas muka bumi ini.

Manusia biasa amat sayang kepada harta namun manusia yang luarbiasa melihat hartanya hanyalah suatu fitnah dan amat suka mengeluarkannya dari menyimpan. Manusia biasa amat suka kepada kekayaan dan kemewahan namun manusia yang luarbiasa amat mencintai hidup yang sederhana sebagaimana Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Umar al-Khattab yang mana mereka mampu hidup dalam kemewahan sebagai ketua negara. Manusia biasa amat sayang pada anaknya namun wanita yang luarbiasa menangis apabila tiada anak lelaki lagi untuk dihantar ke medan perang agar syahid. Wanita biasa mengharapkan suaminya pulang dari medan perang, wanita yang luarbiasa amat gembira apabila mendengar suaminya syahid di medan perang. Wanita biasa tiada mahu dirinya dimadukan, wanita yang luarbiasa meminang madunya dan bahagia bersama madunya.

Lelaki biasa tidak dapat mendidik dengan baik seorang isteri, lelaki yang luarbiasa dapat mendidik dan membahagiakan ramai isteri. Manusia biasa amat takut pada kematian, manusia luarbiasa amat merindui kematian. Manusia biasa amat cinta pada dunia, manusia yang luarbiasa amat zuhud pada dunia. Manusia biasa amat mengingati kejahatan orang padanya, manusia yang luarbiasa amat memaafkan malah memberi kebaikan pada musuhnya. Manusia biasa amat suka pada pujian dan kemayhuran, manusia luarbiasa amat membenci pujian dan kemasyhuran. Manusia biasa akan hanyut dengan kekayaan namun manusia luarbiasa tiada tenggelam dengan kekayaan seperti sifat tamak, angkuh dan sebagainya. Manusia biasa seronok dengan hawa nafsu, manusia yang luarbiasa amat seronok menentang hawa nafsunya. Manusia biasa takut dengan ujian atau musibah, manusia yang luarbiasa amat merindui musibah kerana musibah menyebabkan hatinya sentiasa terikat dengan Allah. Manusia biasa amat mencintai kenyang sedangkan manusia luarbiasa amat mencintai lapar.

Manusia biasa amat suka berdamping dengan pemerintah, sultan untuk mendapat kesenangan, manusia luar biasa amat menjauhi sultan-sultan, jika didatangi hanyalah untuk urusan agama. Manusia biasa amat suka dengan ramai pergaulan, manusia yang luar biasa amat suka bersendirian. Manusia biasa amat gerun dengan hukuman, manusia yang luar biasa mahu ia dihukum jika ia melakukan kesalahan, seperti yang terjadi ke atas wanita yang menyerah diri mahu ia direjam oleh Nabi kerana berzina walaupun Nabi melakukan pelbagai perkara supaya ia bertaubat tanpa dihukum. Ibu bapa yang biasa akan memilih bakal menantu yang kaya, berpangkat dan sebagainya, ibu bapa yang luar biasa lebih suka memilih menantu yang miskin dan tiada pangkat tetapi beragama. Pelbagai lagi contoh yang boleh diberi berdasarkan kehidupan Nabi dan para sahabat yang amat berlawanan dengan arus kehidupan biasa.

Zuhud adalah kehidupan umum para sahabat walaupun mereka berharta. Mereka sanggup menyerahkan kebun mereka untuk fisabilillah disebabkan kebunnya melalaikannya ketika dalam solat. Apabila Abdul Rahman bin Auf meninggal dunia, sahabat-sahabat semuanya dalam kesedihan dan kebimbangan kerana memikirkan bagaimana beliau akan menghadap Allah dengan harta yang begitu banyak ditinggalkan. Kemiskinan mereka tidak menghalang mereka melakukan kebaikan sehingga pernah berlaku pada seorang sahabat yang mana ia, isteri dan anak-anaknya sanggup kelaparan demi memberi makan pada tetamu, begitu juga Saidina Ali yang terkenal dengan kemiskinan tetapi amat terkenal juga dengan sifat dermawannya.

Pada hakikatnya masyarakat Islam kini tidak menempuh atau dicanai dengan sepenuhnya dengan mukjizat Al-Quran. Justeru itu, janganlah kita hairan dengan umat Islam yang kini walaupun mereka sembahyang, namun pada hakikatnya mereka juga telah menganut fahaman bertuhankan akal pada konsep hidup dan bertuhankan hawa nafsu pada kehambaan. Namun kejahilan dan nafsu telah menjadi api yang marak pada Islam, mereka akan dihancurkan sedikit demi sedikit sehingga akhirnya Islam sudah tiada lagi pada dirinya, amat malang lagi jika menjadi ejen memusuhi Islam tanpa disedari kerana bertuhankan logik akal. Apabila akal menjadi dasar kebenaran bukannya Al-Quran nescaya akan terpadamnya cahaya hati.

WaLlahu ‘alam.