Selasa, 22 Disember 2009

Kimia Kebahagiaan - Cinta Allah

Cinta kepada Allah ini adalah perkara yang paling tinggi sekali dan itulah tujuan kita yang terakhir. Kita telah bercakap berkenaan bahaya kerohanian yang akan menghalang cinta kepada Allah dalam hati manusia, dan kita telah bercakap berkenaan berbagai sifat-sifat yang baik sebagai keperluan asas menuju Cinta Allah itu.

Kesempurnaan manusia itu terletak dalam Cinta kepada Allah ini. Cinta kepada Allah ini hendaklah menakluki dan menguasai hati manusia itu seluruhnya. Kalau pun tidak dapat seluruhnya, maka sekurang-kurangnya hati itu hendaklah cinta kepada Allah melebihi cinta kepada yang lain.


Sebenarnya mengetahui Cinta Ilahi ini bukanlah satu perkara yang senang sehingga ada satu golongan orang bijak pandai agama yang langsung menafikan cinta kepada Allah atau Cinta Ilahi itu. Mereka tidak percaya manusia boleh Mencintai Allah Subhanahuwa Taala kerana Allah itu bukanlah sejenis dengan manusia. Kata mereka; maksud Cinta Ilahi itu adalah semata-mata tunduk dan patuh kepada Allah sahaja.

Sebenarnya mereka yang berpendapat demikian itu adalah orang yang tidak tahu apakah hakikatnya agama itu. Semua orang Islam bersetuju bahawa cinta kepada Allah (cinta Allah) itu adalah satu tugas. Allah ada berfirman berkenaan dengan orang-orang mukmin;

"Allah Cinta kepada mereka dan mereka Cinta kepada Allah".

Nabi pernah bersabda;

"Belum sempurna imam seseorang itu hingga ia Mencintai Allah dan Rasulnya lebih daripada yang lain".

Apabila malaikat maut datang hendak mengambil nyawa Nabi Ibrahim, Nabi Ibrahim berkata,"Pernahkah engkau melihat sahabat mengambil nyawa sahabat?" Allah berfirman, "Pernahkah engkau melihat sahabat tidak mahu melihat sahabatnya?" Kemudian Nabi Ibrahim berkata, "Wahai Izrail! Ambillah nyawaku!".

Doa ini diajar oleh Nabi kepada sahabatnya;

"Ya Allah, kurniakanlah kepada ku Cinta terhadap Mu dan Cinta kepada mereka yang
Mencintai mu, dan apa saja yang membawa aku hampir kepada CintaMu, dan jadikanlah CintaMu itu lebih berharga kepadaku dari air sejuk kepada orang yang dahaga".

Hasan Basri ada berkata;

"Orang yang kenal Allah akan Mencintai Allah, dan orang yang mengenal dunia akan benci kepada dunia itu".

Sekarang marilah kita bincangkan pula berkenaan keadaan cinta itu. Bolehlah ditakrifkan bahawa cinta itu adalah kecenderungan kepada sesuatu yang seronok atau nyaman. Ini nyata sekali pada dari yang lima (pancaindera) iaitu tiap-tiap satunya mencintai apa yang memberi keseronokkan atau kepuasan kepadanya. Mata cinta kepada bentuk-bentuk yang indah. Telinga cinta kepada bunyi-bunyinya yang merdu, dan sebagainya. Inilah jenis cinta yang kita ada dan binatang pun ada.

Tetapi ada dari yang keenam atau keupayaan pandangan yang terletak dalam hati, dan ini tidak ada pada binatang. Dengan melalui inilah kita mengenal keindahan dan keagungan keruhanian. Oleh itu, mereka yang terpengaruh dengan kehendak-kehendak jasmaniah dan keduniaan saja tidak dapat mengerti apa yang dimaksudkan oleh Nabi apabila baginda berkata bahawa baginda cinta kepada sembahyang melebihi dari cintanya kepada perempuan dan bau harum wangi, meskipun perempuan dan wangi-wanginya itu disukai juga oleh baginda. Tetapi siapa yang mata batinnya terbuka untuk melihat keindahan dan kesempurnaan Ilahi akan memandang rendah kepada semua perkara-perkara yang zahir walau bagaimana cantik sekalipun.

Orang yang memandang zahir saja akan berkata bahawa kecantikan itu terletak pada warna kulit yang putih dan merah, kaki dan tangan yang eloknya dan lawa bentuknya dan sebagainya lagi, tetapi orang ini buta kepada kecantikan akhlak, seperi apa yang dikatakan orang bahawa seseorang itu mempunyai sifat-sifat akhlak yang "indah". Tetapi bagi mereka yang mempunyai pandangan batin dapat mencintai orang-orang besar yang telah kembali ke alam baka, seperti Khalifah Umar dan Abu Bakar misalnya, kerana kedua-dua orang besar ini mempunyai sifat-sifat yang agong dan mulia, meskipun badan mereka telah hancur menjadi tanah. Cinta seperti ini bukan memandang kepada sifat-sifat zahir sahaja, tetapi memandang kepada sifat-sifat batin. Bahkan apabila kita hendak menimbulkan cinta dalam hati kanak-kanak terhadap seseorang, maka kita tidak memperihalkan keindahan bentuk zahirnya, dan lain-lain, tetapi kita perihalkan keindahan-keindahan batinnya.

Apabila kita gunakan perinsip ini terhadap cinta kepada Allah, maka kita akan dapati bahawa Dia sajalah sepatutnya kita Cinta. Mereka yang tidak Mencintai Allah itu ialah kerana mereka tidak Mengenal Allah itu. Apa sahaja yang kita cinta kepada seseorang itu, kita cintai kerana itu adalah bayangan Allah. Kerana inilah kita cinta kepada Muhammad (S.W.T.) kerana baginda adalah Rasul dan kekasih Allah; dan cinta kepada orang-orang alim dan orang-orang warak itu adalah sebenarnya cinta kepada Allah.

Kita akan lihat ini lebih jelas jika kita perhatikan apakah sebab-sebabnya yang menyemarakkan cinta.

Sebab pertama ialah, bahawa seseorang itu cinta kepada dirinya sendiri dan menyempurnakan keadaannya sendiri. Ini membawanya secara langsung menuju Cinta kepada Allah, kerana wujudnya dan sifatnya manusia itu adalah semata-mata Kurniaan Allah sahaja. Jika tidaklah kerana kehendak Allah Subhanahuwa Taala dan KemurahanNya, manusia tidak akan lahir ke alam nyata itu. Kejadian manusia itu dan pencapaian menuju kesempurnaan adalah juga dengan kurnian Allah semata-mata. Sungguh aneh jika seseorang itu berlindung ke bawah pokok dari sinaran matahari tetapi tidak berterima kasih kepada pokok itu. Begitu jugalah jika tidak kerana Allah, manusia tidak akan wujud dan tidak akan ada mempunyai sifat-sifat langsung. Oleh itu, kenapa manusia itu tidak Cinta kepada Allah? Jika tidak cinta kepada Allah bererti ia tidak mengenalNya. Tanpa mengenalNya orang tidak akan Cinta kepadaNya, kerana Cinta itu timbul dari pengenalan. Orang yang bodoh saja yang tidak mengenal.

Sebab yang kedua ialah, bahawa manusia itu cinta kepada orang yang menolong dan memberi kurniaan kepada dirinya. Pada hakikatnya yang memberi pertolongan dan kurniaan itu hanya Allah sahaja. Sebenarnya apa sahaja pertolongan dan kurnian dari makhluk atau hamba itu adalah dorongan dari Allah Subhanahuwaa Taala jua. Apa sahaja niat hati untuk membuat kebaikan kepada orang lain, sama ada keinginan untuk maju dalam bidang agama atau untuk mendapatkan nama yang baik; maka Allah itulah pendorong yang menimbulkan niat, keinginan dan usaha untuk mencapai apa yang dicinta itu.

Sebab yang ketiga ialah cinta yang ditimbulkan dengan cara renungan atau tafakur tentang Sifat-sifat Allah, Kuasa dan KebijaksanaanNya. Dan bermula Kekuasaan dan kebijaksanaan manusia itu adalah bayangan yang amat kecil dari Kekuasaan dan Kebijaksanaan Allah Subhanahuwa Taala jua. Cinta ini adalah seperti cinta yang kita rasai terhadap orang-orang besar di zaman lampau, umpama Imam Malik dan Imam Syafie meskipun kita tidak akan menjangka menerima sebarang faedah peribadi dari mereka itu, dan dengan itu adalah jenis yang tidak mencari untung. Allah berfirman kepada Nabi Daud,

"Hamba yang paling aku Cintai ialah mereka yang mencari Aku bukan kerana takut hukumKu atau hendakkan KurniaanKu, tetapi adalah semata-mata kerana Aku ini Tuhan".

Dalam kitab Zabur ada tertulis,

"Siapakah yang lebih melanggar batas daripada orang yang menyembahKu kerana takutkan Neraka atau berkehendakkan Syurga? Jika tidak aku jadikan Surga dan Neraka itu tidakkah Aku ini patut disembah?".

Sebab yang keempat berkenaan cinta ini ialah kerana perkaitan rapat antara manusia dan Tuhan, yang maksudkan oleh Nabi dalam sabdanya;

"Sesungguhnya Allah jadikan manusia menurut bayanganNya"

Selanjutnya Allah berfirman;

"HambaKu mencari kehampiran denganKu, supaya Aku jadikan dia kawanKu, dan bila Aku jadikan ia kawanku, jadilah Aku telinganya, matanya dan lidahnya".

Allah berfirman juga kepada Nabi Musa;

"Aku sakit, engkau tidak mengungjungiKu."Nabi Musa menjawab, "Hai Tuhan, Engkau itu Tuhan langit dan bumi, bagaimana engkau boleh sakit?" Allah menjawab, "Seorang hambaKu sakit, kalau engkau mengunjungi dia, maka engkau mengunjungi Aku."

Ini adalah satu perkara yang agak bahaya hendak dikaji berlarutan kerana ia tidak terjangkau oleh pengetahuan orang awam, bahkan yang bijak pandai pun mungkin tumbang dalam perjalanan perkara ini, lalu menganggap ada percantuman atau penjelmaan Tuhan dalam manusia. Tambahan pula perkara kehampiran hamba dengan Tuhan ini dibangkang oleh Alim Ulama' yang tersebut di atas dulu kerana mereka berpendapat bahawa manusia itu tidak dapat mencintai Allah oleh sebab Allah bukan sejenis manusia. Walau pun berapa jauh jaraknya antara mereka, namun manusia boleh mencintai Allah kerana kehampiran itu ada ditunjukkan oleh sabda Nabi

"Allah jadikan manusia menurut rupanya."

Untuk mendapat dan menjejaki maksud sabda Nabi yang penuh dan melimpah dengan lautan hikmah zahir dan batin ini, perlulah diambil pengajaran dari kalangan ulama yang muqarrabin yang arifbiLlah (ahli dalam KeTuhanan) dari kalangan Aulia Allah yang apabila bercakap, hanya akan mengungkapkan sesuatu yang didatangi dari Alam Tinggi; bukan beralaskan sesuatu kepentingan atau pengaruh hawa nafsunya. Ilmu mereka adalah pencampakkan Ilham dari Allah Taala yang didapati terus dari Allah sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Imam Ghazali dalam karyanya Al-Risalutul lil Duniyyah sebagaimana berikut;

Ilham adalah kesan Wahyu. Wahyu adalah penerangan Urusan Ghoibi manakala Ilham ialah pemaparannya. Ilmu yang didapati menerusi Ilham dinamakan Ilmu Laduni.

Ilmu Laduni ialah ilmu yang tidak ada perantaraan dalam mendapatkannya di antara jiwa dan Allah Taala. Ia adalah seperti cahaya yang datang dari lampu Qhaib jatuh ke atas Qalbu yang bersih, kosong lagi halus (Lathif).

Wallahu'alam