Isnin, 14 Disember 2009

Hukum Mendapatkan Guru - Mursyid

Guru adalah merupakan wasilah (perantara) kita untuk mengenal sesuatu baik ilmu akademi ataupun ilmu agama. Tanpa guru atau penunjuk jalan akan menyebabkan kita akan mudah tersesat daripada jalan yang benar dan lurus. Di luar sana pelbagai guru dan penunjuk jalan telah dijadikan “role model” untuk mencapai hajat sesuatu atau mengenal atau mengetahui sesuatu. Ada mereka mereka mendapat penunjuk jalan yang benar dan ada juga mendapat petunjuk yang sesat. Berhati-hatilah mendapat penunjuk jalan (guru) kerana mereka ini ada yang benar dan ada yang batil. Dalam ilmu akedemi, mana-mana guru pun kita boleh ikut dan pelajari TETAPI dalam ilmu agama lebih-lebih lagi dalam ilmu Kerohanian (KeTuhanan), perlulah mendapat seorang pembimbing. Di sini saya mengemukakan hukum-hukum mendapatkan pimpinan syeikh mursyid (guru) berdasarkan penulisan guru saya (Syeikh Tokku Ibrahim Mohamad).

Pandangan Ibn Khaldun mengenai hukum mendapatkan pimpinan syeikh mursyid itu dapat kita rumuskan seperti berikut :

1. Bagi orang yang melakukan mujahadah al-taqwa, pimpinan syeikh mursyid tidak diwajibkan dan tidak diperlukan kerana ilmu dan amalan diperingkat tersebut memang menjadi perkara yang mudah diketahui dan amat jelas. Oleh itu, orang yang melakukan mujahadah di peringkat ini memadai dengan membaca kitab-kitab atau tunjuk ajar dari seseorang guru agama biasa. Bagaimanapun, orang tersebut disunatkan mendapat pimpinan syeikh mursyid supaya mujahadahnya dan natijahnya akan menjadi lebih sempurna.

2. Bagi orang yang melakukan mujahadah al-istiqamah pula walaupun tidak diwajibkan mendapat pimpinan syeikh mursyid tetapi ia sangat diperlukan. Ini kerana dengan adanya syeikh mursyid maka orang yang bermujahadah itu lebih mudah dapat menentukan perkra-perkara yang lebih utama dan lebih baik. Tegasnya, hukum mendapatkan pimpinan syeikh mursyid di peringkat mujahadah ini adalah sunat muakkad atau sunat yang sangat dikehendaki.

3. Bagi orang yang melakukan mujahadah al-kasyf pula adalah diwajibkan untuk mendapatkan pimpinan syeikh mursyid. Ini kerana tanpa pimpinan syeikh mursyid itu mujahadah tingkat ini tidak dapat dilakukan apatah lagi untuk mencapai segala tujuan atau matlamatnya.

Menurut Syeikh Zarruq pula, hukum mendapatkan pimpinan syeikh mursyid itu perlu atau tidaknya dapat dilihat dari tiga sudut yang berlainan. Beliau menyebutkan yang pertama :

“ Dipandang dari sudut syeikh-syeikh itu sendiri : Syeikh al-ta’lim bagi seseorang yang cerdik dan bijak yang tahu berbagai-bagai sumber ilmu maka memadailah baginya dengan (merujuk) kepada kitab-kitab ( sahaja). Syeikh tarbiyyah pula memadailah dengan berdampingan (suhbah) dengan seseorang yang beragama, berakal ( sempurna) dan (boleh) memberi nasihat : Syeikh al-tarqiyyah pula memadailah bertemu dengan syeikh itu dan mendapat keberkatannya sahaja. Dan jika (ketiga-tiga itu didapati dari seorang sahaja adalah lebih sempurna).”

Yang kedua beliau berkata :

“ Dipandang dari (sudut) keadaan murid/ pelajar itu : Murid yang bodoh, tidak boleh tidak mesti ada syeikh yang mentarbiyyahkannya. Murid yang cerdik pula memadai dengan kitab untuk meningkatkan ( kerohaniannya) tetapi ia tidak akan selamat daripada berbagai-bagai sifat jahat dirinya sendiri, sekali pun ia boleh mencapai matlamat ( perjalanan mujahadahnya itu ) kerana adanya ujian seseorang itu ( yang mesti dihadapinya) iaitu ( adanya sifat) ingin melihat dan merasakan ( kelebihan ) dirinya sendiri”.

Yang ketiga :

“ Dipandang ( dari sudut) berbagai-bagai mujahadah : Mujahadah al-taqwa tidak memerlukan kepada seseorang syeikh kerana mujahadah al-taqwa itu amat terang dan umum ( mudah diketahui dan orang ramai telah pun tahu). Mujahadah al-istiqamah memerlukan seseorang syeikh mursyid bagi membezakan (dan mengetahui) perkara yang lebih baik dalam mujahadah itu, kadang-kadang bagi orang cerdik memadai dengan kitab-kitab sahaja, tanpa syeikh. Mujahadah al-kasyf dan al-tarqiyyah pula, tidak boleh tidak mesti ada syeikh yang menjadi tempat rujukan untuk menjelaskan rahsia-rahsianya seperti Nabi saw merujukkan kepada Waraqah apabila didatangi kebenaran (wahyu)”.

Ternyata pandangan Syeikh Zarruq sama dengan pandangan Ibn Khaldun dalam masalah hukum mendapatkan pimpinan syeikh mursyid dalam ketiga-tiga jenis mujahadah yang tersebut. Apabila kita teliti semula pandangan kedua-dua tokoh tasawwuf tersebut maka kita dapati bahawa kedua-duanya membincangkan hukum mendapatkan pimpinan syeikh mursyid dalam perspektif Islam keseluruhannya, tidak dilihat secara khusus kepentingan atau keperluannya dalam ilmu Tariqah atau tasawwuf. Jika dilihat secara khusus dari sudut ilmu tariqah atau tasawwuf, maka hukum mendapatkan pimpinan syeikh mursyid itu adalah wajib, kerana tanpa pimpinannya maka ilmu dan amalan tariqah / tasawwuf tidak akan dapat dicapai, difahami, diamalkan dan matlamatnya juga mustahil dapat dicapai.

Oleh yang demikian, maka para ulama tasawwuf telah sependapat bahawa seseorang salik menurut pengertian ahli tasawwuf yang sebenar diwajibkan mendapat pimpinan seseorang syeikh mursyid. Marilah kita tinjau pandangan dan pendapat sebahagian dari para ulama tasawwuf itu. Menurut Syeikh ‘Abd. Al-Qadir al-Jilani, keperluan untuk mendapatkan pimpinan syeikh mursyid sangat dikehendaki dan dimestikan kerana peraturan tersebut telah pun menjadi sunnah Allah yang mesti diikuti. Beliau berkata :

Hendaklah (seorang salik/murid) itu menetapkan (ilmu dan keyakinannya) bahawa Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Agung telah menentukan adat (sunnah) kebiasaan bahawa di muka bumi ini ada syeikh yang diikutinya mulai daripada Adam a.s hinggalah sampai berlakunya hari kiamat”.

Menurut Syeikh Abd al-Qadir al-Jilani, apabila Nabi Adam a.s diciptakan oleh Allah dan ditempatkan disyurga, maka beliau pun diajar oleh Allah mengenai nama-nama semua perkara seperti yang disebutkan dalam firmanNya :

Dan Allah mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) semuanya”.

Kemudian Allah melantik Adam a,s sebagai syeikh untuk mengajar kepada malaikat mengenai apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadanya, sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah :

Allah berfirman: “hai Adam! Beritahulah kepada mereka( malaikat) itu akan nama-nama ( benda-benda) itu”.

Kedudukan Nabi Adam a.s sebagai syeikh mursyid dan para malaikat sebagai murid itu menunjukkan kelebihan darjat Nabi Adam a.s ke atas para malaikat semua sehingga Syeikh Abd al-Qadir al-Jilani menegaskan dengan katanya :

Maka ternyatalah kelebihan (darjat) Adam a.s itu ke atas para malaikat. Jadilah Adam a.s orang yang terbaik dan termulia di sisi Allah dan di sisi malaikat. Adam a.s jadi pimpinan dan para malaikat menjadi pengikutnya”.

Setelah Adam a.s melakukan kesalahan dan dimurkai Allah maka beliau pun dikeluarkan dari syurga untuk hidup di dunia. Ketika darjat Adam a.s telah jatuh menjadi rendah dan ilmu yang diajarkan oleh Allah telah hilang. Apabila Adam a.s telah berada di dunia ini,dengan rahmat Allah maka dikirimkan Jibril a.s untuk mengajarkan Adam a.s mengenai kehidupannya yang berkaitan dengan keduniaan dan juga agama. Dengan itu jadilah Adam a.s sebagai murid dan Jibril a.s sebagai syeikh padahal semasa disyurga dahulu kedudukan kedua-duanya adalah sebaliknya, Adamlah yang menjadi syeikh dan Jibril menjadi murid.

Setelah Nabi Adam a.s mendapat didikan dan asuhan yang lengkap dan sempurna daripada Jibril a.s, maka darjat dan kedudukannya tinggi dan mulia semula, sehingga beliau dilantik menjadi nabi dan Rasul yang bertugas mengajar anak-anak dan cucu cicitnya. Begitulah seterusnya para nabi dan rasul itu mendapat didikan dan asuhan dari Jibril a.s dan para nabi dan rasul pula menjadi pendidik dan pengasuh bagi umat masing-masing. Nabi Muhammad saw mendapat tarbiyyah daripada Jibril a.s. Kemudiannya, Nabi saw menjadi pendidik dan pengasuh para sahabatnya. Selepas kewafatan baginda saw maka para sahabatnya mendapat didikan dan asuhan dari tabi’in. Begitulah seterusnya bersambung-sambung dari seorang ke seorang yang lain, dari satu angkatan ke satu angkatan yang lain, turun temurun sehingga melahirkan apa yang dikenali sebagai nasab ma’nawi atau keturunan kerohanian atau salsilah para syeikh.

Oleh kerana pimpinan, didikan dan asuhan syeikh mursyid itu begitu penting, maka Syeikh Abd al-Qadir al-Jilani mengesyorkan kepada sesiapa sahaja yang mahukan kejayaan yang sebenar dalam perjalanannya kepada Allah itu maka hendaklah ia belajar dan berdampingan dengan seseorang syeikh yang alim tentang hukum-hukum Allah yang boleh mengenalkannya jalan makrifat, tanpa syeikh mursyid yang memimpin maka salik itu akan menjadi korban berbagai- bagai bahaya dan kejahatan tanpa disedarinya.

Syeikh Abd al-Qadir ‘Isa menyebutkan tentang pentingnya syeikh mursyid ini dengan katanya :

“Dan Rasulullah saw itu adalah cermin yang diciptakan oleh Allah sebagi contoh yang sebaik-baiknya bagi sifat-sifat kemanusiaan yang utama. Allah berfirman (mengenainya): “ Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah saw itu ada ikutan yang baik bagi orang-orang yang mahukan (keredhaan) Allah, hari akhirat dan menyebut/mengingati Allah sebanyak-banyaknya” Oleh itu sistem amalan yang boleh mencapai pembersihan hati dan menghiasinya dengan berbagai-bagai sifat akhlak yang sempurna menerusi persahabatan dengan pewaris Nabi Muhammad saw itu dan mursyid yang sebenarnya kerana dengan bersahabat dengannya akan menambahkan iman, taqwa dan akhlak. Sebahagian dari berbagai-bagai penyakit hati anda dan keaiban jiwa anda itu akan sembuh dengan berdampingan dengannya dan menghadiri majlis-majlis (ilmu dan amalannya). Ciri-ciri peribadi anda akan dipengaruhi oleh ciri-ciri peribadinya yang mana (ciri-ciri peribadinya) itu merupakan satu gambaran dan keperibadian yang menjadi contoh iaitu keperibadian Rasulullah saw . (Dilihat) dari sudut ini maka ternyatalah salahnya orang yang menyangka bahawa dirinya boleh merawat berbagai-bagai penyakit hatinya sendiri dan akan mendapat pula membersihkan berbagai-bagai kecacatan dan kelemahan hati itu dengan semata-mata membaca al-Quran sahaja”.

Imam al-Ghazali pula menegaskan tentang kepentingan syeikh mursyid tersebut dengan katanya :

Seseorang murid perlukan seseorang syeikh dan ustaz yang boleh diikutinya, agar syeikh akan menunjukkannya arah jalan yang benar. Sesungguhnya jalan agama itu adalah samar dan jalan-jalan syaitan itu pula terlalu banyak dan mudah pula. Sesiapa yang tidak ada syeikh yang memimpinnya maka syaitanlah yang memimpinnya ke arah jalan-jalannya. Sesiapa yang berjalan di lembah-lembah yang bahaya tanpa orang yang menjaga keselamatannya sesungguhnya ia telah membahayakan dirinya sendiri dan membinasakannya. Orang yang bersendirian (tanpa syeikh) itu adalah seperti pokok tumbuh sendiri yang pasti akan mudah mati, jika pokok tersebut terus hidup dan berdaun (rimbun) ia tidak akan berbuah. Maka hendaklah orang yang mengawasi seseorang murid itu ialah syeikhnya. Maka hendaklah murid itu berpegang teguh terhadap syeikhnya itu”.

Ibn Atho’Illah al-Iskandari pula menegaskan dengan katanya:

Sayugialah bagi sesiapa yang telah berazam untuk mendapatkan asuhan agama dan menjalani jalan kebenaran untuk mencari seseorang syeikh dari kalangan ahli al-tahqiq yang menjalani jalan tersebut, yang meninggalkan hawa nafsunya, yang teguh pendiriannya dalam khidmatnya terhadap Tuhannya. Maka apabila murid itu telah mendapat syeikh tersebut, hendaklah ia taat terhadap suruhannya dan menjauhi apa-apa yang dilarang dan ditegahnya”.

Syeikh Abd al-Wahhab al-Sha’rani pula menegaskan tentang pentingnya syeikh tersebut dengan katanya:

Kata-kata Musa a.s kepada Nabi Khidir a.s (seperti dalam firman Allah): “Adakah saya boleh mengikuti tuan supaya tuan mengajarkan saya sebahagian ilmu yang telah diajarkannya kepada tuan sehingga menjadi baik, cukup sebagai kemuliaan ( dalam menyakini pentingnya syeikh itu ) bagi ahli jalan tersebut. Demikian juga pengiktirafan Imam Ahmad bin Hanbal r.a terhadap kelebihan (ilmu dan darjat) Abu Hamzah al-Baghdadi dan keredhaannya (untuk menjadi muridnya). Dan demikian juga (pengiktirafan ) Imam Ahamad bin Surayj r.h terhadap Abu al-Qasim al-Junayd. Dan Imam al-Ghazali pun mencari syeikh yang menunjukkan jalan ( kepada Allah itu) padahal kedudukannya adalah sebagai Hujjah al-Islam. Dan demikian juga Syeikh ‘Izzu’d Din bin ‘Abd al-Salam mencari syeikh juga walaupun ia digelarkan sebagai Sultan al-Ulama atau raja para ulama. Syeikh ‘Izzu’d Din berkata: “ Aku tidak dapat mengenal Islam yang sempurna (sebenar-benarnya) kecuali setelah (berlakunya) hubunganku dengan Syeikh Abu al-Hassan al-Shadhili r.a dan aku meredainya ( sebagai syeikhku). Kalaulah dua orang tokoh besar tersebut memerlukan syeikh (yang memimpin mereka) walaupun ilmu syariat mereka begitu luas, maka orang yang lain daripada keduanya seperti kita ini tentulah lebih utama (untuk mendapatkan pimpinan syeikh mursyid itu)

Oleh yang demikian, maka tepatlah pandangan Syeikh al-Tayyibi mengenai kewajipan mencari syeikh mursyid tersebut seperti yang pernah dikatakannya:

Tidaklah wajar bagi seseorang yang alim itu berasa puas hati dengan apa yang ia tahu sahaja sekalipun ilmunya melaut sehingga ia menjadi seorang yang (terkenal kealimannya) pada zamannya, tetapi apa yang wajib (dilakukan) ialah menghubungkan diri (belajar) dengan ahli tariqah, supaya mereka dapat menunjukkan jalan (agama)yang lurus. Sesungguhnya para ahli tariqah itu telah mengijma’kan terhadap (hukum) wajibnya seseorang itu mendapatkan syeikh bagi dirinya yang bakal mengasuhnya (bagaimana) untuk menghapuskan sifat-sifat (yang tercela) itu yang (biasanya) menghalang hatinya dari sentiasa mengingati Allah, supaya ( dengan asuhan syeikh itu juga) ingatannya selalu kepada Allah menjadi betul dan demikian juga sifat khusyu’nya dalam semua ibadat. (Kewajipan mendapatkan syeikh itu)adalah termasuk dalam kaedah (usul fiqh) yang menyebutkan : sesuatu perkara yang menyebabkan sesuatu kewajipan itu tidak akan dapat disempurnakan kecuali dengannya, maka perkara tersebut wajib (hukumnya). Tidak syak lagi bahawa merawat berbagai-bagai penyakit batin wajiblah mencari seorang syeikh yang (dapat) mengeluarkannya dari tiap-tiap sifat kejahatan itu. Sekiranya ia tidak menemui seoranh syeikh di dalam negerinya atau di daerahnya, wajiblah ia merantau untuk mendapatkannya”.

Imam Fakhru’d Din al-Razi dalam kitab tafsirnya yang terkenal Mafatih al-Ghayb pula menyebutkan :

Berkata setengah-setengah daripada mereka (ahli tafsir) Sesungguhnya apabila Allah berfirman : “Hidayatkanlah kami ini ya Allah akan jalan (agama) yang lurus. Allah tidaklah memadai berfirman setakat itu sahaja, tetapi terus berfirman :” Iaitu jalan orang-orang yang Engkau bagi nikmat ilmu dan iman ke atas mereka. Ini menunjukkan bahawa seseorang murid itu tidak ada jalan baginya kecuali apabila ia mengikuti seorang syeikh yang memimpinnya kearah jalan yang benar dan menjauhkannya dari jatuh ke lembah berbagai-bagai kesalahan dan kesesatan”.

Syeikh Ibrahim al-Bajuri seorang ulama dalam mazhab Shafi’e yang terkenal pada zamannya dan pernah menyandang jawatan ‘Shaikhu’l-Azhar pula pernah menegaskan pentingnya syeikh mursyid itu dengan katanya:

Dan apabila mujahadah di bawah pimpinan seseorang syeikh dari kalangan orang’arifin itu lebih memberikan manfaat kerana kata-kata mereka (para ulama) : Hal seseorang dalam seribu orang itu lebih memberi faedah daripada nasihat seribu orang kepada seorang, maka wajarlah bagi seseorang itu melazimkan (diri) dengan seorang syeikh yang arif tentang al-Quran dan al-Sunnah dan beradab sopan beserta dengannya. Mudah-mudahan orang tersebut akan dapat mengambil (meniru) daripada hal syeikh itu yang mana boleh membersihkan batinnya dan Allahlah yang menguruskan hidayatNya”.

Kesimpulannya adakah kita perlu berguru? Perlukan kita mencari penunjuk jalan? Samakah diri kita dengan ulama-ulama terdahulu yang sudah tinggi keilmuan mereka tetapi masih tetap mencari guru mursyid?

Wallahu’alam