Khamis, 3 Disember 2009

Kimia Kebahagiaan

Ketahuilah bahawa manusia ini bukanlah dijadikan untuk gurau-senda atau "saja-saja" semata-mata. Tetapi adalah dijadikan dengan 'Ajaib sekali dan untuk tujuan yang besar dan mulia. Meskipun manusia itu bukan Qadim (kekal dari azali lagi), namun ia hidup selama-lamanya. Meskipun badannya kecil dan berasal dari bumi, namun Ruh atau Nyawa adalah tinggi dan berasal dari sesuatu yang bersifat Ketuhanan. Apabila hawa nafsunya dibersihkan sebersih-bersihnya, maka ia akan mencapai taraf yang paling tinggi. Ia tidak lagi menjadi hamba kepada hawa nafsu yang rendah. Ia akan mempunyai sifat-sifat seperti Malaikat.
Dalam peringkat yang tinggi itu, didapatinya SyurgaNya adalah dalam bertafakur mengenang Allah Yang Maha Indah dan Kekal Abadi. Tidaklah lagi ia tertakluk kepada kehendak-kehendak kebendaan dan kenafsuan semata-mata. Al-Kimiya' Keruhanian yang membuat pertukaran ini. Seorang manusia itu adalah ibarat bahan "Kimia" yang menukarkan logam biasa( Base Metal) menjadi emas. Kimia ini bukan senang hendak dicari. Ia bukan ada dalam sebarang rumah orang.

Kimia ini ialah ringkasya berpaling dari dunia dan menghadap kepada Allah Subhanahuwa Taala. Bahan-bahan Kimia ini adalah;

1. Mengenal Diri
2. Mengenal Allah
3. Mengenal Dunia ini Sebenarnya (Hakikat Dunia)
4. Mengenal Akhirat sebenarnya (Hakikat Akhirat)

Di dalam Kitab Kimiya Saa'dah (Kimia Kebahagiaan) karangan Imam Al-Ghazali telah menjelaskan apa itu kimia yang dimaksudkan dan bagaimana mereka beroperasi. Ketahuilah bahawasanya "perbendaharaan Tuhan" di mana Kimia ini boleh didapati ialah di Hati Para Ambiya' dan pewaris-pewarisNya dari kalangan ulama-ulama Sufi iaitu kalangan Aulia Allah. Sesiapa yang mencarinya selain daripada itu adalah sia-sia dan akan Muflis di Hari Pengadilan kelak apabila ia mendengar suara yang mengatakan , "Kami telah angkat tirai dari kamu, dan pandangan kamu hari ini sangat tajam dan nyata".

Allah Subhanahuwa Taala telah turunkan ke bumi ini 124,000 orang Ambiya’ untuk mengajar manusia tentang bahan-bahan kimia ini. Bagaimana hendak menyucikan hati mereka dari sifat-sifat rendah dan keji itu.

Mari sama-sama kita meneliti perkembangan perbincangan Imam Ghazali ini dari satu tingkat ke satu tingkat yang membuka jalan-jalan orang-orang Sufi yang mencapai Maqam Mahabbah (kecintaan); puncak tertinggi kebahagiaan yang ingin dimiliki oleh orang-orang yang Mengenal Allah di"posting" yang akan datang.InsyaAllah..

bersambung.....