Isnin, 7 Disember 2009

Kimia Kebahagiaan - Anak Kunci Mengenal Diri

Mengenal diri itu adalah "Anak Kunci" untuk Mengenal Allah. Hadis ada mengatakan; 'Siapa yang kenal dirinya, maka dia Mengenal Allah". Firman Allah Taala; "Kami akan tunjukkan kepada mereka tanda-tanda Kami dalam dunia ini dan dalam diri mereka sendiri, supaya Hakikat itu boleh terzahir kepada mereka" (Al-Fusilat:53)

Tidak ada perkara yang lebih hampir dari diri sendiri. Jika kita tidak kenal diri sendiri, bagaimana kita hendak tahu perkara-perkara yang lain?
Yang dimaksudkan dengan Mengenal Diri itu bukanlah mengenal bentuk lahir kita, badan, muka, kaki, tangan dan lain-lain anggota kita itu. Kerana mengenal semua perkara itu tidak akan membawa kita mengenal Allah. Dan bukan pula mengenal setakat perkara dalam diri kita iaitu bila kita lapar kita makan, bila dahaga kita minum, bila marah kita memukul dan sebagainya. Jika kita bermaksud demikian, maka binatang itu sama juga dengan kita. Yang dimaksudkan sebenar mengenal diri itu ialah;

· Apakah ada dalam diri aku itu? · Dari mana aku datang? · Ke mana aku akan pergi? · Apakah tujuan aku berada dalam dunia fana ini? · Apakah sebenarnya bahagia dan apakah sebenarnya derita?

Sebahagian daripada sifat-sifat kita adalah bercorak kebinatangan.Sebahagian pula bersifat Iblis dan sebahagian pula bersifat Malaikat. Kita hendaklah sedari sifat yang mana perlu ada; dan yang tidak perlu. Jika kita tidak tahu, maka tidaklah kita tahu di mana letaknya kebahagiaan kita itu.

Kerja binatang ialah makan minum, bekerja, tidur,bersyahwat dan berkelahi. Jika kita hendak jadi binatang, buatlah itu sahaja. Iblis dan syaitan itu sibuk hendak menyesatkan manusia, pandai menipu dan berpura-pura. Kalau kita hendak menurut mereka itu, buatlah sebagaimana kerja-kerja mereka itu. Malaikat sibuk dengan memikir dan memandang Keindahan Ilahi. Mereka bebas dari sifat-sifat kebinatangan. Jika kita ingin bersifat dengan sifat KeMalaikatan, maka berusahalah menuju asal kita itu agar dapat kita mengenali dan memikirkan Allah Yang Maha Tinggi dan bebas dari belenggu hawa nafsu. Kita hendaklah tahu kenapa kita dilengkapi dengan sifat-sifat kebinatangan itu. Adakah sifat-sifat kebinatangan itu akan menaklukkan anda atau adakah anda menakluki mereka?. Dan dalam perjalanan kita ke atas martabat yang tinggi itu, kita akan gunakan mereka sebagai tunggangan dan sebagai senjata.

Langkah pertama untuk mengenal diri ialah mengenal dalam diri itu terdiri dari bentuk yang zahir, iaitu badan; dan perkara yang batin iaitu hati atau Ruh. Yang dimaksudkan dengan "HATI" itu bukanlah seketul daging yang terletak dalam sebelah kiri badan. Yang dimaksudkan dengan "HATI" itu ialah satu perkara yang menggunakan semua keupayaan; yang lain itu hanyalah sebagai alat dan kakitangannya. Pada hakikat hati itu bukan termasuk dalam bidang Alam Nyata(Alam Ijsam) tetapi adalah termasuk dalam Alam Ghaib. Ia datang ke Alam Nyata ini ibarat pengembara yang melawat negeri asing untuk tujuan berniaga dan akhirnya kembali akan kembali juga ke negeri asalnya. Mengenal perkara seperti inilah dan sifat-sifat itulah yang menjadi "Anak Kunci" untuk mengenal Allah.

Sedikit idea tentang hakikat Hati atau Ruh ini bolehlah didapati dengan memejamkan mata dan melupakan segala perkara yang lain kecuali diri sendiri. Dengan cara ini, dia akan dapat melihat tabiat atau keadaan "diri yang tidak terbatas itu". Meninjau lebih dalam tentang Ruh itu adalah dilarang oleh hukum.
Dalam Al-Quran ada diterang;
Mereka bertanya kepadamu tentang Ruh. Katakanlah Ruh itu adalah dari Amar(perintah atau urusan) TuhanKu". (Bani Israil:85)

Demikianlah sepanjang yang diketahui tentang Ruh itu dan ia adalah jauhar yang tidak boleh dibahagi-bahagi atau dipecah-pecahkan dan ia termasuk dalam "Alam Amar". Ianya bukanlah tidak ada permulaan. Ia ada permulaan dan diciptakan oleh Allah. Pengetahuan falsafah yang tepat berkenaan dengan Ruh ini bukanlah permulaan yang mesti ada dalam perjalanan Agama, tetapi adalah hasil dari disiplin diri dan berpegang teguh dalam jalan itu; seperti tersebut di dalam Al-Quran; "Siapa yang bersungguh-sungguh dalam jalan Kami, nescaya Kami akan pimpin mereka ke jalan yang benar itu". (Al-Ankabut:69)

Untuk menjalankan perjuangan Keruhanian ini, bagi mencapai pengenalan kepada diri dan Tuhan, maka · badan itu bolehlah diibaratkan sebagai sebuah Kerajaan, · Ruh itu ibarat Raja.
· Pelbagai deria(senses) dan keupayaan(fakulti) itu ibarat satu ketumbukan tentera,
· Aqal itu bolehlah diibaratkan sebagai Perdana Menteri.
· Perasaan itu ibarat Pemungut Hasil.
· Marah itu ibarat Pegawai Polis.
Dengan pakaian Pemungut Hasil, perasaan itu berterusan ingin hendak merampas, merabuk dan marah sentiasa cenderung kepada kekasaran.Kedua-dua mereka ini perlu ditundukkan ke bawah perintah Raja. Bukan dibunuh atau dimusnahkan kerana mereka ada tugas yang perlu mereka jalankan, tetapi jika perasaan dan marah menguasai Aqal, maka tentulah Ruh akan hancur.

Ruh yang membiarkan keupayaan-keupayaan yang bawahnya menguasai keupayaan-keupayaan yang atas adalah ibarat orang orang yang menyerahkan malaikat kepada kekuasaan Anjing atau menyerahkan seorang Muslim ke tangan orang Kafir yang zalim. Orang yang menumbuh dan memelihara sifat-sifat iblis atau binatang atau Malaikat akan menghasilkan ciri-ciri atau watak yang sepadan dan dengannya iaitu iblis atau binatang atau Malaikat itu. Dan semua sifat-sifat atau ciri-ciri ini akan dizahirkan dengan bentuk-bentuk yang kelihatan di Hari Pengadilan.· Orang yang menurut hawa nafsu terzahir seperti babi, · orang yang garang dan ganas seperti anjing dan serigala, · dan orang yang suci seperti Malaikat.

Tujuan disiplin akhlak (moral) ialah untuk membersihkan Hati dari karat-karat hawa nafsu dan marah, sehingga ia jadi seperti cermin yang bersih yang akan membalikkan Cahaya Allah Subhanahuwa Taala.
Mungkin ada orang bertanya; "Jika seorang itu telah dijadikan dengan mempunyai sifat-sifat kebinatangan, Iblis dan juga Malaikat, bagaimanakah kita hendak tahu yang sifat-sifat Malaikat itu adalah jauharnya yang hakiki dan yang lain-lain itu hanya sementara dan bukan sengaja?" Jawabannya ialah jauhar atau zat sesuatu makhluk itu ialah dalam sifat-sifat yang paling tinggi yang ada padanya dan khusus baginya. Misalnya keldai dan kuda adalah dua jenis binatang pembawa barang-barang, tetapi kuda itu dianggap lebih tinggi darjatnya dari keldai kerana kuda itu digunakan untuk peperangan. Jika ia tidak boleh digunakan dalam peperangan, maka turunlah ke bawah darjatnya kepada darjat binatang pembawa barang-barang sahaja.

Begitu juga dengan manusia; keupayaan yang paling tinggi padanya ialah ia boleh berfikir iaitu ia ada Aqal. Dengan fikiran itu dia boleh memikirkan perkara-perkara Ketuhanan. Jika keupayaan berfikir ini yang meliputi dirinya, maka bila ia mati (bercerai nyawa dari badan), ia akan meninggalkan di belakang semua kecenderungan pada hawa nafsu dan marah, dan layak duduk bersama dengan Malaikat. Jika berkenaan dengan sifat-sifat Kebinatangan, maka manusia itu lebih rendah tarafnya dari binatang, tetapi Aqal menjadikan manusia itu lebih tinggi tarafnya, kerana Al-Quran ada menerangkan bahawa; "Kami telah tundukkan segala makhluk di bumi ini kepada manusia" (Luqman:20)

Jika sifat-sifat yang rendah itu menguasai manusia, maka setelah mati, ia akan memandang terhadap keduniaan dan rindukan kepada keseronokan di dunia sahaja. · Ruh manusia yang berakal itu penuh dengan kekuasaan dan pengetahuan yang sangat menakjubkan. · Dengan Ruh Yang Berakal itu manusia dapat menguasai segala cabang ilmu dan Sains;
· Dapat mengembara dari bumi ke langit dan balik semula ke bumi dalam sekelip mata,
· Dapat memeta langit dan mengukur jarak antara bintang-bintang.
· Dengan Ruh itu juga manusia dapat menangkap ikan-ikan dari laut dan burung-burung dari udara, dan
· Menundukkan binatang-binatang untuk berkhidmat kepadanya seperti gajah, unta dan kuda.

Lima deria (pancaindera) manusia itu adalah ibarat lima buah pintu terbuka menghadap ke Alam Nyata (Alam Syahadah) ini. Lebih ajaib dari itu lagi ialah ia ada Hati. Hatinya itu ada sebuah pintu yang terbuka menghadap ke Alam Arwah (Ruh-ruh) yang ghaib. Dalam keadaan tidur, apabila pintu-pintu deria tertutup, pintu Hati ini terbuka dan manusia menerima khabaran atau kesan-kesan dari Alam Ghaib dan kadang-kadang membayangkan perkara-perkara yang akan datang. Maka hatinya adalah ibarat cermin yang membalikkan (bayangan) apa yang tergambar di Luh Mahfuz. Tetapi meskipun dalam tidur, fikiran tentang perkara keduniaan akan menggelapkan cermin ini. Dan dengan itu gambaran yang diterimanya tidaklah terang. Selepas bercerai nyawa dengan badan (mati), fikiran-fikiran tersebut hilang sirna dan segala sesuatu terlihatlah dalam keadaan yang sebenar.
Benarlah firman Allah dalam Al-Quran;
"Kami telah buangkan hijab dari kamu dan pandangan kamu hari ini sangatlah terang dan nyata". (Surah Qaf:22).

bersambung.....