Kehidupan dunia yang kelihatan indah ini amat mempesonakan setiap insan yang melihatnya, mereka terpukau sehingga lupa akan asal diri dan matlamat kehidupan.
Cahaya Islam yang menjadi rahmat dan pelindung kepada insan menjadi begitu dagang di zaman ini. Yang ada hanyalah syiar-syiarnya yang tiada mempunyai ruh, bagaikan jasad tanpa nyawa, bagaikan gula yang tiada manisnya.
Alangkah pilunya hati bila melihat sistem yang mencengkam kehidupan ini merupakan racun yang amat berbisa. Ia membunuh segenap keimanan dalam jiwa insan sedikit demi sedikit sehingga Islam tinggal pada nama sahaja. Racun sekularisma yang menyelinap ke dalam semua aspek kehidupan umat Islam sudah hampir tidak dapat dikawal. Negara kini menjadi cemas dengan isu keruntuhan akhlak di kalangan generasi muda. Mereka sebenarnya mangsa kepada kejahilan dan kelekaan pemimpin-pemimpin, ulama-ulama, ahli agama, ahli ibadah, ahli sufi dan orang awam.
Amal maaruf dan nahi mungkar bagaikan atap yang kukuh bagi sebuah rumah. Ibadah atau amal-amal Islam yang lain bagaikan dinding, tiang, perabot dan yang lainnya. Serangan jahiliyah bagaikan hujan yang turun, jika tiada atap, dengan sendirinya segala perabot akan rosak dan binasa. Begitulah juga dengan serangan jahiliyah moden, lantaran sistem pertahanan yang lemah, kini ia berjaya menanggalkan Islam sedikit demi sedikit dari penganutnya sehingga akhirnya tertanggal iman. Na’uzubillah…
Mutakhir ini, kita dapat lihat dengan jelas betapa ramainya umat Islam yang tidak sembahyang. Masjid-masjid kosong dari golongan muda. Apabila sembahyang sebagai rukun yang pertama telah hilang dari seorang Muslim, maka yang lain akan mengikutnya dengan mudah. Begitu juga dengan wanita Islam, jarum sekular telah berjaya menanggalkan sifat malu dalam diri mereka. Mereka dikhayalkan dengan budaya berbangga dengan apa yang mereka miliki, mereka tidak malu lagi untuk memperlihatkan apa yang ada diri mereka sehingga mereka sanggup berbogel diatas nama kebebasan dan keseronokan.
Mengamalkan Islam secara keseluruhan dan teguh serta wara’ dalam memelihara diri dari perkara yang diharamkan, sama ada dalam soal makan minum, percakapan, kelakuan, hati, pendidikan, hiburan dan sebagainya adalah jalan keselamatan. Sesiapa yang berpegang teguh dan tidak rela sedikitpun dirinya mengikut hawanafsu dan suasana masyarakat, nescaya ia akan selamat.
Pada masa kini, iman amat sukar untuk dipelihara. Hal ini disebut oleh Nabi SAW bagaikan mengenggam bara api. Ini disebabkan racun jahiliyah moden telah berjaya menguasai umat Islam. Mereka diajar tentang ibadah dan kebaikan tetapi dalam masa yang sama mereka turut diajar bahawa perkara kemaksiatan juga adalah kebaikan, bahkan ia dianggap tuntutan fitrah apalagi di kalangan generasi muda. Masjid didirikan untuk golongan yang mahu beribadah tetapi pusat-pusat hiburan juga dibuka untuk golongan muda. Mereka dibiarkan bebas menyanyi, menari, berpegangan tangan, berpeluk-pelukan, berpakaian seksi diatas nama keseronokan.
Ini yang dimahukan oleh anak-anak muda dan para pemimpin menyaksikan dengan wajah yang tersenyum. Mereka melihat jika berdosa pun, ia hanyalah kecil sahaja dan boleh terhapus dengan sembahyang. Mereka tidak menyedari bahawa membiarkan mungkar berleluasa akan membuka pintu langit untuk mengundang bala Allah. Memang dalam kamus ajaran Islam anutan sekular tiada kalimah bala atau barakah. Mereka tidak pernah cemas dengan kemurkaan Tuhan. Apa yang mereka bimbangkan adalah masalah ekonomi, parti hilang pengaruh, mereka hilang jawatan, rakyat tidak menyokong dan sebagainya.
Sekular adalah satu fahaman Islam yang diajar oleh Barat ketika mereka memerintah mana-mana negara. Kebanyakan negara umat Islam di seluruh dunia menganut fahaman ini. Sekular tidak pernah menghalang ibadah malah amat mengalakkannya tetapi sekular amat menentang mana-mana umat Islam yang mahukan Islam diamalkan secara keseluruhan. Bagi sekular cukuplah Islam hanya di masjid-masjid, majlis-majlis kahwin, majlis kematian, ceramah di radio dan di televisyen. Mereka tidak akan membenarkan Islam diamalkan lebih jauh daripada itu. Ajaran yang mereka terapkan ini tidak boleh dibantah, mereka mentafsirkan Islam mengikut pemikiran mereka, mereka tidak senang jika ada di kalangan ustaz-ustaz yang mengajar tafsir dengan cara menerangkan secara benar segala isi kandungan Al-Quran. Ini kerana pengajaran yang benar boleh membuka tembelang kebatilan mereka. Justeru, mereka akan menghalangnya disebabkan idealogi Islam yang mereka anuti amat berbeza dengan Islam yang dikehendaki oleh Al-Quran.
Malangnya ramai diantara mereka yang menentang Islam tanpa mereka sedari. Mereka amat cinta pada Allah, pada RasulNya, pada kitabNya. Jika ada yang mencerca Allah, Rasul atau kitab, mereka akan bangun menentang. Ini menunjukkan pada denyutan jantung mereka masih ada iman. Kebanyakan mereka berpendidikan Barat, mendapat pendidikan biasa di sekolah atau golongan yang tiada pendidikan. Lebih malang lagi para ulama di sisi mereka tidak berani menegur kesalahan mereka.
Dengan adanya para ulama yang berkepentingan dunia di sisi mereka, mereka akan terus buta dengan kebenaran. Mereka menganggap ulama itu adalah benar dan ulama yang di luar adalah batil. Inilah dosanya orang alim dimana segala tindak-tanduk mereka menjadi fatwa bagi orang yang jahil. Meletakkan kesalahan kepada mereka seratus peratus juga satu kezaliman ke atas mereka. Apa yang penting usaha dakwah perlu diteruskan dengan penuh kasih sayang dan kebijaksanaan. Memberi hukuman dengan pelbagai hukuman atau gelaran adalah melambangkan kejahilan dan tertipu dengan hawa nafsu. Dakwah memerlukan kesabaran, inilah yang diperingatkan oleh Allah dalam surah Al-Asr.
Apa yang penting bagi para pencinta Islam ialah berpegang teguh dengan keseluruhan ajaran Islam, mendalami Ilmu Tauhid, Tasauf dan memperluaskan Ilmu Fekah. Ia adalah asas kekuatan untuk bersama dengan Islam dengan penuh keteguhan dan keindahan. Mereka perlu kekuatan ilmu, amal dan jihad yang bersungguh-sungguh untuk keluar menyeru manusia kepada Islam tanpa disertai kemarahan, kebencian, dendam, takbur dan kejahilan. Ada juga yang mahu mencari keuntungan duniawi seperti harta atau jawatan seperti menjadi YB, MB, Menteri atau PM.
Sirah mencatatkan bahawa ramai di kalangan mereka yang berjihad bersama dengan Nabi SAW ditolak jihad mereka disebabkan wujudnya unsur-unsur yang menyeleweng dalam hati mereka. Ramai yang ada dalam saff Islam hari ini marah kerana tidak dapat projek atau mendakwa mereka diketepikan. Bila mereka tidak dapat apa yang diinginkan, maka berlakulah isu-isu tertentu yang membangkitkan perasaan marah dan dendam. Kita tidak nafikan ramai dipihak yang mendakwa pejuang Islam, menggunakan politik untuk meneguhkan agama tetapi kita tak boleh nafikan bahawa ada juga di kalangan mereka yang menggunakan agama untuk keuntungan politiknya.
Kita perlu menepikan segala unsur ini. Lihatlah bagaimana peristiwa Saidina Ali (k.w.h) yang tidak membunuh seorang pemimpin kuffar disebabkan mukanya diludah. Ia bimbang ia membunuh bukan kerana Allah tetapi disebabkan kemarahan dirinya. Kecelaruan akan berada di mana-mana jika keikhlasan tidak dijadikan asas dan diperingatkan setiap masa. Justeru bagi menekankan kepentingan sifat ikhlas ini, Imam Nawawi rahimahuLlah meletakkan hadis ‘ikhlas’ sebagai hadis pertama dalam kitab Hadis 40. Sesungguhnya ikhlas adalah nyawa bagi ibadah. Tanpanya, ibadah itu tiada nilai sedikitpun walaupun ia dilihat hebat pada mata manusia.
Dakwah perlu diusahakan bersungguh-sungguh. Jika kita sayangkan negara dan umat Islam, kita tidak rela lagi iman-iman umat Islam ditanggalkan dari dalam dada penganutnya satu demi satu. Kita tidak boleh menjadi pencinta masjid sahaja tanpa merasa berdosa melihat para pemuda kehilangan iman, wanita kehilangan sifat malunya. Serangan sekular yang hebat ialah memperbanyakkan hiburan dan mendidik Muslim mencintai kebendaan. Kebendaan bagi mereka seolah-olah Tuhan yang akan memberikan apa jua kebahagiaan. Ini amat bertentangan dengan apa yang difahami bahawa orang-orang yang bahagia ialah para Nabi, walinya, orang-orang yang soleh.
Kebendaan bukanlah ukuran kebahagiaan manusia. Di hari ini, rumah-rumah yang dilihat mewah sudah menjadi neraka kepada anak-anak mereka. Anak-anak mereka lebih suka tidur di tembok-tembok yang keras dari tilam yang empuk. Keberkatan sudah hilang dalam kehidupan umat Islam sekarang. Ini disebabkan mereka hanya beramal maaruf tanpa mencegah kemungkaran, malah mencintai dan bersama dengan kemungkaran. Apabila menganggap dosa yang dilakukan kecil sahaja, ia adalah sifat munafik yang disebut oleh Nabi SAW bahawa seorang yang beriman apabila melakukan dosa yang kecil dirasakan seperti gunung, sedangkan para munafik apabila melakukan dosa yang besar dilihatnya seperti seekor nyamuk.
Apa yang penting, marilah wahai para pencinta Islam. Bergeraklah secara tersusun, hidupkan kembali hati generasi ini kepada cintakan Allah, RasulNya dan Islam. Para doktor yang benar, apabila ia melihat nadi atau jantung pesakit masih berdenyut, mereka akan berusaha memberi rawatan untuk menyelamatkan nyawa pesakit tersebut walaupun ia sangat parah. Begitu jugalah wahai para pencinta Islam, jadikan dirimu doktor yang merawat penyakit umat Islam yang sudah terkena racun sekular sama ada pada pemimpin, ulama-ulama dan masyarakat yang jahil. Janganlah dijauhi mereka, dekatilah mereka dengan penuh lemah lembut dan kasih sayang sebagaimana Allah memerintah Nabi Musa (a.s) berdakwah kepada Firaun :
“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut”. (Taha : 43-44)
WaLlahu ‘alam.