Sabtu, 12 Disember 2009

Amalan Bertawassul (perantaraan)


Tawassul dari segi bahasa ialah mengambil wasilah (perantaraan) bagi mencapai sesuatu yang diingini. Dari segi istilah ia adalah satu kaedah berdoa untuk memohon sesuatu atau memohon pertolongan kepada Allah swt yang dianggap lebih mendekatkan kepada yang dipohon iaitu Allah swt.


Bertawassul kepada Dzat Allah swt, Asma’-Asma’Nya, Sifat-sifatNya dan amal soleh disepakati oleh para ulama akan keharusannya. Adapun tawassul dengan Rasulullah saw, para Nabi dan Rasul, para malaikat, para Auliya’ dan Solehin adalah perkara khilaf (yang diperselisihkan) yang tidak membabitkan soal aqidah, sebaliknya ialah bagaimana kaedah berdoa kepada Allah swt.
Di dalam Al-Quran ada disebutkan agar kita mencari wasilah untuk mendekatkan diri kepada Allah swt iaitu firmanNya yang bermaksud;
Hai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah wasilah (jalan perantaraan) yang mendekatkan kamu kepada-Nya..” (Al-Maidah:35)

Adapun tujuan berdoa dengan bertawassul pada para Nabi, para Wali, Ulama’ dan Solehin adalah dengan harapan mudah-mudahan permohonan segera dikabulkan oleh Allah swt kerana mereka adalah orang-orang dekat dan dikasihi Allah swt.

Antara dalil-dalil keharusan bertawassul ketika berdoa

Firman Allah swt yang bermaksud;
“Sesungguhnya jikalau mereka ketika menganiaya dirinya datang kepadamu (Muhammad), lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasul pun memohonkan ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang”. (An-Nisa:64)

Dalam kitab-kitab hadis ada menukilkan:
1) Takkala Nabi Adam AS melakukan kesilapan, beliau berkata; “Wahai Allah, dengan hak Muhammad, ampunkanlah aku.” Allah swt berfirman; “Wahai Adam, bagaimana engkau mengenali Muhammad, sedangkan aku belum menciptakannya lagi? Nabi Adam AS menjawab, “Tatkala Engkau menciptakan aku dengan tangan-Mu (kekuasaan-Mu), dan meniupkan ke dalamku roh-Mu, aku mengangkat kepalaku lantas terlihat di ‘Arash ada tertulis, “Tiada Tuhan selain Allah, Muhammad ialah Rasulullah”. Maka aku tahu, Engkau tidak akan meletakkan suatu nama beriringan dengan nama-Mu, melainkan Engkau teramat mencintainya.” Allah swt berfirman; “Benar wahai Adam. Dia (Muhammad) sangat Aku cintai, maka, berdoalah dengan haknya, sesungguhnya Aku telah mengampunimu. Ketahuilah Tarmizi XIII bahawasanya, kalau tidak kerananya (Muhammad saw) nescaya Aku tidak menciptamu”. (Hadis riwayat Al-Hakim, As-Sayuti dan Al-Baihaqi. Menurut Al-Hakim dan As-Sayuti, hadis ini hadis sahih. Hadis ini juga turut disahihkan oleh Al-Qostolani, Az-Zarqoni dan As-Subki.)

2) Dari Usman bin Hunaif, bahawasanya seorang laki-laki cacat mata datang kepada Nabi Muhamaad saw ia berkata; “Hai Rasulullah, tolonglah mintakan kepada Tuhan agar Dia menyihatkan saya”. Maka Nabi menjawab: “Kalau engkau suka, boleh berdoa, kalau engkau suka boleh sabar dan itulah yang baik”. Orang itu mendesak supaya didoakan lalu Rasulullah saw menyuruh ia berwuduk dengan baik dan berdoa dengan doa ini: “Ya Allah saya memohon kepada Engkau dan menghadap kepada Engkau dengan Nabi-Mu, Muhammad saw, Nabi rahmat. (Hai Muhammad) saya menghadap dengan engkau kepada Tuhanku supaya ia menerima permohonanku. Ya Allah beri syafa’atlah beliau kepada saya.” (hadis sahih riwayat Tarmizi dan ibnu Majah dalam Sahih halaman 80-81, susunan Ibnu Majah/halaman 418-419)

3) Diriwayatkan bahawa Saidina Umar ra pernah berdoa meminta hujan kepada Allah swt dengan menyebut ; “Wahai Tuhan kami, kami pernah bertawassul (meminta hujan) dengan (perantaraan) Nabi-Mu, maka Engkau menurunkan hujan, kini, kami bertawassul dengan bapa saudara Nabi-Mu (Al-Abbas), maka turunlah hujan kepada kami”. (riwayat al-Bukhari).

Menurut Syeikh Syed Muhammad Alawi Al-Maliki, Saidina Umar r.a tidak bertawassul kepada Allah dengan Rasulullah saw untuk meminta hujan dalam hadis yang tersebut di atas untuk menjelaskan bahawa, kita boleh bertawassul dengan selain daripada Rasulullah saw.

Ada pun di sisi para ahli sufi, tawassul merupakan suatu simbol adab kita di hadapan Allah swt. Ini kerana, para ahli sufi merasakan diri mereka sangat hina dan kerdil di hadapan Allah swt, banyak dosa dan merasakan tidak layak untuk mengharapkan agar Allah swt menunaikan hajat mereka, sedangkan mereka juga yakin Allah swt Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Namun, rasa rendah diri mereka di hadapan Allah swt membuatkan mereka bertawassul dengan orang-orang yang mempunyai kedudukan di sisi Allah swt, menurut prasangka mereka.

Kesimpulannya, berikut adalah sebahagian daripada petikan perkataan Mufti Syafi’ie di Makkah iaitu Syeikh Sayyid Ahmad Zaini Dahlan:

Bahawa menurut fahaman Ahlus Sunnah wal Jama’ah adalah harus dan sah bertawassul dengan nabi Muhammad saw baik ketika baginda hidup mahupun sesudah baginda wafat. Begitu juga boleh bertawassul dengan Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul yang lain, dengan Auliya-Auliya dan orang-orang Soleh (alim ulama) yang sebagaimana dianjurkan oleh hadis-hadis yang telah diterangkan sebelum ini. Kita yang beriktiqad Ahli Sunnah wal Jama’ah mengiktikad bahawa tidak seorang pun yang dapat mengadakan bekas, memberi mudarat, menjadikan, meniadakan, kecuali hanya Allah swt Yang Maha Esa sahaja. Tiada sekutu bagiNya.

Berdasarkan hadis-hadis tersebut, jelaslah bahawa, berdoa kepada Allah dengan perantaraan Rasulullah saw, para solihin dan sebagainya dibenarkan di dalam Islam. Ini kerana tawassul tidak ada kaitan dengan akidah kerana setiap orang yang bertawassul hanya menyakini hanya Allah sahaja yang mampu memberi manfaat dan kemudaratan kepada mereka. Tawassul cuma suatu kaedah di antara pelbagai kaedah-kaedah dalam berdoa kepada Allah swt.

Begitu juga umpama kita sakit, untuk sembuh dari penyakit, kita akan menemui doctor dan mendapatkan ubat. Doktor dan ubat adalah sebagai wasilah untuk sembuh dari penyakit. Yang menyembuhkan penyakit kita ialah Allah swt. Hati kita beriktikad/yakin doctor dan ubat tidak menyembuh dan memberi bekas.

Masyarakat kita hari ini sentiasa mencari alim ulama untuk mendapatkan “air penawar” bagi penyakit dalam diri dan anak-anak. Ini juga amalan berwasilah dalam memohon hajat dengan Allah swt. Mengunakan doa para alim ulama sebagai wasilah (perantara) mencapai hajat.

Iman Hassan al-Banna dalam Usul al ‘Isrinnya menyebut: “Berdoa jika diiringi dengan tawassul kepada Allah dengan salah seorang dari makhluknya merupakan perkara khilaf dalam masalah furu’ dalam cara berdoa dan ia bukan tergolong dalam masalah-masalah akidah”.
WaLlahu ‘alam

Rujukan kitab:
I) I’tiqad ahlus Sunnah wal Jama’ah - (karangan K.H Siraduddin Abbas, Bab Berdoa dengan tawassul)
II) Mafahim yajib an Tusohhah – (Syeikh Al –Arif billah Syed Muhammad Alawi Al-Maliki)
III) La dharo’l’ li hadmi al-athar an-nabawiyah – (Dr. Umar Abdullah Kamil)