Rabu, 18 November 2009

Apakah Ia Hati Yang Sejahtera?


Wahai mereka yang berjiwa mutmainah(tenang), kembalilah kpada Tuhanmu dalam keadaan (kamu) redha dan diredhai (Tuhan), maka masuklah kamu ke dalam golongan hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu.” (Al-Fajr:27-30)

Hati atau Roh merupakan raja dalam kerajaan diri. Ia mempunyai kelebihan daripada semua anggota lahir. Ia adalah raja yang luar biasa, yag sangat ditaati oleh rakyatnya. Dialah pentadbir manusia yang menjalankan kehidupan yang sangat luas.

Hati sangat sensitif, peka dan perasa. Ia adalah wadah tempat mengisi “barang-barang”, siapa yang mengisinya? Sama ada malaikat atau syaitan, yang berebut-rebut mengisinya. Kalau malaikat mengisi, maka baiklah hatinya. Jika syaitan yang mengisi maka jahatlah hatinya. Yang diisi oleh malaikat adalah hidayah, wahyu dan ilham kebaikan. Syaitan pula mengisi dgn kekufuran, was-was dan keraguan.

Kadang kala kerana tidak berhalus atau tidak ambil perhatian pada perjalanan hati, kita rasa hati kita sudah baik dan sudah tenang. Tetapi sebaik sahaja datang cabaran dan ujian, barulah terasa yang sebenar. Misalnya bila orang marah pada kita, bangkit rasa hendak marah balik. Ini menyedarkan kpada kita bahawa kita mempunyai sifat pemarah. Bila mendapat sesuatu kejayaan, hati akan menerima rangsangan lalu akan merasa sama ada bangga, riya’, ujub, takabbur, ego dengan kejayaan itu atau pun merasa bersyukur, dan malu (pada Allah). Pada waktu merasa itulah, hati yang sensitif akan sedar.

Sekiranya hati tidak sedar yang dia sudah berbuat baik, ini satu sifat terpuji, kerana tidak akan berbangga dgn kebaikan itu. Tetapi jangan pula sampai hati tidak bersyukur kpada Allah atas keizinanNya kita boleh berbuat kebaikan.

Yang paling buruk ialah bila hati tidak sedar yang dia jahat. Hati tidak sedar, rangsangan yang datang membuatkannya berasa bangga dan ego. Lebih merbahaya jika hati yang jahat disedari sebagai hati yang baik. Yang empunya hati tidak akan sedar kejahatan hatinya sampai bila-bila dan tidak akan cuba berusaha membuat perubahan (dengan bertaubat). Bahkan ia akan terus berbuat jahat kerana merasakan dirinya dalam kebaikan.

Rasa-rasa yang positif pada hati boleh dibantuntukan jika sejak kecil seseorang itu tidak dididik, dibimbing dan diasuh. Maka ia akan terpaksa bersusah payah dan berhempas pulas untuk menyuburkan kembali. Sebaliknya jika benih yang positif (mahmudah) ini dijaga dan disuburkan sejak kecil maka ia akan subur dan tidak payah lagi bersusah payah bila dewasa.

Sebaliknya jika rasa yang negatif (mazmumah) sejak kacil lagi sudah disuburkan, maka payah pula untuk dibuang bila sudah dewasa. Benih mazmumah ini (sifat keji), jika sudah disuburkan dalam hati sejak kecil dan setelah dewasa baru hendak dibuang, maka usaha itu sangat rumit dan payah.

Dalam pembicaraan ilmu tasauf, hati yang sejahtera juga dimaksudkan jiwa yang tenang. Mereka yang mempunyai maqam nafsu mutmainah (jiwa yang tenang) adalah mereka yang Allah iktiraf sebagai hambaNya dan layak untuk memperolehi ganjaran syurgaNya di akhirat kelak. Untuk memperolehi jiwa yang dilimpahi dengan cahaya ketenangan ini, ia mestilah disucikan drpada segala syirik, nifaq, dan semua penyakit hati yang keji. Ia mesti melalui proses pendidikan (pentarbiyahan) dan pembersihan agar “raja” dalam diri manusia ini akan sentiasa terarah kepada kebaikan dan penghambaan diri kpada Allah.

Bagaimana mendidik hati agar ia dapat disucikan dan kembali kpada fitrahnya yang suci bersih sehingga terbukalah hijab yang selama ini membentengi dirinya dgn Allah?

1)Zikirullah (ingat Allah)

Ia adalah jalan yang paling afdhal, jalan para Anbiya’(nabi-nabi) dan Auliya’(wali) serta orang-orang soleh yang telah terbukti berkesan dalam usaha penyucian hati/roh. Orang-orang yang melalui perjalanan ini telah beroleh kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Rasulullah saw memberi perumpamaan, hati yang kotor seperti besi yang berkarat dan zikirullah adalah alat untuk menyucikannya.
Hati yang selalu diketuk dan dihunjam dengan kalimah zikirullah akan menjadikannya bersih dari kekotoran mazmumah dan penyakit hati yang menghijabkan dirinya dengan rahsia-rahsia dari alam ghaib.

2)Mesti ada guru yang mursyid

Sebaik-baiknya, apabila mengambil mengambil jalan zikirullah ini, ia mesti dibimbing oleh seorang guru rohaniah yang mursyid. Ini kerana tipudaya syaitan semakin halus kepada mereka yang melalui perjalanan ini. Guru yang mursyid ialah guru yang beramal dengan ilmunya, bertaqwa dan berakhlak dengan garis-garis yang ditentukan oleh syariat.

3)Mujahadah dan istiqamah

Syaitan dan hawa nafsu adalah dua musuh batin yang sentiasa mendorong kepada kejahatan. Dan tempatnya ialah di hati. Oleh itu kita kena lawan musuh ini dengan mujahadah. Ia lebih hebat daripada menentang musuh zahir. Ini kerana peperangan itu berlaku dalam diri kita. Lebih-lebih lagi syaitan adalah makhluk yang paling derhaka dan paling banyak menipudaya manusia. Hanya orang yang ikhlas sahaja akan terselamat daripada tipudayanya sebagaimana yang Allah khabarkan di dalam al-quran. Begitu juga nafsu, musuh yang tidak pernah kenal erti letih dan lesu. Sedikit sahaja kita terleka, pasti kita dihasut dan ditipunya.

Sepanjang masa kita perlu bermujahadah. Ia bukan boleh dibuat secara bermusim atau ikut ‘mood’. Ia adalah satu perjuangan yang berterusan sampai bila-bila dan sudah tentu ia memerlukan suatu kekuatan yang maha hebat bagi menghadapi kedua-dua musuh ini.
Satu perinsip asas dalam mujahadah ialah istiqamah. Yakni konsisten, terus menerus dan berkesinambungan dalam “peperangan” dengan syaitan dan hawa nafsu. Jika kita hanya bermujahadah tapi tidak istiqamah, maka ia tidak akan memberi kesan.

4)Berilmu dengan ilmu yang benar

Kita juga mestilah suluh hati kita dengan ilmu. Dari situ kita akan kenal hati kita. Kita akan tahu berapa banyak sifat-sifat mazmumah yang kita ada dan sejauhmana kekuatannya. Begitu juga dengan sifat-sifat yang mahmudah.

Itulah beberapa kaedah asas untuk mendidik dan membersihkan hati. Beramal dan bersungguh-sungguhlah kerana hati atau roh akan kembali ke tempat asalnya, bertemu dengan Allah. Kalau ia datang ke dunia dalam keadaan suci bersih, maka sudah tentu ia perlu kembali dalam keadaan yang sama. Di dunia lagi ia menjadi jiwa yang tenang dan di akhirat nanti, Allah janjikan dengan kebaikan, keselamatan dan rahmatNya.

Ya Allah yang Tuhan kami...kuatkan kami dan bersihkanlah kami....yang kotor dan bodoh ini....