Selasa, 24 November 2009

Seruan untuk blogger

Segala puji hanyalah milik Allah swt.Tuhan sekelian alam.

Saya telah dan sentiasa membaca semua blog-blog dari blogger PAS, UMNO, PKR, Kerajaan, BPN, sebagainya. Saya dapati isu-isu yang dicanangkan, diketengahkan, dimasakkan, dihangatkan, dan diputarkan kebanyakkan mengenai seseorang, dan banyak menyentuh isu-isu politik yang tidak menampakkan kepada penyatuan dan kasih sayang malah menyebabkan lagi pergaduhan dan pertelingkahan yang entah bila akan tamat dan selesai.


Penulis merasa amat sedih kerana masyarakat hari ini saban hari semakin rosak dan berita-berita menceritakan pelbagai masalah dalaman masyarakat kita. Kerosakkan demi kerosakan terus menjadi bertambah parah dan sehingga kini tiada penyelesaian. Yang ada hanyalah pergaduhan di antara manusia melalui media massa, blog, TV, majalah atau surat khabar. Sampai bila perkara ini akan berhenti?

Blogger-blogger PAS atau PKR menghentam, menghina, mencaci dan mengutuk kerajaan dan pimpinan BN, blogger-blogger UMNO menghentam, menghina, mencaci dan mengutuk kerajaan dan pimpinan PAS, blogger-blogger bebas menghentam, menghina, mencaci dan mengutuk semua kerajaan dan pimpinan PAS, UMNO,PKR. Blogger BPN pula terlalu banyak menyentuh peribadi seseorang yang menyebabkan masyarakat memandang begitu hina seorang yang bertaraf ulama. Kesannya masyarakat, remaja, anak-anak muda tidak lagi merasa hormat dan jijik dengan status “ulama” yang mana pakaian nabi seperti jubah, serban, kopiah telah membawa imej yang buruk pada pandangan mereka disebabkan media massa dan blog yang telah mengambarkan perkara tersebut tidak elok dan tidak baik.

Wahai blogger, renunglah dalam diri masing-masing, fikir sejenak, muhasabah sejenak, bertafakur sekejab, apa yang kita dapat bila menceritakan keburukan peribadi seseorang? Apa yang kita dapat jika kita menceritakan bagaimana kita hendak membaiki masyarakat yang sudah rosak dengan buktinya ada di depan mata di mana setiap hari adanya kes-kes seperti zina, rogol, bunuh dan sebagainya? Bagaimana kita boleh menyatukan pemikiran kita supaya bersatu dalam mencari jalan penyelesaian untuk kerosakan umat? Kita lupakan masalah yang remeh temeh yakni menceritakan keburukan orang yang mana TIADA FAEDAH LANGSUNG. Kenapa tiada faedah? Kerana dibimbangi jatuh dalam ketegori mengumpat dan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang bermaksud:
Daripada Abu Hurairah berkata: “Katakan wahai Rasulullah apakah mengumpat itu?” Baginda bersabda: “(Mengumpat) adalah kamu menyebutkan tentang saudaramu sesuatu yang dibenci”. Dia bertanya: “Beritahukanlah kalau pada dirinya terdapat apa yang aku katakan, maka kamu telah mengumpatnya dan kalau pada dirinya tidak terdapat apa yang kamu katakan, maka kamu telah membohonginya dengan dusta yang besar.”

Firman Allah swt yang bermaksud;
“Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang.”
(Surah al-Hujarât:12)

Cuba kita renung dan fikir sejenak nas dan dalil di atas, tidak takutkah kita dengan peringatan itu jika ‘direct’ kita menceritakan peribadi seseorang itu. Kita boleh bercerita tentang keburukan dengan menyediakan fakta, kenyataan, bukti tetapi mestilah berlapik dan tidak menggunakan nama secara ‘direct’. Pembaca sendiri akan menilainya sama ada benar atau pun salah.

Kita semua sudah maklum bahawa kita semua akan melakukan kesilapan dan kesalahan kerana kita memang bersifat pelupa dan lemah lagi nyanyuk. Namun Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat. Marilah sama-sama kita belajar menyimpan keaiban orang yang telah melakukan kesalahan dan tegurlah secara sulit, berlemah lembut dan secara berhikmah. Umpama seorang anak hendak menegur seorang bapa yang telah membuat kesalahan, adakah perlu anak itu menulis dalam blog atau di majalah atau diceritakan dengan menggunakan pembesar suara tentang kesalahan bapa terhadap jiran-jiran atau kampong? Mana adab dan akhlak kita sebagai seorang anak? MANA ADAB DAN AKHLAK KITA SEBAGAI SAUDARA MUSLIM?

Sabda Rasulullah Sallallhu ’alaihi wasallam lagi yang bermaksud:
“Barang siapa menutup aib seseorang Islam, maka Allah akan tutupkan aibnya di dunia dan di akhirat.
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Sekarang seruan penulis ialah menyeru blogger-blogger agar sama-sama kita bersatu hati dan fikiran untuk mencari jalan penyelesaian bagi kerosakan masyarakat kita. Bersama-sama mengemukakan idea dan pandangan di dalam blog untuk kita sama-sama kita amalkan demi untuk melihat AGAMA, MASYARAKAT DAN NEGARA selamat, aman damai dan makmur.