Selasa, 3 November 2009

Kerosakan Umat,Punca&Cara Mengatasinya II

NASIHAT BUAT ULAMA DAN AHLI AGAMA

Ulama Ibarat Doktor Kepada Ummah
Nabi diutuskan untuk mendidik manusia dari kebatilan kepada kebenaran, dari kejahilan kepada keilmuan, dari kerosakan kepada kebaikan, dari perpecahan kepada kasih sayang, dari kekufuran kepada keimanan, dari kemunduran kepada kemajuan dan dari keruntuhan akhlak kepada kemuliaan akhlak. Tugas ini diteruskan oleh para sahabat, tabien dan ulama-ulama.
Ulama-ulama hari ini mewarisi perjuangan para Anbiya’ di atas kelebihan ilmu yang dianugerahkan kepada mereka. Dalam melaksanakan tanggungjawab mendidik dan membina umat, mereka perlu mengikuti sirah, perjalanan dan kaedah rawatan yang telah ditunjukkan oleh Nabi agar mendapat natijah yang baik dan berkesan.

Ulama umpama doktor kepada masyarakat. Oleh itu, bila penyakit masyarakat tidak sembuh-sembuh malah pelbagai penyakit baru timbul, ia adalah disebabkan beberapa faktor. Antaranya:
1. Doktor tidak menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh
Ramai ulama dn pendakwah yang bertugas semata-mata kerana jawatan dan gaji. Mereka tidak melihat agenda mendidik masyarakat kembali kepada Allah sebagai perkara nombor satu. Akibatnya, mereka tidak serius dalam melaksanakan amanah yang besar ini, ia hanya kerja rasmi. Ramai dikalangan saudara-saudara baru yang kembali murtad kerana sikap pegawai-pegawai agama yang tidak memperlihatkan akhlak mulia dan keindahan Islam. Masa mereka banyak dihabiskan dengan berbual-bual kosong, lambat bertindak, banyak birokrasi dan malah ada pegawai yang tidak layak memegang jawatan turut dilantik kerana faktor politik. Ahli agama seperti ini tidak memberi sumbangan kepada perubahan masyarakat kerana mereka bekerja atas dasar pegawai kerajaan, bukan atas kapasiti sebagai Muslim yang bertanggungjawab terhadap agamanya. Di masjid atau surau, menjadi imam sembahyang pun atas dasar mengikut jadual bertugas dan sedikit elaun. Penceramah-penceramah agama pula sibuk menuntut elaun masa dan perjalanan. Kadang-kadang jumlah pendengar pun diambil kira. Mereka lebih mementingkan perut daripada tanggungjawab dakwah. Jika lambat bayar, pelbagai rungutan diluahkan.

2. Doktor tidak mempunyai ubat,hanya ada pengetahuan semata-mata
Jika seorang doktor membaca buku mengenai penyakit kencing manis di depan pesakitnya dalam keadaan penuh hebat bacaan dan bahasanya, pesakit tidak akan sembuh jika tidak diberi ubatnya. Begitulah dengan penyakit umat hari ini, mereka memiliki jiwa yang kosong dengan iman dan mereka memerlukan rawatan. Ramai guru agama yang mengajar ilmu semata-mata di surau dan masjid tetapi tidak memberi rawatan dan ubat. Akibatnya, pengajaran mereka tidak mampu menyembuh hati ahli dunia,ahli takabur,ahli bakhil,ahli penipu,ahli pengampu dan pelbagai lagi bentuk penyakit jiwa. Justeru itu, kita lihat masyarakat tetap tidak berubah kerana masyarakat tida diberi ubat penawar.

3. Doktor tersalah memberi ubat, seperti orang sakit gigi diberi ubat sakit perut
Punca penyakit masyarakat hari ini ialah jiwa yang kosong dengan iman. Hati yang berpenyakit. Dakwah atau rawatan mestilah menumpukan kepada hati, ia mesti diberi keutamaan dari yang lain. Apabila ulama memberi rawatan yang sasarannya pada akal atau yang lain, ia tidak akan menyembuhkan penyakitnya. Hari ini, ramai pendakwah atau ulama yang hanya memberi ilmu agama dalam bentuk fikrah, ibarat memindahkan ilmu dari akal ke akal pendengar, ia tidak masuk ke dalam hati. Maka lahirlah manusia yang mempunyai pengetahuan agama tetapi jiwanya kosong dengan agama,kosong dengan taqwa, malah ada yang menggunakan agama untuk mencari habuan dunia. Dakwah yang menumpukan pemikiran semata-mata tidak akan mampu memberi rawatan pada penyakit kemungkaran. Pentarbiyahan hati perlu difokuskan dan orang yang akan memberi rawatan tersebut perlulah memahami kepentingannya dan sentiasa mendidik hatinya dengan taqwa. Orang yang tidak mampu mengubah dirinya sendiri tidak akan mampu mengubah orang lain. Hari ini walaupun usaha dakwah sangat subur, namun ubat yang diberikan bukan tertumpu pada hati tetapi kepada akal fikiran semata-mata. Kesannya, umat tidak berubah, anak-anak muda tidak mendapat pengisian rohani dari ceramah atau kuliah seperti ini, malah boleh merosakkan lagi mereka bila mendengar ceramah-ceramah ulama politik.

4. Doktor suka memberi suntikan maut apabila melihat penyakit kritikal
Ulama tidak mengambil tindakan apa-apa bilamana kerosakan masyarakat semakin kritikal. Mereka hanya tahu menghukum masyarakat dan anak-anak muda lemah iman, lemah pengawalan dan sebagainya. Mereka tidak melihat kepada punca atau barah yang menyebabkan rosaknya anak muda dan masyarakat hari ini.

5. Doktor sendiri berpenyakit
Apabila ulama terkena penyakit cinta dunia atau tipu daya nafsu, ia tidak akan dapat lagi berfungsi sebagai pendidik umat, malah menjadi perosak umat. Ia sanggup melakukan apa saja asalkan nafsunya puas. Ia akan mengampu, mengeluarkan fatwa yang menyenangkan hati pihak tertentu, mendiamkan diri serta membisukan kesalahan pemimpin atau orang yang dihormati dan sebagainya.

PERANAN ULAMA YANG BERKESAN
Di sini Assyeikh Tokku telah mengemukakan beberapa saranan agar ulama dan ahli agama dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan lebih berkesan, InsyaAllah.

1. Ahli agama sebagai ‘role-model’
Ulama perlu menjadi contoh dari segi cara hidupnya, dirinya, keluarganya yang cintakan akhirat dan tidak menurut hawa nafsu. Kehidupanya tidak boleh sama dengan kehidupan orang awam. Ia mesti mempunyai sifat yang boleh dicontohi seperti keyakinan, ibadah, mujahadah, akhlak, zuhud, warak, tawakal, syukur, sabar, kasih sayang, kemaafan, keberanian, kecintaan kepada Allah dan Rasul. Imam Al-Ghazali melihat ulama adalah pembimbing utama umat yang perlu membuat perubahan (islah). Selagi tidak berlaku kepada mereka (ulama), bagaimana mereka dapat mengislahkan orang lain. Orang yang tidak mempunyai benda, bagaimana orang itu dapat memberi benda kepada orang lain.

2. Mendidik manusia dengan ilmu yang hakiki
Ilmu yang hakiki yang perlu diberi penekanan oleh ulama ialah ilmu pembersihan hati, ilmu yang menyuburkan iman, ilmu makrifatullah (mengenal Allah), ilmu mengenal keaiban diri, ilmu yang dapat membina akhlak, ilmu memahami kesyumulan Islam, ilmu yang membawa kekuatan ummah,ilmu mengenai strategi mengesan taktik dan serangan musuh kepada Islam dan ummah.

3. Ilmu tidak disalahgunakan untuk tujuan keduniaan
Pendakwah telah meletakkan harga atau bayaran yang tinggi apabila dijemput berceramah. Walhal mereka sudah mempunyai kehidupan mewah dan berjawatan tetap. Pendakwah seperti ini tidak boleh menyembuhkan jiwa manusia, ucapannya hanya fakta atau maklumat yang menyedapkan lubang telinga tanpa memberi kesan apa-apa. Ucapan mereka tidak membawa orang yang mendengar untuk berubah jiwa dan akhlaknya. Dakwah yang jatuh ke hati adalah dakwah yang datang ikhlas dan takutkan Allah dari lubuk hati pendakwah. Bagaimana hendak mengubati penyakit jiwa manusia sedangkan jiwa pendakwah sendiri pun berpenyakit. Mereka ahli dunia, niat dakwah kerana habuan duit.

4. Tidak cepat memberi fatwa tetapi sangat berhati-hati selama masih ada jalan keluar
Tiada yang ditakuti oleh para sahabat dan ulama yang soleh melainkan memberi fatwa. Orang yang berani dan banyak berfatwa mengambarkan sedikit ilmunya dan rendah akhlaknya. Masyarakat tidak berkehendakkan mufti atau penghukum, mereka perlukan pendidik, mereka perlukan tangan mereka dipimpin dengan penuh kasih sayang dan keimanan. Lihatlah tujuan fatwa dikeluarkan, apakah ia memberi kebaikan kepada ummah atau tidak. Sesungguhnya para sahabat amat menjauhi pertanyaan atau perbincangan perkara yang tidak memberi manfaat kepada ummah.

5. Sentiasa peka dan berdamping dengan rakyat dengan penuh kasih sayang
Berkata Ibnu Qayyim Al-Jauzi; “Seorang yang faqih ialah orang yang mengetahui hal-hal semasa dengan baik. Jika tidak mengetahuinya, bagaimana ilmunya berfungsi dengan baik, bagaimana mahu berdialog dan mendidik masyarakat?”. Semua orang mengetahui akan keindahan dan kebaikan Islam, tetapi mereka tidak dapat merasainya dan melihatnya. Dampingilah dan turunlah kepada masyarakat, mereka bukan mahu mendengar kuliah yang panjang dan hujah-hujah yang hebat, mereka perlu perhatian,kasih sayang, masalah mereka didengari dan kata-kata mereka dihargai. Jangan memandang rendah pada manusia kerana merasakan dirinya lebih, kerana itu adalah penyakit takabur yang telah membinasakan syaitan.

6. Membaiki dengan menghidupkan suasana ibadah di masjid dan surau
Masjid atau surau umpama jantung kepada masyarakat. Jika ia tidak befungsi bermakna kehidupan masyarakat di situ tidak harmoni. Di sinilah tempat paling sesuai untuk mengisi jiwa manusia dengan ilmu dan ibadah, tempat mewujudkan kasih sayang dan persaudaraan dan tempat rawatan penyakit. Iman dan kasih sayang adalah penawar kepada masyarakat.

7. Menjadikan diri sebagai penyejuk hati dan penyelesai apa jua masalah
Ulama adalah pakar sakit jiwa. Dia diibaratkan seorang doktor yang sedia mendengar dan menyelesaikan masalah pesakit. Dia adalah penawar kepada masyarakat. Apabila masyarakat berada di sisinya, manusia merasa tenang, ini disebabkan wajah dan jiwanya terpancar cahaya keimanan yang mampu mengubati hati manusia. Wahai ulama, kamu adalah penyejuk hati apabila mereka dalam kemarahan dan perselisihan. Kamu adalah tempat penyelesai masalah mereka.

8. Menjadikan diri sebagai lambang penyatuan bukannya perpecahan
Jauhilah perkataan yang boleh membawa perpecahan hati dan fikiran. Ahli agama perlu menunjukkan contoh berkasih sayang dan perpaduan. Perdebatan atau pergaduhan secara umum yang dilihat oleh masyarakat adalah tidak wajar. Janganlah dikalangan ahli agama bergaduh sehingga tidak mahu bertegur sapa, keji mengeji, fitnah menfitnah dan sebagainya. Ini akan menyebabkan ummah tidak yakin dan berbangga dengan agamanya. Bila timbul suatu isu atau kekeliruan dalam masyarakat yang ada kaitan dengan agama, para ulama perlu cepat berbincang dan menyelesaikannya agar ia tidak menjadi parah. Sebagai pemimpin, ulama juga mesti menjaga setiap perkataan dan perbuatannya keran ia akan menjadi ikutan mayarakat. Sebagai contoh, ibu bapa tidak afdhal (baik) bergaduh di depan anak-anak, guru-guru tidak patut bergaduh di depan murid-muridnya. Apatah lagi dikalangan pemimpin agama sangat tidak wajar bergaduh di depan masyarakat Islam dan bukan Islam.

9. Jauhkan membesar-besarkan sesuatu perkara khilafiah dan berlapang dada dengannya
Ulama hendaklah sentiasa berhati-hati agar tidak berbahas masalah khilafiah yang kecil dan remeh temeh kerana ia akan membawa kepada kerosakan jiwa masyarakat yang melihat dan mendengarnya.

10.Berani menegur kesalahan samada dikalangan pemimpin kerajaan, pemimpin masyarakat dan pemimpin politik.
Ulama mesti berani menegur kesilapan atau kemungkaran yang berlaku. Tiada keberanian menegur atau mengkritik melambangkan kelemahan iman dan tiada kasih sayang. Lemahnya iman kerana takut kepada manusia lebih daripada Tuhan. Takut dibuang kerja atau diturunkan pangkat atau ditukar tempat kerja atau dipenjara apabila menegur dan mengkritik. Jiwa seperti ini tidak layak dipanggil ulama kerana ia akan merosakkan ummah. Karana takutkan manusia, kebatilan dikatakan benar dan kebenaran dikatakan batil.

11. Ulama sebaiknya menjauhi Parti Politik
Memperjuangkan Islam di atas platform parti bukannya jalan terbaik dan utama, ia merupakan salah satu daripada wasilah (jalan) amal makruf nahi mungkar. Dalam permasalahan umat Islam, ulama perlu melihat mereka sebagai anak-anak yang perlu dididik. Umpamanya apabila dengan terang-terang seorang ayah menunjukkan kasih sayang kepada anak yang dilihatnya baik dan menjadikan anak yang dianggap jahat itu sebagai musuh, maka ia akan merosakkan hati anak. Hilanglah hormat anak itu pada ayahnya. Begitulah yang berlaku kepada para ulama kini, masyarakat hilang hormat kepada ulama kerana sikap ulama itu sendiri. Mereka mengharapkan ulama menjadi tempat mereka berteduh dan mengharapkan bimbingan tetapi ulama secara terang-terang menjadikan mereka musuh. Menawan hati pemimpin lebih utama dari menawan kerusi mereka. Menukar hati mereka kepada iman lenih utama dari menukar kerusi mereka. Inilah kerja ulama. Dakwah melalui perti politik membunuh kasih sayang, pecah hati, mencari keaiban untuk dijadikan isu, keras dengan pendirian walau dalam perkara khilaf, menjadikan diri ulama semakin kecil peranannya dan menghangatkan ummah supaya terus bermusuhan. Tidak semestinya hanya dengan berada dalam parti atau memegang jawatan barulah ada sokongan dan kekuatan untuk menegur kerajaan. Jawatan ulama yang bertaqwa adalah jawatan yang paling tinggi dan suara mereka adalah lebih hebat dan digeruni daripada ulama politik. Pemerintah senang berdepan dengan kenyataan ulama politik walaupun hujahnya benar dan kuat. Mereka akan melihat hujah itu datangnya dari seorang ahli politik yang hanya mendapat sokongan penyokong partinya sahaja, bukan sokongan padu seluruh rakyat. Pemerintah juga melihat ulama tadi mempunyai kepentingan politik, manakala masyarakat akan membiarkannya. Berada dalam parti politik seolah-olah berada ditempat yang boleh menimbulkan fitnah. Ulama soleh, seluruh rakyat tanpa mengira parti menghormati dan mendengar nasihatnya, tetapi bila ulama itu menyertai mana-mana parti, maka perkataannya tidak akan dihiraukan lagi. Jika ada yang mendengar pun itu hanyalah daripada penyokong parti berkenaan sahaja. Keadaan ini amat merugikan ummah. Dakwah mereka terhalang dan menjadi sempit. Mereka dilihat ada agenda politik walaupun mendakwa ikhlas menegur dan memberi nasihat. Justeru itu, kebanyakan gerakan dakwah tidak membenarkan ahli-ahlinya terlibat dalam politik kepartian. Kerana ia boleh membunuh ruh kasih sayang dan menyebabkan masalah pentarbiyahan dianggap remeh. Namun, ramai juga ahli politik mendakwa jika seseorang tidak masuk parti bermakna ia tidak berpolitik, sedangkan Islam tidak terpisah daripada politik. Ini adalah hujah ahli politik yang berkepentingan dan berfikiran sempit. Politik adalah perkara yang begitu luas. Parti hanyalah satu wasilah sempit ciptaan Barat. Ada orang yang berada dalam parti politik tetapi tidak faham politik, tetapi lebih suka bergaduh dan menghukum. Ada yang tiada parti tetapi politiknya lebih hebat dan tersusun. Walau bagaimanapun kita menghormati ulama yang berada dalam parti jika mereka mempunyai sandaran dan hujah yang mantap untuk berdepan dengan Allah swt.

12. Memberi kemudahan dan tidak menyusahkan
Pendakwah mesti sentiasa mengutamakan kemudahan dan memberi semangat kepada mayarakat, bukan menyusahkan atau menakut-nakutkan mereka sehingga mereka segan untuk terus belajar atau bertanya. Awalkan dahulu dengan kelembutan.

13. Berkata kepada manusia mengikut tahap pemikiran mereka
Para pendakwah dilarang untuk membincangkan perkara-perkara yang sangat pelik dan aneh sehingga tidak boleh diterima akan fikiran para pendengar. Amirul Mu’minin Ali Ibn Abu Talib r.a berkata; “Bercakaplah kepada orang perkara yang boleh mereka mengerti, dan tinggalkan perkara-perkara yang tidak boleh mereka fahami. Adakah kamu ingin agar mereka memperbodohkan Allah dan rasulNya?

14. Banyak memberi perhatian kepada ilmu batin (tasauf) dengan muraqabah hati, dengan mengenal akhirat, banyak mujahadah sehingga sampai kepadanya musyahadah.
Kebanyakan ulama hari ini jahil dalam masalah ilmu tasauf malah bersifat angkuh dengan menolaknya. Mereka sibuk melihat keaiban orang lain malah merasakan diri mereka sebagai ulama yang mengetahui semua perkara. Ramai yang tidak kenal perjalanan nafsu apa lagi membersihkannya. Ini berlainan dengan ulama-ulama terdahulu, mereka bukan sahaja alim syariat tetapi ahli dalam ilmu tasauf. Justeru itu, kebanyakan ulama dahulu mencapai taraf auliya’ (wali Allah) sedangkan hendak mencari ulama di zaman ini yang mencapai taraf auliya’ amat payah.

15. Mengadakan hubungan yang baik dengan Ulama Zahir, Fuqaha dan Ulama Sufi
Ulama dahulu, walaupun bertaraf mujtahid, masih mencari guru untuk membimbing rohani mereka sebagaimana Imam Al-Ghazali dengan syeikhnya, Ali Al-Farmadzi yang seorang tukang kasut. Imam Shafei pula dengan Asy-Syaiban, seorang pengembala kambing. Imam Ahmad bin Hambal dan Yahya bin Mu’im dengan Ma’ruf Al-Kurkhi. Dan ramai lagi.

bersambung....