Selasa, 3 November 2009

Kerosakan Umat,Punca&Cara Mengatasinya III

NASIHAT BUAT PEMIMPIN POLITIK
POLITIK MALAYSIA PERLUKAN PERUBAHAN

Senario politik Malaysia kini amat rendah dan bercelaru. Kadang-kadang ahli politik dilihat hilang arah dan halatuju. Ini boleh memberi kesan buruk kepada agama dan negara. Justeru itu, badan-badan politik perlu berubah agar tidak terus menjadikan Malaysia sebuah negara yang bercelaru dengan minda politik murahan dan tidak rasional. Dalam tulisan Tokku, beliau memfokuskan kepada kepimpinan UMNO dan PAS kerana kedua-duanya adalah parti terbesar orang Melayu dan banyak mempengaruhi budaya fikir, akhlak dan susasana negara.


Kalau diperhatikan, kedua-duanya bercakap soal agama dan banyak melaksanakan program-program Islamik. Tetapi Islam yang mereka bawa tiada ruh dan ia tidak dipamerkan sebagai agama yang indah. Yang ada hanyalah syiar malahan pertelagahan politik antara keduanya menenggelamkan segala kebaikan yang dibawa. Menjadi lumrah manusia akan melihat satu kejahatan dari sepuluh kebaikan.

Baik UMNO dan PAS, mereka terlalu meletakkan kepentingan politik mengatasi segala yang lain. Masing-masing mahu menjadi juara dan mendakwa mereka lebih Islam. Tuduh menuduh, kecam mengecam dan fitnah menfitnah dengan berleluasa dan terbuka. Kadang kala ia disertai dengan tingkahlaku dan kata-kata yang tidak sanggup anak kecil mendengarnya. Tetapi ia telah menjadi budaya dalam politik di Malaysia. Mereka bertelingkah tanpa menghiraukan adab-adab berbeza pendapat di dalam Islam. Pertelingkahan mereka sebenarnya melemahkan kekuatan ummah, bukannya dalam konteks saling melengkapi ke arah kekuatan ummah. Bila penumpuan politik melebihi program tarbiyah dan dakwah, penyelewengan dan kemusnahan akan berlaku dengan mudah.

Mutakhir ini semakin memperlihatkan bahayanya pertentangan UMNO dan PAS. Hati siapa yang tidak menangis apabila melihat ummah dalam situasi seperti ini. Dalam TV, setiap hari disiarkan ucapan-ucapan pemimpin PAS sedangkan siaran seperti itu bukannya menjatuhkan wibawa PAS tetapi sebenarnya menjatuhkan kredibiliti Islam di kaca mata orang Islam dan bukan Islam. Kadangkala kita malu dengan pembaca berita yang bukan Islam itu dan penterjemah bagi orang pekak bila menterjemahkan berita-berita berkenaan orang politik seperti ini.

Tidak salah berpolitik, tetapi sepatutnya kita berfikiran jauh bila bercakap atau melakukan sesuatu. Fikirkan, apakah kesannya kepada Islam, pada orang bukan Islam yang mendengar dan melihat, pada mereka yang mahu berjinak dengan Islam dan pada mereka yang baru masuk Islam. Apa yang diajar atau didengar oleh mereka tidak sama dengan apa yang berlaku di depan mata. Kita tidak boleh memikirkan kepentingan dan keuntungan politik semata-mata. Baik UMNO atau PAS, sikap mereka sama sahaja. Nasib baik TV tidak dikuasai oleh PAS, jika tidak ucapan pemimpin UMNO yang menghentam PAS akan disiarkan pula. Tentunya lebih banyak lagi ucapa-ucapan yang lebih teruk dan lebih lucah lagi dihidangkan kepada masyarakat. TV telah menjadi alat untuk memperbodohkan fikiran dan menyuburkan nafsu kebencian serta kemarahan umat Islam. Justeru itu, program-program yang telah dirancang oleh UMNO dan PAS tidak memberi kesan yang mendalam kepada ummah. Ia bagaikan tubuh tanpa nyawa. Walaupun tubuh dihiasi dengan pakaian yang cantik dan indah tetapi tiada harga dan tiada manfaar kerana tiada nyawa.

Kalau kita ikhlas dan mempunyai kecintaan yang mendalam terhadap Islam, tidak mahu Islam diketawakan atau dipandang rendah, kita perlu mengurangkan ‘politiking’. Kita perlu mencari titik pertemuan daripada mencari titik perpecahan. Apa jua masalah mesti ada jalan penyelesaiannya. Tidak ada alasan untuk mengatakan tiada jalan penyelesaian. Yang penting semua pihak perlu jujur berbincang mengikut adab-adab berkhilaf pendapat dan dilakukan dalam suasana kasih sayang. Jangan cepat menutup pintu penyatuan fikrah disebabkan kepentingan politik.

Pergaduhan politik yang berpanjangan tidak akan memberi apa-apa keuntungan, malah kadangkala ia menjadi bahan ketawa kanak-kanak di sekolah. Lebih malang lagi, ia menjatuhkan kredibiliti umat Islam pada kaca mata masyarakat bukan Islam. Apabila kemarahan dan dendam mengatasi sesuatu kumpulan, atau tidak senang puak lain menjadi juara, maka terkeluarlah perkataan dan perbuatan yang tidak rasional dan beremosi.

Hari ini UMNO dan PAS lebih mengutamakan agenda politik dari dakwah. Akibatnya, kedua-dua pihak bercelaru, ahli-ahli tidak memperolehi pentarbiyahan yang benar. Kalau kita bertanya, berapa ramaikah pemimpin Cina atau India dapat diIslamkan setelah bersama mereka?. Samada UMNO atau PAS, pemimpin-pemimpin Cina dan India tidak dapat melihat keindahan Islam pada mereka. Yang mereka nampak hanyalah pertubuhan politik yang tiada sentuhan jiwa mereka walaupun mereka sudah bergaul terlalu lama.

Seruan dakwah tidak dijalankan, perbalahan dihadapan mereka lebih menjauhkan mereka dengan Islam. Ini amat menyedihkan.
Allahyarham Tunku Abdul Rahman Al-Haj ketika di Mekah melihat berlakunya kesatuan pelbagai bangsa adalah berasaskan Islam. Beliau menyedari bahawa Islam adalah satu jalan penyelesaian masalah perkauman di Malaysia. Apabila kembali ke tanah air, Tunku menubuhkan PERKIM dengan harapan akan berlakunya dakwah Islam yang membawa kemasukan beramai-ramai kaum-kaun lain ke dalam Islam. Malangnya cita-cita Tunku yang tinggi ini tidak berjalan sebagaimana yang dikehendakinya. Ia tidak lebih sebagai perkara sampingan sahaja. Tiada dakwah dan tiada kasih sayang. Usaha dan cita-cita Tunku perlu teruskan dan diperhebatkan lagi demi keselamatan dan keharmonian negara. Berjuang atas dasar perkauman adalah amat merbahaya. Risikonya sentiasa ada kerana ia ibarat bermain api. Api tidak padam tetapi hanya ditahan atau ditutup, silap sedikit ia akan membakar dan meletup. Tidak ada sebab manusia menolak Islam jika diseru dengan hikmah. Ia adalah agama fitrah dan agama untuk seluruh manusia. Dengan kesyumulan Islam dan konsep KeTuhanan yang jelas, manusia akan menerimanya.

Apabila kita menyampaikan Islam, mereka amat berminat mendengarnya. Namun masalah yang timbul apabila dakwah dijalankan ialah mereka merujuk telatah dan perangai pemimpin UMNO dan PAS. Mereka tidak dapat lihat cahaya kasih sayang tetapi perpecahan dan perbalahan, mereka tidak lihat kejujuran tetapi penipuan, mereka tidak melihat keindahan akhlak Islam tetapi maki hamun dan fitnah. Islam manakah yang benar, Islam PAS atau Islam UMNO?

Demi Allah, Malaysia mempunyai banyak batu bata yang jika disusun akan menjadi bangunan yang hebat. Malaysia memerlukan arkitek-arkitek yang hebat untuk mentarbiyah dan menyusun manusia-manusia yang beriman dan bersemangat untuk membangunkan Islam di atas muka bumi ini.

Marilah kita mengutamakan yang paling utama daripada yang utama. Biarlah kita berbeza pendapat tetapi saling lengkap melengkapi. Kita berbeza pendapat, tetapi tidak memutuskan kasih sayang. Kasih sayang itu wajib sedangkan perpecahan dalam perkara khilaf itu adalah haram.

Pertelingkahan yang besar dan terbuka antara PAS dan UMNO memberi peluang kepada bukan Islam untuk mengecam Islam, contohnya Enakmen Hukum Hudud. Bagi penulis, kedua-dua pihak bersalah, pertelingkahan mereka adalah penyebabnya, bukan Islam lebih melihat kelemahan dari keindahan hukum tersebut. Merekalah yang membuka pintu rumah sehingga dimasuki oleh orang lain. Apabila diseru kepada perpaduan, akan kedengaran suara supaya kembali kepada Al-Quran dan Sunnah sebagai penyelesaiannya. Tetapi, apakah benar bila semua pihak kembali kepada kedua sumber ini, mereka boleh bersatu?.

Sebenarnya, kembali kepada Al-Quran dan Sunnah tidak akan melahirkan perpaduan atau penyatuan. Penyatuan atau kasih sayang hanya dapat dilahirkan dari hati yang ikhlas, jiwa yang tenang, tidak taksub dengan pandangan sendiri dan mencintai Islam melebihi segalanya. Ini disebabkan Al-Quran dan Sunnah itu sendiri bersifat membuka pintu perdebatan dan perbezaan pendapat. Buktinya kelahiran beberapa mazhab yang mana mazhab-mazhab ini semuanya merujuk kepada Quran dan Hadis. Quran itu sendiri mempunyai bahasa yang indah dan tinggi, ia mempunyai makna yang luas dan pelbagai. Di sinilah ulama-ulama mujtahid mengeluarkan pendapat dan fatwa yang berbeza berdasarkan kaedah dan kefahaman masing-masing. Banyak kitab-kitab tafsir ditangan kita hari ini.

Perbezaan pendapat tidak boleh dielakkan dikalangan umat Islam di seluruh dunia dan jika mereka tidak berlapang dada ia akan membawa kepada kemusnahan kepada ummah.

REFORMASI YANG PERLU DILAKUKAN
Reformasi yang perlu dilakukan oleh kedua-dua pihak demi kebaikan rakyat, negara dan ummah seluruhnya.

Tranformasi dalam UMNO

1. Tidak menganggap PAS sebagai musuh sebaliknya sebagai adik atau saudara yang mempunyai kecintaan pada agama, bangsa dan negara 2. Menghormati para ulama, pemimpin dan intelektual dalam PAS yang mempunyai akhlak yang baik serta hujah-hujah yang mantap
3. Menerima kritikan dan cadangan mereka secara terbuka jika memberi kebaikan kepada rakyat dan negara

4. Menjauhi emosi dalam menghadapi isu dan krisis
5. Menerima para ilmuan dan ahli agama yang berada di pihak pembangkang sebagai pemantau mereka yang terbaik dan menghormati prinsip mereka.
6. Sentiasa memastikan mereka memberi khidmat dan mempunyai perancangan yang baik untuk negara. Mereka perlu bertanding secara positif supaya rakyat ada altenatif untuk memilih yang terbaik servis. Jika tiada PAS, UMNO boleh bertindak sewenang-wenangnya dalam pemerintahan seperti rasuah,ketidakadilan,harta rakyat dirampas dan sebagainya.
7. Berani mengakui kesilapan
8. Menjauhi kehidupan yang terlalu menonjolkn kemewahan dan sikap berfoya-foya. Sikap berlagak dalam menunjukkan kemewahan inilah yang boleh menghancurkan UMNO. Kehidupan yang menyimpang dari ajaran agama menjadi budaya hidup kebanyakan pemimpin UMNO seperti rasuah, bolot kekayaan, menipu, kaki minum, kaki perempuan, kaki hiburan dan sebagainya. Ini akan menjadi contoh tauladan kepada anak-anak muda. Dari segi akhlak dan penghayatan agama, ahli PAS jauh lebih baik dari UMNO. Budaya kebendaan begitu kuat dalam UMNO yang kadang-kadang dipuja bagaikan Tuhan. Mereka mencanangkan sana sini betapa pentingnya pembangunan dan kemajuan sehingga menganggap agama sebagai penghalang diperingkat awalnya. Alhamdulillah, dengan dakwah dan teguran yang keras dari PAS, suara seperti itu sudah tidak kedengaran lagi, suara politik suku agama suku juga tiada lagi.
9. Mengadakan hubungan peribadi yang baik antara kedua pemimpin seperti ziarah menziarahi, minum bersama atau melakukan aktiviti luar bersama.

10. Berbincang bersama-sama dalam isu yang melibatkan semua pihak seperti masalah dadah, sumbang mahram, buang bayi, kerosakan akidah, rogol, bunuh, rompak dan lain-lain.

11. Mengadakan banyak program silaturahim seperti perlawanan bola sepak persahabatan antara PAS dan UMNO, mendaki gunung, program muhibbah hari raya dan sebagainya

12. Bersungguh-sungguh menjayakan pentarbiyahan kepada ahli bagi meningkatkan kefahaman dan penghayatan Islam di kalangan mereka. Dengan ilmu dan taqwa, akan lahirlah budaya akhlak yang tinggi dan akan terhapuslah budaya terlalu sosial dalam UMNO yang akan menjadi contoh kepada genarasi muda. Kadang-kadang para pendakwah merasa letih dalam mendidik anak-anak muda. Habis ayat Quran dan hadis dibaca, namun apa yang dilarang itulah yang dibuat oleh UMNO. Pergaulan bebas lelaki dan perempuan dan akhlak yagng tidak mengambarkan sebagai seorang Islam telah menjadi pakaian mereka dan budaya hidup inilah mempengaruhi cara hidup anak-anak muda sekarang. Jika UMNO dapat mentarbiyah ahli-ahlinya maka akan berlaku suatu perubahan yang besar dalam sistem sosial masyarakat.
Jika ditanam betul-betul konsep keimanan dan kasih sayang, InsyaAllah akan lahirlah natijah yang hebat. Bila jiwa manusia diisi dengan iman, ia akan sentiasa berfikir setiap apa yang dilakukan akan dihisab oleh Allah swt. Ini akan mendorongnya menjadi manusia yang baik, ikhlas dan mulia.

Transformasi dalam PAS

1. Perlu menerima kebaikan dasar-dasar kerajaan untuk pembangunan Islam

2. Melihat PM atau TPM sebagai ayah yang perlu dihormati serta menjaga adab dalam teguran
3. Bersedia bertolak ansur jika isu yang utarakan boleh menjatuhkan imej Islam di mata umum 4. Tidak meletakkan diri mereka sentiasa benar dalam menyatakan Islam
5.Menyusun kembali tenaga penceramah agar ceramah yang disampaikan benar-benar memberi imej yang tinggi pada PAS
6. Perlu bersungguh-sungguh mengeluarkan diri dari imej politik kampung. Walaupun kini ramai ahli profesional berada dalam PAS tetapi disebabkan beberapa isu, golongan tadi mula memperhatikan kembali sikap dan tindak tanduk PAS.
7. Beramal dengan Islam yang sebenar di mana tujuan mereka berada dalam PAS bukannya untuk mendapatkan kuasa atau kekayaan tetapi untuk menyampaikan Islam
8. Tidak berdendam dan memaafkan perbuatan musuh kerana mengambil sikap dan tauladan Nabi dalam dakwahnya.

9. Menjauhi budaya caci-mencaci, maki hamun dan perkataan yang kasar kerana ia memberi imej yang buruk dan tidak memperlihatkan kematangan PAS serta boleh merosakkan imej Islam. Sebahagian ahli PAS tidak merasa seronok jika isi ceramah tidak ada maki hamun dan menghentam pihak lawan. Untuk popular, penceramah pula terpaksa bercakap mengikut kemahuan penyokong walaupun ceramahnya merosakkan fikiran dan jiwa seorang mukmin. Terdapat juga dikalangan intelektual dan ahli agama terikut-ikut dengan tarian ini demi menjaga hati pengikut. Kalau pemimpin mengikut pengikut, apakah makna menjadi pemimpin.
10. Berhujah dengan baik, memberi khidmat yang terbaik dari segi akhlak, perancangan dan sebagainya dalam membangunkan masyarakat mengikut acuan PAS. Yang penting, buktikan merekalah yang terbaik dari segi dasar, perancangan, pentarbiyahan, kepimpinan dan sebagainya. Pastikan rakyat merasai perbezaan antara keduanya. Hari ini rakyat bawahan tidak melihat perbezaan antara wakil rakyat PAS atau UMNO. Sepatutnya bila wakil rakyat PAS kurang projek kerana masalah kewangan, pemimpin PAS menjadikan projek pembangunan insan sebagai senjata yang ampuh untuk menunjukkan kelebihan mereka. Suasana agama dihidupkan disetiap kampung, kasih sayang terjalin, budaya tolong menolong dihidupkan, anak-anak muda dididik dengan penuh keimanan dan kasih sayang, masjid penuh dengan makmum sehingga negeri yang diperintah mereka penuh dengan akhlak dan budaya Islam. Kita percaya jika rakyat Kelantan melihat arus perubahan berlaku di mana kehidupan dan suasana agama diwujudkan, anak-anak mereka tidak lagi terbiar dan rosak, mereka akan berfikir sepuluh kali untuk menukar kerajaan PAS dengan UMNO, kerana bimbang suasana keindahan Islam akan hilang, anak-anak mereka akan rosak kembali. Usahakan ke arah itu. Fitrah manusia lebih sayangkan anak dari harta. Bagi mereka tiada guna ditaburkan projek-projek dan wang ringgit jika anak-anak mereka menjadi rosak dan tiada pegangan agama. Inilah sepatutnya ditumpukan oleh PAS daripada berceramah di sana sini untuk menghentam dan mengutuk pemimpin UMNO. Apa yang dilihat dan dibuat lebih berkesan dari apa yang dicakap. Percayalah, cahaya Islam adalah kekuatan yang tiada sesiapa pun boleh menahannya. Jadikan Islam sebagai produk utama yang menarik manusia datang mengunjungi negeri. Bukan hanya undang-undang dan pentadbiran semata-mata, tetapi budaya, akhlak, ibadah, kasih sayang pada rakyatnya. Tiada pemuda lepak, tiada yang “dating” di merata-rata tempat, tidak nampak anak-anak muda merempit, tiada anak muda yang kurang ajar dengan orang tua atau orang yang lebih tua dan sebagainya. 11. Mencintai agama, bangsa dan negara mengatasi puak dan sebagainya. Jika perkara yang dibentangkan boleh membahayakan kepada perpaduan Islam, carilah jalan terbaik untuk menyelesaikannya seperti mengadakan rundingan tanpa melalui pentas politik. Jika permasalahan dan perbezaan dasar negara kita dengan negara-negara jiran ditangani melalui pendekatan seperti ahli-ahli politik, sudah lama negara berada dalam kancah peperangan. Tetapi kebijaksanaan pemimpin-pemimpin negara bertindak cepat menyelesaikan sesuatu itu di atas semangat ASEAN berjaya menyelamatkan keadaan, walaupun banyak lagi isu yang tidak boleh disepakati setakat ini. Bila melihat UMNO dan PAS yang sama-sama Muslim, kenapa tidak PAS dan UMNO mengadakan rundingan di atas semangat Islam, persaudaraan dan kasih sayang. Keikhlasan antara kedua pihak menjadi jawapannya.
12. Pentarbiyahan ahli hendaklah dijadikan agenda nombor satu. Sebagaimana UMNO perlu pentarbiyahan, begitu juga dengan PAS. Setiap kali berlangsungnya muktamar, masalah pentarbiyahan sentiasa dibincangkan. PAS perlu bersungguh-sungguh untuk mentarbiyah ahli-ahlinya kerana manusialah yang sebenarnya melaksanakan dasar-dasar yang dibentangkan di atas kertas kerja. Jika mereka tidak dibangunkan, segala perancangan menjadi idealisme semata-mata. Jika ahli PAS ditarbiyah dengan cara yang betul iaitu mengikut perjalanan, ilmu dan cara para ulama-ulama silam seperti Tokku Paloh, Tokku Pulau Manis, Tokku Syed Sagaf, Hj. Abdul Rahman Limbung, Tok Janggut, Tok Syeikh Duyung, Syeikh Ibrahim, Tok Pelam, Tuan Guru Hj. Syafie Losong, Tok Fakir, Tuan Guru Hj. Wan Latif Besut dan sebagainya maka lahirlah pemimpin dan ahli PAS yang tinggi akhlaknya, ikhlas perjuangannya dan Allah sebagai matlamat hidupnya. Hasil tarbiyah yang betul juga, masalah kewangan bukannya menjadi masalah kepada parti . Sejarah telah membuktikan bahawa Islam dibangunkan atas dasar pengorbanan. Tanpa pengorbanan ahli, Islam tidak boleh berjaya. Ia adalah sunnatullah, di mana Allah mahu memberi hambanya maqam yang tinggi. Tetapi bagi ahli yang tidak mendapat tarbiyah, bagi mereka kemenangan bukannya masa untuk berkorban dan pengisian tetapi masa mendapatkan habuan. Kalau dahulu mereka sanggup berkorban untuk jamaah kenapa sekarang tidak kepada kerajaan negeri? Sedangkan untuk mewujudkan negeri yang berjaya memperlihatkan kehebatan dan keindahan Islam, ia memerlukan usaha dan pengorbanan yang berlipat kali ganda. Seperti kata pemimpin PAS, mempertahankan kemenangan lebih payah daripada memperolehi kemenangan.
Jika ahli bersama pemimpin memahami dan berkorban serta memberi penumpuan sepenuhnya menjayakan negeri Islam contoh dari semua aspek, tidak mustahil Malaysia akan diperintah oleh PAS satu masa nanti. Masyarakat sebenarnya memerhati dari jauh, kadang-kadang mereka bosan dengan UMNO yang korupsi, angkuh, bermewah-mewah tetapi mereka tidak yakin dengan PAS. Meletakkan semua tanggungjawab di atas bahu pemimpin semata-mata melambangkan tiadanya ukhwah dan pengorbanan di kalangan ahli jemaah. Tidak hairanlah Terengganu telah berjaya dirampas kembali oleh UMNO. Allah tidak benarkan PAS terus memimpin kerajaan Terengganu. Inilah yang menyebabkan Tuan Guru Haji Hadi menangis dalam beberapa mesyuarat Agung kawasan pada awal kemenangan PAS di Terengganu. Beliau sedih kerana tidak menyangka ahli-ahli PAS menjadi beban kepada kerajaan negeri. Mereka berebut jawatan kerajaan, meminta pelbagai habuan atas penat lelah mereka bekerja untuk kemenangan PAS. Mereka tidak boleh membezakan antara hak parti dengan hak kerajaan negeri. Kalau hak mereka tidak ditunaikan, mereka marah,mereka mengatakan pemimpin cakap tak serupa bikin, pemimpin telah berubah, pemimpin tak Islamik, pemimpin sudah menjadi ahli dunia dan sebagainya malah ada yang mengugut hendak memukul pemimpin tertentu jika datang ke tempat mereka. Ada yang mengugut untuk masuk UMNO, bahkan ramai yang telah masuk UMNO kerana protes, kecewa dan sebagainya. Ini adalah kesan dari kelemahan sistem tarbiyah. Bila aspek pentarbiyahan lemah dan kurang maka di musim pilihanraya contohnya, sebahagian petugas bukannya menghidupkan markas mereka dengan ibadah tetapi dengan menonton hiburan, gusti, filem Hindustan, bersembang kosong, bermain terup, mengumpat dan sebagainya. Malah pemimpin sendiri menghantar rokok kegemaran mereka yang penting mereka boleh bekerja dan berjaga malam. Seruan pemimpin agar ahli menjadi seperti “abid” di malam hari, singa di siang hari seperti langit dengan bumi.

Jika kita imbas kembali pejuang-pejuang Islam di zaman Sultan Salahuddin Al-Ayubi, mungkin daripada 800 ribu itu, mahu memilih 5000 orang pun sukar untuk bersamanya walaupun dikalangan pemimpin sekali pun. Inilah hakikat yang perlu ditelan walaupun pahit. Pemimpin sibuk berpolitik menghentam UMNO dan menyerang peribadi pihak lawan sehingga tiada masa untuk menumpukan tarbiyah.

Berceramah menghentam musuh kerana didakwa melakukan ketidakadilan terhadap mereka adalah bertujuan menutup kelemahan diri. Dalam peperangan, menyalahkan musuh kerana menyerang kita melambangkan kelemahan dan ketidakbijaksanaan. Sebaliknya kita perlu menyalahkan diri sendiri kerana tidak mempunyai pertahanan, perancangan dan strategi yang baik dalam menghadapi ancaman musuh. Syeikh Yusof Al-Qardawi dalam melihat kepentingan tarbiyah telah menulis dalam sebuah buku seperti berikut:
Di antara salah faham yang sering berlaku ditengah-tengah pejuang Islam ialah banyak dikalangan mereka khususnya mereka yang terlampau bersemangat memberi semua tumpuan dan perhatian kepada permasalahan perlaksanaan Syariat Islam iaitu menjadikan syariat Islam sebagai satu-satunya undang-undang, terutama dalam perkara-perkara kanun keseksaan: hudud, qisas dan ta’zir”.

Memang perkara ini adalah merupakan satu bahagian daripada ajaran Islam yang tidak boleh dilalaikan ataupun diketepikan. Namun, mengajukan tuntutan dan perbincangan secara berlebihan sehingga menjadikannya sebagai satu-satunya masalah yang paling penting dalam Islam boleh menimbulkan beberapa akibat kurang baik terhadap perkembangan pemikiran dan kerja-kerja Islam itu sendiri, di samping menimbulkan tanggapan yang kurang baik terhadap kalangan orang awam sehingga hal itu dijadikan kesempatan oleh musuh-musuh Islam untuk melemparkan tuduhan buruk terhadap Islam, syariat dan dakwahnya. Saya sudah seringkali mengatakan bahawa undang-undang sahaja tidak dapat membentuk sebuah masyarakat dan umat namun yang dapat menciptakan masyarakat dan umat ialah pendidikan, ilmu pengetahuan dan tarbiyah, kemudian barulah diperkenalkan undang-undang sebagai perisai dan perlindungan”.

bersambung.....