Khamis, 19 November 2009

Jalan Dakwah Perlu Bekalan


“Sesungguhnya inilah jalan-Ku yang lurus,ikutilah dia dan jangan kamu mengikuti jalan-jalan lain lalu kamu bercerai-berai dari jalanNya,demikianlah diwasiatkan kepada kamu,semoga kamu bertaqwa.” (AL-An’am:153)

Setiap musafir di perjalanan memerlukan bekalan yamg mencukupi untuk meneruskan perjalanannya, sehingga sampai ke matlamatnya. Dia tidak boleh tidak mesti menghitung segala kemungkinan yang bakal merintangi perjalanannya, atau sekurangnya-kurangnya melambat-lambatkan sampai ke arah tujuannya.

Jalan da’wah jalan para da’ie yang menyeru dan mengajak manusia kepada Allah. Inilah jalan hidup mereka dan inilah jalan para Nabi dan para Rasul serta sahabat-sahabat baginda. Oleh itu dia mestilah menyediakan segala “bekalan” yang mampu melindungi dirinya dari segala bentuk penyelewengan yang boleh memesongkannya, supaya tidak berhenti, tidak tergelincir dan tidak tersekat malah terus mara.

Bekal yang sangat perlu dalam perjalanan ini ialah iman yang teguh serta taqwa kepada Allah. Bekal inilah yang akan memancarkan segala mata air kebaikan dari lubuk hati, melahirkan segala daya dan kekuatan, memupuk ketinggian cita-cita, menambahkan keazaman dan kemahuan. Seterusnya ia akan memudahkan langkah, meringankan segala bentuk tarikan keduniaan, menjauhi segala kesalahan dan menerangi segala laluan dan jalan. Dari iman dan hati yang hidup dengan Allah, jiwa yang suci bersih ini akan lahirkan da’ie yang ikhlas, tahan diuji, sabar, tawakkal, dan kekadang menjadi sebab kepada datangnya pertolongan Allah di dalam kerja da’wahnya.

Perkara pertama sebagai bekal dijalan da’wah ialah merasai kehadiran Allah. Dia sentiasa bersama kita di setiap detik. Barang siapa yang sentiasa merasa kekurangan sesuatu dan barang siapa yang dibiarkan Allah keseorangan, sudah tentulah ia akan terus sesat dan akhirnya gugur dari jalan da’wah.
Firman Allah:
“Dan bersabarlah,dan tiadalah kesabaranmu itu kecuali kerana Allah dan janganlan merasa dukacita ke atas mereka,dan janganlah kamu merasa susah dari tipu daya mereka. Sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang bertaqwa dan berbuat baik. (An-Nahi:127-128)

Mengenal Allah (makrifatuLlah) dengan hakikat yang sebenarnya akan melahirkan ketenangan dan ketenteraman kepada jiwa para da’ie. Bila diuji, dia bersabar dan bila diberi nikmat, ia bersyukur, kerana ia melihat semuanya datang daripada Allah.

Di atas jalan da’wah ini, kita sangat memerlukan Nur Illahi bagi menerangi jalan kita supaya kita sentiasa melangkah di atas basyirah (mata hati) dan pandangan jauh, jelas dan terang tanpa penyelewengan. Di samping itu, kita dapat mengenal tipu daya musuh, sama ada musuh zahir (syaitan,manusia,dunia) atau musuh batin (nafsu) yang sentiasa memusuhi dan mahu menyesat kita.
Firman Allah:
“Wahai para mu’min,bertaqwalah kamu kepada Allah dan berimanlah kepada RasulNYA, supaya Dia memberi kepadamu dua kali ganda dari rahmat-NYA dan memberikan kepadamu cahaya yang kamu perlukan untuk berjalan, dan Dia mengampuni kamu dan Allah itu Maha Pengampun dan Maha Pengasih.” (Al-Hadid:28)

Dan firman-NYA lagi:
“sesungguhnya orang bertaqwa itu apabila mereka diganggu syaitan ,mereka ingat dan melihat lalu sedar.” (Al-A’raf:201)

Oleh itu, para da’ie mesti memberi perhatian yang serius terhadap kesucian hatinya dan mempertingkatkan kekuatan hubungannya dengan Allah. Sesungguhnya kekuatan da’wah bergantung kepada kekuatan hubungan da’ie dengan Allah. Jika kuat dengan Allah, nescaya da’wahnya akan mampu mengetuk pintu hati manusia dan menjaminnya untuk terus istiqamah di atas perjalanan ini.

Sentiasalah kita berada di atas jalan dakwah, supaya kita mampu dan punya daya mengubah kebatilan dan keadaan yang tidak betul, supaya dapat menegakkan yang hak. Untuk itu wajiblah kita merasa mulia, kuat dan tinggi serta menjauhkan diri dari perasaan lemah, hina dan rendah diri, semuanya ini tidak akan dapat digarap tanpa bekalan iman yang kukuh.
Firman Allah swt yg bermaksud:
“Dan janganlah kamu merasa sedih dan berdukacita, padahal kamulah yg paling tinggi sekiranya kamu orang-orang yg beriman.” (Ali-Imran:139)

Di atas jalan ini, kita akan dapat melaksanakan jihad fi sabilillah serta dapat memberi pengorbanan dengan keupayaan kita demi perlaksanaan jihad ini. Harta, usaha, masa, buah fikiran malah jiwa kita sekalipun mestilah bersedia untuk dikorbankan dalam jihad ini. Hanya orang-orang beriman dan cinta akhirat sahaja yang sanggup melakukan semua ini dengan ikhlas hati kerana mereka mengutamakan Allah dan Rasul lebih dari segala-galanya.
Firman Allah swt yg bermaksud:
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari para mukmin itu jiwa-jiwa mereka dan harta-harta mereka dengan balasan syurga, iaitu hendaklah mereka berjihad (berperang) di jalan Allah, lalu mereka membunuh dan terbunuh.” (At-taubah:111)

Di atas jalan ini, kita terdedah kepada cubaan atau ujian kritikan, cacian, makian, penghinaan dan sebagainya kerana ini semua adalah sunnatullah (ketetapan Allah) di jalan dakwah. Tiada siapa yang dapat menolong kita, menanggung beban dan kesakitan melainkan iman dan taqwa kita kepada Allah swt. Biarlah nampak semua ini datang daripada Allah swt. Firman Allah swt yg bermaksud:
“Sesungguhnya kamu akan diuji dengan harta benda kamu dengan diri kamu dan sesungguhnya kamu akan mendengar celaan dan cercaan yg banyak dari orang-orang yg telah diberi kitab terdahulu daripada kamu dan dari orang –orang musyrikin yang menyekutukan Allah tetapi jika kamu bersabar dan bertaqwa, maka sesungguhnya yg demikian itu adalah sebaik-baik perkara.” (Ali-Imran:186)

Inilah yang telah dilalui Rasulullah saw, para sahabat dan para da’ie yg mengikut jejak langkah mereka. Rasulullah saw ketika menghadapi celaan dan cercaan dengan penuh tawakal menjawab dengan membaca sepotong ayat Al-Quran:
“Mengapakah kami tidak bertawakkal kepada Allah, padahal Dia telah menunjukkan kepada kami akan jalan-jalan kami dan sesungguhnya kami akan bersabar di atas gangguan-gangguan kamu terhadap kami, dan kepada Allah hendaknya bertawakkal orang-orang yg bertawakkal..”(Ibrahim:12)

Di atas jalan ini, kita amat memerlukan Allah supaya Dia memantapkan kita dalam perjalanan ini tanpa bimbang dan ragu, tanpa menjauhkan diri dari amal, tanpa meninggalkan amal dan kewajiban walau bagaimana berat dan susah sekalipun. Allah akan hanya memberi kurniaan ini kepada golongan mukmin seperti dalam firman Allah yg bermaksud:
“Allah menetapkan pendirian orang–orang yang beriman dengan perkataan yang tetap di dalam kehidupan di dunia dan akhirat.” (Al-Anfaal:12)

Para da’ie dijalan Allah juga terdedah kepada sifat-sifat malas, lesu, dan jemu serta berbagai-bagai penyakit hati. Kalau sifat-sifat ini berterusan menguasai diri, ia akan membawa kerengganan kepada dakwah itu sendiri, kelekaan dan terus tidak bergerak. Oleh itu, nasihat–menasihati adalah amat perlu bagi menghindarkan mereka leka, hanyut dan merasa lemah semangat. Tolong–menolong dan bantu-membantu serta menutup keaiban dan kelemahan diri mereka juga akan menghalang saudara kita dihinggapi penyakit-penyakit negatif tadi.

Para da’ie juga terdedah kepada peristiwa-peristiwa serta realiti kehidupan yang susah dan mencabar, yang boleh menjadikannya bengong. Di saat inilah dia mesti bertegas di atas ajaran Islam dan nilai-nilai Islam, dan terus maju untuk menyatakan yang hak walaupun dia akan menghadapi ancaman dan ugutan. Sudah tentu dalam saat seumpama ini bekalan iman dan taqwa yg dapat menolongnya mendapatkan bantuan Allah swt.
Firman Allah swt yg bermaksud:
“Barang siapa yg bertaqwa kpd Allah. Allah akan memudahkan urusannya.” (At-Talaaq:4)

Di atas jalan ini juga, kita mesti menghayati Islam, dari segi perkataan serta perbuatan. Tidak menyalahi perintah Allah dan Rasul dalam setiap keadaan dan suasana. Ukhuwah Islamiyyah dan kasih sayang yang dijalin oleh perasaan cinta kepada Allah adalah syarat agar persaudaraan dan perpaduan dapat dikekalkan dalam barisan anggota jemaah. Sesungguhnya pada persahabatan yang baik itu ada bekalan.

Di atas jalan ini juga, kita memerlukan ilmu yg bermanfaat untuk menghadapi manusia yang pelbagai latar belakangnya. Tidaklah mencukupi dengan membaca kitab yang banyak, tetapi mestilah diiringi dengan amalan “zikir khususiyah”, nescaya Allah akan menambahkan kurnia ilmu (ladunni), nur makrifat dan taufikNya. Benarlah firmanNya yg bermaksud:
“Dan bertaqwalah kamu kepada Allah kerana Allah mengajar kamu dan Allah mengetahui segala sesuatu.”(Al-Baqarah:282)

Pertolongan Allah dan kemenangan agamaNya tidak akan menjadi kenyataan jika tidak disertai dengan menggunakan semua potensi yang ada dan usaha yang gigih serta jihad yang sepenuh hati (100%). Di samping itu, para da’ie juga mestilah mempunyai syarat-syarat yang melayakkan mereka mendapat pertolongan dan kemenangan daripada Allah. Jelas sekali bahawa perkara pokok untuk mengundang pertolongan Allah ialah bekalan iman dan taqwa, kerana dari kedua-duanya itu akan melahirkan kemantapan da’ie dalam mengharungi perjalanan ini.
Allahukbar...sekarang..renunglah dalam diri kita, bagaimana lemahnya kita. Kita benar-benar perlukan bekalan di sepanjang jalan. Kita tidak akan mampu membuat satu kebaikan, apatah lagi beramal soleh tanpa bekalan iman dan taqwa. Bekalan iman dan taqwa juga adalah kurniaan daripada Allah swt yang benar-benar bersungguh bermujahadah. Lantaran itu, marilah sama-sama memperbaiki bekalan iman dan taqwa serta sentiasa memperbaharuinya di sepanjang perjalanan. Jangan biarkan ia berkurang atau habis ditengah jalan, malah terus menambah serta memperkukuhkannya. Semoga kita termasuk di kalangan orang-orang yg membenarkan janji-janji Allah.
Firman Allah swt yg bermaksud:

“Di antara orang-orang mukmin itu, ada orang-orang yang menepati apa yg telah mereka janjikan kepada Allah, maka ada di antara mereka yang gugur. Dan di antara mereka ada yg menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak merubah(janjinya).” (Al-Ahzab:23)

Ya Allah Ya Tuhan kami, jadikanlah kami tergolong dikalangan mereka yang telah Kau janjikan dan gugurlah kami dijalan -Mu..amin