Khamis, 5 November 2009

Kerosakan Umat,Punca&Cara Mengatasinya IV

NASIHAT BUAT RAKYAT

SERUAN KEPADA RAKYAT MALAYSIA YANG BERKECUALI
Kemelut politik kepartian yang telah menjangkau usia lebih dari 50 tahun masih belum memberi isyarat akan reda bahkan semakin menghangatkan api perpecahan dalam masyarakat. Pihak-pihak yang berkonfrontasi semakin hari semakin sibuk mencari ruang dan peluang untuk menjatuhkan lawan di samping mempertahankan diri. Sentimen kepartian yang menebal telah menyebabkan mereka bertindak diluar batas rasional dan toleransi sehingga Islam lebih dilihat sebagai bahan pertelagahan.
Jika merujuk kepada perangkaan penduduk Malaysia 2009 yang dikemaskinikan pada 31/07/2009, antaranya adalah berikut:
1. Jumlah keseluruhan penduduk = 28.31 juta
2. Penduduk berumur bawah 15 tahun = 7.7 juta = 31.8%
3. Penduduk terdiri dari kalangan pelajar =5.12 juta = 21.6%
4. Penduduk beragama Islam = 14.4 juta = 60.4%
5. Penduduk bukan Islam = 9.4 juta = 39.6%

Manakala mereka yang berdaftar sebagai ahli parti politik yang dianggotai oleh Melayu dianggarkan hanya 3.5 juta orang (berdasarkan keahlian UMNO,PAS,dan PKR) atau 14.8 % daripada keseluruhan penduduk. Ini bermakna kemelut politik kepartian yang dicetuskan oleh sekitar 3.5 juta orang turut disaksikan dan dirasai oleh 7.7 juta kanak-kanak yang sedang membesar,5.12 juta pelajar serta 9.4 juta orang bukan Islam di negara ini. Apakah kanak-kanak ini akan membesar dalam kekeliruan, pelajar akan menjadikannya contoh pimpinan idola atau orang bukan Islam akan terus menjauhkan diri dari Islam?

Jika ditolak keahlian parti-parti lain dianggarkan golongan yang berkecuali kira-kira 10 juta orang. Kita melihat sebahagian besar dari mereka adalah orang-orang yang rasional dan sudah bosan dengan suasana politik hari ini. Jumlah ini cukup besar jika dinisbahkan dengan semua ahli parti-parti politik dan mampu mencetuskan gelombang perubahan kepada aliran dan suasan politik negara.

Di dalam satu seminar berkaitan dengan minda orang Melayu suatu masa dahulu, seorang profesor yang membentangkan kertas kerja berkenaan pengalamannya berada di dalam PAS dan UMNO. Katanya, ketika berada di dalam PAS, beliau melihat minda orang UMNO tertutup, dan apabila beliau menyertai UMNO, beliau melihat pemikiran ahli PAS pula tertutup. Dan apabila beliau berada diluar PAS dan UMNO, beliau melihat minda kedua-dua parti tersebut tertutup.

Ramai mereka yang ikhlas samada ada dalam PAS atau UMNO mengambil sikap berdiam diri kerana kecewa melihat banyaknya kepura-puraan dalam perjuangan parti. Mereka yang bertahan kerana keikhlasan memperjuangkan agama hanyalah sedikit, tetapi kebanyakan mereka berada di dalam parti kerana berebut kuasa dan peluang mendapatkan harta. Mula-mula mahu mewakili rakyat tetapi akhirnya ramai yang menjadi wakil kepada nafsu dan syaitan.

Mengambil sikap berdiam diri kerana kecewa atau tidak mahu mengambil tahu hal-hal orang politik dengan alasan “buat sakit jiwa” boleh membahayakan masyarakat dan negara. Kita menyeru 10 juta rakyat ini memainkan peranan “amal makruf nahi mungkar” dengan penuh tanggungjawab sebagai umat Nabi SAW. Apabila umat Islam meninggalkan amal ini, hanya menumpukan dengan kerja-kerja untuk kesenangan diri dan keluarga sehingga tidak memikirkan masyarakat di sekeliling menjadi dan buat apa dan juga ahli ibadat/agama menumpukan kepada ibadah semata-mata, maka tunggulah kehancuran negara. Kita perlu memperbetulkan orang-orang politik dengan pelbagai cara agar mereka tidak bebas untuk melakukan apa saja atas nama politik.

Mengapa firaun berani mengaku sebagai Tuhan? Kerana dia tahu rakyatnya tidak akan marah kerana kejahilan rakyatnya. Dia bebas bercakap atau melakukan apa saja sedangkan bilangan pengikutnya kecil sahaja jika dibandingkan dengan jumlah rakyatnya. Jika rakyatnya bangun menentang, pasti Firaun dan pengikutnya akan hancur. Ahli politik Jepun, Britain atau Amerika tidak berani bercakap atau melakukan sembarangan kerana rakyat mereka akan menentang sama ada ianya dari pembangkang ataupun dari kerajaan. Mereka tidak akan berdiam diri. Ada yang meletakkan jawatan kerana tidak sanggup berdepan dengan rakyat. Parti akan memecat atau mengarahkan pemimpin yang tidak disenangi rakyat meletakkan jawatan kerana takut hilang sokongan.

Rakyat mereka menguasai parti politik sedangkan di Malaysia, parti politik yang menguasai rakyat. Kita tidak perlu menunggu 5 tahun untuk mengajar ahli politik yang tidak ikhlas, rosak akhlak, tidak bertanggungjawab, pecah amanah, dan tidak menentu halatuju mereka. Kita boleh menghantar memorandum atas suara rakyat yang bersatu kepada UMNO atau PAS jika kita melihat gelagat pemimpin atau tindakan kedua parti ini merugikan agama, masyarakat dan negara. Kita tidak boleh mengharapkan dengan adanya pelbagai parti politik, ia boleh memberi kekuatan kepada Islam dan negara. Tetapi kini, mereka seolah-olah kehilangan halatuju kerana mengikut hawa nafsu dan cintakan jawatan sehingga membutakan mata hati mereka.

Dalam hal ini, pemimpin Ikhwanul Muslimin, Imam Hassan al-Banna pernah mengkritik perjalanan pilihanraya di Mesir kerana ketidaksesuaian calon-calon serta penipuan, rasuah, dan politik wang berleluasa. Selaras dengan itu, Hasan al-Banna menyeru supaya dibuat pemindaan terhadap akta pilihanraya sehingga dapat melahirkan mereka yang mewakili rakyat jelata. Beliau menyenaraikan lima perkara untuk dilakukan perubahan iaitu;
1. Meletakkan beberapa syarat, jika mereka merupakan wakil bagi sesuatu badan atau pertubuhan, mereka mestilah mempunyai program yang jelas dan matlamat yang terperinci.
2. Meletakkan batas-batas tertentu untuk kempen pilihanraya, menetapkan hukuman tertentu ke atas sesiapa yang melanggar batas-batas tersebut seperti mencela peribadi dan keluarga. Kempen mereka mestila berkisar mengenai manhaj-manhaj dan perancangan pembaharuan
3. Memperbaiki jadual piliharaya dan mewajibkan pengundian
4. Menetapkan hukuman yang berat terhadap penipuan dalam apa jua bentuk sekalipun begitu juga amalan rasuah.
5. Menyediakan pemilihan melalui senarai, bukannya pemilihan individu yang menyebabkan wakil rakyat bebas dari tekanan orang yang mengundi mereka dan kemaslahatan umum akan mengambil tempat kemaslahatan individu dalam menentukan wakil dan hubungannya dengan mereka.

Parti-parti politik menyebabkan umat Islam kini dalam kebingungan apatah lagi dengan saudara baru dan masyarakat non-muslim. Apabila keduanya sudah lari dari matlamat sebenar perjuangan, kita tidak boleh biarkan, kita tidak boleh tidur lena kerana bimbang akan dimurkai Tuhan. Allah swt telah memberi sindiran yang tajam kepada mereka yang mempunyai matahati bahawa disebalik laungan Islam dan dakwah yang diperjuangkan antara kedua pihak atau badan-badan dakwah yang lain, umat Islam semakin rosak, generasi mudah semakin liar dengan Islam, seks bebas, rempit, gejala murtad semakin berleluasa, sumbang mahram, budaya “dating” di mana-mana tempat, buang anak, video lucah ada di mana-mana, menagih dan menjual dadah, pil dan sebagainya. Ini menunjukkan bahawa Malaysia sedang menuju kehancuran disebalik keindahan syiar-syiar Islam yang dipamerkan.

Dalam dunia politik, masing-masing akan menunding jari ke arah satu sama lain di atas siapa punca kerosakkan ini bagi mendapat sokongan rakyat. Ada pihak mendakwa kerosakan sosial yang berlaku sekarang disebabkan undang-undang Islam tidak dilaksanakan. Begitu mudah mereka membuat kesimpulan, sedangkan kalau ditanya, kenapa gejala ini berlaku kepada anak-anak muda Islam seperti penagihan dadah yang kini mencapai lebih dari 600 ribu orang? Kalau itulah puncanya, tentulah semua bangsa akan terlibat, tidak hanya kepada orang Melayu Islam. Analogi yang lebih tepat ialah orang melayu tidak pandai mendidik anak bangsa. Keikhlasan tidak wujud dalam kamus perjuangan mereka, sebab mereka perlu memikirkan keselamatan mereka.

Syeikh Yusof al-Qardawi, dalam buku beliau yang berjudul ‘Membangunkan Ummah’. Jelas beliau, “Satu Kenyataan Bukan Khayalan menggariskan salah satu sebab mengapa umat Islam tidak boleh bersatu padu ialah kerana para pemimpin meletakkan kepentingan diri lebih utama dari kepentingan ummah”.
Wujudnya perbezaan maslahat dan kepentingan politik tiap-tiap daerah dan bangsa, terutama dari kalangan para pemimpin politik, raja-raja, dan penguasa negara tertentu berserta kaum keluarga dan puak-puak mereka. Walhal, golongan para penguasa negara dan pemimpin politik tersebut adalah merupakan bahagian yang paling kecil di dalam sesebuah negara. Namun, mereka sanggup mengorbankan kepentingan rakyat awam demi menjaga kedudukan, kemudahan dan pangkat yang sedang disandang mereka”.
“Golongan kecil ini, pada kebiasaannya hanya pandai menghancurkan bukan membangun, menyebabkan kelemahan ummah bukan membangkit kekuatan, mematikan bukan menghidupkan. Mengapa? Kerana tidak seorang pun di kalangan mereka bersedia untuk ‘melangkah ke belakang’ meninggalkan kekuasaan dan kedudukan yang sedang disandangnya demi untuk mendahulukan kepentingan kaum Muslimin secara keseluruhannya dalam upaya untuk menciptakan persatuan dan kesatuan dibawah panji-panji ‘Negara Islam Yang Besar dan Agung’”.
“Mengapa mereka semuanya tidak pernah mahu bertolak ansur dan mendahulukan kepentingan ummah dari kepentingan diri dan keluarga sendiri? Hal itu kerana pada saat ini mereka ada jawatan, pangkat, mempunyai tentera dan pembantu yang setia serta mempunyai semua kemudahan dan keselesaan hidup”.
“Oleh sebab itu mereka tidak ingin kehilangan kemudahan dan alat-alat sokongan tersebut, malahan sebaliknya mereka bersedia untuk mengadai nyawa demi mempertahankan kekuasaan dan kesultanannya meskipun daerah jajahannya tidak dapat dilihat dan dikesan dalam peta dunia, kecuali apabila kita menggunakan mikroskop! Begitulah sifatnya kekuasaan dan jawatan, bila ia sudah ada ditangan amat sukar untuk dilepaskan”.

Jika sesuatu itu itu penting dan boleh menaikkan nama mereka serta ada ‘political mileage’, mereka akan perjuangkannya habis-habisan. Jika sebaliknya, isu itu ditinggalkan begitu sahaja. Suatu masa dahulu , heboh isu murtad yang melibatkan seorang wanita Islam yang bernama Aishah Bukhari. Ceramah khas dianjurkan di mana-mana, malah beribu-ribu poster diedarkan dan ditampal di merata-rata tempat. Apabila sudah lama dan isu itu sudah tidak panas dan sudah basi, mereka akan mencari isu-isu yang lain pula. Begitulah keadaannya sampai bila-bila. Pemimpin perlu mamainkan isu mengikut selera dan menyenangkan hati pengikut dan yang dapat mengekalkan kerusi atau jawatannya. Mereka berjuang dalam ruang yang tidak bebas, satunya politik untuk rakyat dan satu lagi politik untuk diri sendiri dan pengikut.

Sebenarnya banyak lagi isu lain yang memperlihatkan sifat kebudak-budakkan kedua-dua pihak. Inilah padahnya apabila mereka memakai kaca mata POLITIK sepanjang masa. Bandingannya seperti lembu yang dipakaikan cermin mata hijau, rumput yang kering berwarna merah pun dilihatnya hijau. Mereka tidak mahu melihat kebaikan antara kedua pihak, justeru mereka akan mencari kelemahan lawan dan dijadikan modal politik untuk menjatuh dan menghentam lawan. Orang-orang seperti ini jangan diharap akan mencari jalan perdamaian dan jalan penyelesaian masalah ummah seperti yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. Dalam dada mereka kosong dengan kasih sayang dan yang ada hanyalah kemarahan dan kebencian.

Bukan tidak ada dikalangan pemimpin dan ahli yang inginkan perdamaian dan suasana harmoni, tetapi mereka dihalang oleh tekanan pemimpin tertentu atau pengikut yang tidak mahu melihat UMNO dan PAS berbaik-baik, kerana ia akan merosakkan agenda politik golongan tersebut. Begitu juga bukan semua pemimpin setuju dengan ceramah maki hamun tetapi kerana mahu menjadi pemimpin yang popular dan disukai pengikut, mereka terpaksa juga bercakap dan mencerca orang lain. Dibelakang, mereka mengutuk antara satu sama lain.

Mereka memilih jalan konfrontasi dalam dakwah, ia amat jauh dan berbeza sekali dengan pendekatan dakwah Nabi SAW dan ulama terdahulu. Nabi sentiasa memilih jalan aman jika di sana masih ada ruang, walaupun tindakan baginda dilihat merugikan Islam. Ini pernah berlaku dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiah dimana hampir semua sahabat tidak setuju dengan tindakan Baginda. Namun Nabi berpandangan jauh dalam dakwah dan bertegas dengan keputusan tersebut. Akhirnya terbukti jalan yang dipilih Nabi telah memberi manfaat yang besar kepada perkembangan dakwah Islam.

Rakyat majoriti yang berdiam diri tetapi tidak bersetuju dengan senario politik negara antara PAS dan UMNO, mestilah digerakkan untuk mengambil tindakan agar kedua parti politik tersebut menghentikan tindakan yang merugikan agama, bangsa dan negara. Mungkin perlu diwujudkan satu badan bebas yang mendokong perinsip mencintai agama dan negara. Kebanyakan badan-badan bebas atau NGO sedia ada sudah terpalit dengan sentimen politiki menyokong atau menentang satu-satu pihak yang menyebabkan ia tidak diyakini mewakili suara rakyat yang bebas dan merdeka.

Menjadi tangungjawab kita menghentikan akhlak-akhlak dan budaya pincang akibat sengketa politik UMNO dan PAS seperti maki hamun, mencarut, menfitnah, menuduh liwat tanpa empat saksi, menjatuhkan usahawan Melayu kerana berlainan kem sehingga menjadi bangkrap, isu Tuhan mencarut, Tuhan samseng, mengkafirkan orang, dan sebagainya. Jika dibiarkan dan tidak diambil langkah memperbetulkan sikap mereka berdua, Islam akan menjadi bahan ketawa non-muslim dan generasi mudak tidak akan minat dengan Islam.

Bukan tidak ada indvidu atau persatuan yang menyuarakan bantahan, tetapi ia tidak berkesan. Kita percaya jika semua pihak disatukan, suara mereka akan menjadi kuat dan mampu membuat ahli-ahli politik berfikir dua kali sebelum melakukan sesuatu. Kalangan Ulama berwibawa setakat ini yang lihat ikhlas dan dihormati oleh kedua-dua pihak ialah Dato’ Harussani, Mufti Perak dan juga Dr. Asri bekas mufti Perlis. Ada isu yang mereka kupas akan menghentam UMNO dan PAS. Mereka berani menegur kedua-dua ahli politik UMNO dan PAS. Jika semua mufti dan ahli agama bertaqwa, ahli fikir Islam, NGO, Badan rakyat yang cintakan Islam dan negara bersatu memainkan peranan seperti kedua-dua mufti inim insyaALlah kita yakin parti-parti politik akan berubah.

Begitu juga tok-tok guru pondok di Kelanta yang mana mereka banyak tidak bersetuju dengan isu samada dari PAS atau UMNO, tetapi mereka mengambil sikap ‘tak nak kacau’ orang politik dan hanya berbincang sesama mereka sendiri. Sikap seperti inilah yang menyebabkan ahli politik bebas bertindak dan bercakap apa sahaja yang akhirnya merugikan negara. Badan politik adalah badan yang pragmatik. Jika mereka melihat arus pemikiran rakyat berubah, mereka juga akan turut berubah kerana perlukan sokongan rakyat.

Badan atau persatuan ulama perlu mengadakan reformasi jika mahu dilihat sebagai badan yang berwibawa dan menjadi tempat rujukan masyarakat. Mereka tidak boleh marah jika rakyat tidak menghormati mereka kerana mereka sendiri meletakkan diri dalam situasi begitu. Rasa hormat atau ‘respect’ tidak boleh dipaksa.

Badan mahasiswa juga perlu menampakkan daya intelektual dan sifat matang. Jangan memakai cermin mata ahli politik bila melihat sesuatu isu dalam masyarakat. Mereka perlu melihat dari sudut pandangan mata seekor helang, bukannya sang katak. Mereka ini boleh menjadi golongan pertengahan yang menegur pimpinan politik atau siapa sahaja yang membuat perkara yang tidak betul. Suara mahasiswa adalah suara rakyat. Mahasiswa adalah masyarakat yang cerdik yang membuat pengkajian dan analisa dengan fakta dan seterusnya menangani sesuatu isu dengan ilmu yang rasional dan bukan emosi yang melulu.

PAS dan UMNO bukanlah musuh mereka tetapi badan politik inilah yang akan menentukan masa depan mereka. Jika mahasiswa menegur dan mengkritik dengan hati yang ikhlas, dengan beradab yang baik, tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Jika pemimpin kerajaan tidak menerima teguran atau cadangan mereka sekarang, mungkin mereka menerima esok ke, minggu depan ke, bulan depan ke, tahun depan ke dan sebagainya. Yang penting ialah kesabaran. Mahasiswa jangan cepat memaki hamun kerajaan sebagai tidak adil. Bersabarlah dan banyakkan doa, solat hajat beramai-ramai dan jauhkan konfrontasi. Dalam hal ini ambillah pengajaran Allah swt yang menyuruh Nabi Musa a.s berlemah lembut dengan Firaun, walaupun Firaun itu sangat zalim malah mengaku dirinya Tuhan.

Pemerintah sekarang tidaklah sama dengan Firaun. Mahasiswa pula tidaklah baik seperti Nabi Musa a.s. Cuba kita lihat CUEPACS, sebuah NGO yang memperjuangkan kebajikan para pekerja sektor awam. Mereka bersabar dalam mengemukakan bantahan dan cadangan kepada kerajaan. Mereka sentiasa mencari jalan penyelesaian dengan cara yang baik. Kalau kerajaan menolak memorandum mereka, mereka akan mencari sebab dan membaikinya serta terus berjumpa dengan pihak kerajaan, berdialog dan berunding sehingga pihak kerajaan menerimanya. Berkat kesabaran dan keikhlasan mereka, akhirnya banyak tuntutan mereka ditunaikan. Dengan pendekatan tersebut, konflik dapat diselesaikan secara harmoni. Inilah pentingnya pemimpin yang berpandangan jauh dan mengambil sikap yang matang. Mereka mahu penyelesaian masalah bukannya menambahkan masalah.

Mahasiswa tidak perlu terikat dengan politik kepartian, tumpukan pada amal ibadah dan peningkatan akhlak serta pencapaian cemerlang dalam ilmu akademik. Mahasiswa memang perlu peka dengan keadaan politik semasa dan bertindak sebagai kumpulan ‘check and balance’, memantau dan menegur mana-mana pihak yang melakukan perkara yang tidak betul samada pemerintah atau pembangkang.

bersambung....