Jumaat, 6 November 2009

Kerosakan Umat,Punca&Cara Mengatasinya (Akhir)

PERUBAHAN 3 INSTITUSI DALAM NEGARA

Tiga institusi penting yang mempengaruhi sebarang perubahan kepada suasana negara ialah ahli agama, pemimpin dan rakyat. Jika rakyat memainkan peranan amal makruf nahi mungkar, bermula dikalangan ahli mereka dahulu atas dasar takutkan Allah, atas dasar keimanan dan kasih sayang, insyaAllah akan berlakunya satu transformasi yang besar kepada negara. Yang penting, sebagai umat Nabi Muhammad saw dan warganegara Malaysia, marilah sama-sama bertindak sebagai agen perubahan.
Anjakan paradigma harus dilakukan, sentiasa berfikir, merancang dan bertindak agar dua golongan itu berubah sehingga ulama kembali berperanan sebagai penasihat dan pemimpin pula menjadi contoh tauladan.
Allah berfirman yang bermaksud: “Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu merubah dirinya sendiri”.

Mungkin pandangan untuk mengubah ahli UMNO,PKR dan PAS seramai lebih kurang 3.5 juta orang dan ahli agama yang berpuluh ribu itu satu perkara yang amat mustahil. Lebih-lebih lagi mereka sudah fanatik dan keras pendirian untuk memahami perkara yang baru, tidak boleh menerima kritikan atau tidak boleh menerima hakikat bahawa merekalah punca utama yang menyebabkan anak muda menjauhi Islam, apatah lagi kalangan bukan Islam.

Bagi penulis, itu perkara biasa. Mereka mempunyai hujah dan kita mempunyai hujah hasil dari pengkajian dan penelitian sekian lama. Walau apa pun, yang penting bagi penulis adalah rakyat majoriti yang berjumlah 10 juta yang tidak terlibat dalam mana-mana parti, agar mereka membuka minda dan memulakan langkah ke arah perubahan. InsyaAllah, Allah akan memberi pertolongan kepada kita. Jika ini berlaku, Malaysia akan menjadi negara dakwah, negara contoh dengan syiar-syiarnya, akhlak dan ruh Islam. Kita yakin, anak-anak muda yang terbiar, gejala murtad, rempit, sumbang mahram, rogol, bunuh, budaya seks bebas, penipuan, rasuah, rompakan dan sebagainya akan hilang satu persatu.

Firman Allah swt yang bermaksud: “Apabila datang kebenaran akan hancurlah segala kebatilan”. (Al-Isra:81)

InsyaAllah, kita akan melihat wajah-wajah baru anak-anak malaysia. Mereka hidup dalam suasana cintakan akhirat, hati mereka terhibur dengan amal ibadah, akhlak mereka bagaikan bunga yang indah. Ahli agama dan pemerintah saling hormat-menghormati. Orang kaya bersyukur dengan kemewahan dan mencintai akhirat, orang miskin bersabar dengan kemiskinan dan mengharapkan akhirat. Ketika itu masyarakat bukan Islam melihat keindahan Islam sebagai satu realiti dihadapan mereka bukan lagi pada bahan bacaan dan cerita. Mereka akan jatuh hati dengan Islam dan ramai akan memeluk Islam. InsyaAllah.

Ketika itu, Malaysia akan dikunjungi oleh manusia dari seluruh pelusuk dunia. Mereka datang kerana ingin melihat suatu yang indah pada mata, akal dan hati iaitu ISLAM. Malaysia juga menjadi negara tempat berkumpulnya para ulama, sarjana Islam, saintis Islam, pakar perubatan Islam, ahli kesenian Islam dan pelbagai golongan lagi. Cahaya Islam bukan sahaja memancar di dalam negara, malah cahaya keindahan Islam memancar ke Singapore, Thailand, Jepun dan ke seluruh ASEAN.

Demi Allah, seluruh manusia merindui kebenaran dan keindahan, dan tiadalah kebenaran dan keindahan itu melainkan pada umat yang memegang Al-Quran. Benarlah kata seorang ilmuan Islam, Abu Hassan Ali An-Nadwi bahawa kemunduran umat Islam menyebabkan kerugian kepada dunia. Cukuplah, cukuplah wahai ahli agama, wahai ahli politik, Al-Quran hanya berlegar dipentas musabaqah atau menjadi bahan pertelagahan sesama Islam atau menjadi sumber kekayaan. Bawalah Al-Quran, kitab hidayah ini kepada seluruh manusia.

Marilah kita buktikan secara praktikal bahawa Al-Quran adalah kitab yang membawa kerahmatan pada manusia. Jika mereka ingin melihat bagaimana umat pertengahan yang mengambil dunia dengan tidak meninggalkan kerohanian, lihatlah Malaysia. Jika mereka ingin melihat bagaimana selamatnya dan adilnya Islam terhadap golongan non-muslim, datanglah ke Malaysia. InsyaAllah apabila orang Melayu menjadikan Islam sebagai panduan kehidupan, mereka akan kuat dan dihormati, dan jika mereka meninggalkan Islam mereka akan menjadi lemah dan dihina oleh orang lain.

RAKYAT MENGGERAKKAN PERUBAHAN

Penulis berpendapat, langkah-langkah berikut perlu diambil dalam usaha menggerakkan massa untuk melakukan perubahan dalam negara. Antaranya ialah;

1. Menubuhkan sebuah Badan Bertindak Rakyat yang dianggotai oleh pelbagai lapisan masyarakat seperti guru, ulama, usahawan, doktor, pensyarah, dan sebagainya. Yang penting mereka tidak terikat dengan mana-mana parti politik. Atau bergerak atas nama persatuan seperti Persatuan Imam-Imam, Persatuan Guru-Guru Agama, Persatuan Usahawan Muslim, Pesatuan Doktor, Persatuan Pelajar, Persatuan Pensyarah, Persatuan Kesenian, Persatuan Pertanian dan lain-lain sebagai wasilah amal makruf nahi mungkar.

2. Mewujudkan kominiti negeri atau kampung yang menggabungkan ahli agama dari semua pihak untuk mewujudkan pengisian kerohanian kepada masyarakat kampung dan mencegah kemungkaran. Di zaman dahulu, anak-anak muda kampung tidak berani membawa perempuan balik kampung atau melakukan perbuatan tidak senonoh kerana orang kampung bersatu hati mencegahnya. Tetapi kini, mereka tanpa segan silu berbuat demikian kerana masyarakat sudah meninggalkan amal makruf nahi mungkar. Mereka hanya mengharapkan polis, manakala orang tua takut dengan orang muda. Orang kampung juga tidak bersatu hati disebabkan perbezaan politik lali maksiat bertambah subur, anak-anak mereka terlibat dengan gejala-gejala negatif. Mungkin ini kifarah/hukuman Allah akibat meninggalkan amal makruf nahi mungkar. Jangan salahkan anak muda, salah diri sendiri yang hanya menjadi pemerhati.

3. Mengadakan banyak seminar dan kajian tentang baik buruknya isu yang dimainkan oleh PAS, PKR dan UMNO kepada agama dan negara dari masa ke semasa. Hantarkan resolusi kepada ketiga-tiga pihak agar melakukan perubahan yang perlu jika mahu mendapat sokongan rakyat majoriti.

4. Memulau pilihanraya jika ketiga-tiga pihak masih berdegil dengan sikap yang merosakkan Islam dan negara.

5. Tolak mana-mana pemimpin, baik PAS, PKR atau UMNO, jika tidak membawa pemikiran, hala tuju atau akhlak yang mencerminkan Islam. Hantarkan memorandum atau bantahan kepada parti mereka.

6. Membawa kominiti yang dihormati dan berani atas dasar takut kepada Allah swt berjumpa mana-mana pemimpin atau pegawai atau ahli agama yang didapati tidak menjalankan tugas atau didapati menyeleweng dalam arahan seperti atau memecat pegawai dengan baik. Bantahan disampaikan secara bijaksana dan baik.

7. Tok-tok guru pondok perlu disatukan dalam satu badan ulama. Apabila berlaku krisis dalam masyarakat, badan ini akan mengeluarkan padangan dan nasihat.

8. Ulama-ulama pengampu perlu disedarkan, mereka inilah yang merosakkan pemimpin. PM sendiri banyak menerima nasihat dari para Ulama, tetapi sayang ulama yang diminta nasihat tidak memberi nasihat yang benar kerana takut kehilangan jawatan.

9. Ulama-ulama yang ahli dunia, yang takut pada manusia lebih dari Allah, tidak yakin dengan rezeki Allah, tamak haloba, tidak mencerminkan kecintaan pada akhirat hendaklah ditolak, jangan dijemput berceramah. Mereka itu ulama yang dimurkai Tuhan, tiada keberkatan mengambil ilmu darinya atau pendakwah yang tidak beramal dengan ilmunya.

10. Banyak isu yang tidak boleh diselesaikan melalui jalan politik. Oleh itu, badan rakyat yang bebas perlu mengambil inisiatif mencari jalan penyelesaian melalui rundingan dalam suasana keimanan dan kasih sayang seperti isu ISA, PPSMI, dan lain-lain.

11. Bertindak mendengar hujah semua parti politik dalam sesuatu isu, apalag ketika pilihanraya agar kita dapat mengundi dengan penuh keadilan dan kefahaman. Ini kerana, kebanyakan para pegundi hari ini tidak jelas calon mana yang hendak dilantik, apakah misi dan visi mereka, bagaimana akhlak mereka. Adakah dialog secara telus dan jangan terikat dengan satu parti sahaja. Ramai YB yang baik dalam UMNO, PKR dan PAS. Mereka ini perlu dikekalkan untuk melahirkan negara yang dinamik dan harmoni.

12. Sentiasa mengikuti sidang DUN atau Parlimen untuk mengetahui calon yang dipilih betul-betul memainkan peranannya. Kalau dilantik pembangkang, pastikan tegurannya memberi kebaikan dan dikemukakan dengan fakta yang kukuh. Jika calon dipilih dari kerajaan, pastikan beliau melaksanakan tugasnya.

13. Budaya taksub pada satu parti adalah tidak melambangkan kematangan. Rakyat Kelantan adalah contoh terbaik dalam dunia politik. Mereka tidak terikat dengan mana-mana parti. Mereka menilai dengan jujur dan amanah. Jika mereka melihat berlakunya penyelewengan atau salahguna kuasa satu-satu pihak, mereka akan menjatuhkan pihak berkenaan. Jika sikap ini diamalkan oleh seluruh rakyat Malaysia, nescaya semua parti akan bersungguh-sungguh memberi khidmat dan menonjolkan dengan jelas kebaikan dasar-dasar mereka. Kini beberapa negeri rakyatnya telah berani melakukan perubahan. Syabas diucapkan. Jika tidak elok lagi, tukar lagi. Begitulah episodnya.

Semoga dengan pelbagai cadangan ini dapatlah membantu mewujudkan suasana yang harmoni dan menggerunkan parti-parti politik, agar mereka tidak mudah atau sewenang-wenangnya melakukan apa sahaja walaupun perkara itu terang-terang batil dan kebudak-budakan. Ulama-ulama yang ahli dunia, yang takut pada manusia lebih dari Allah, tidak yakin dengan rezeki Allah, tamak haloba, tidak mencerminkan kecintaan pada akhirat akan MENGUBAH kehidupan mereka. Ulama yang baik akan melahirkan pemimpin yang baik dan pemimpin yang baik akan melahirkan rakyat yang baik.

Apa yang penting, amal makruf nahi mungkar WAJIB dijalankan oleh setiap individu dalam apa cara sekali pun. Kita berharap dengan sikap ini, para ulama akan berfungsi sebagai pemimpin rohani, pemimpin politik membangunkan negara dengan cemerlang. Kita juga berharap gelombang kesedaran dan tindakan rakyat berupaya mengubah pendekatan dan imej parti-parti politik. Antaranya setiap parti politik mengemukakan misi perjuangan yang jelas dan konsisten, manakala persengketaan atau perselisihan politik dijalankan dalam suasana harmoni, matang dan rasional.

Sesungguhnya tiada yang mustahil dalam kehidupan ini selagi adanya usaha kepada perubahan. Allah swt pasti menolong hamba-hambaNya yang sabar dan ikhlas.