Jumaat, 20 November 2009

Seruan Dakwah

Asas utama da’wah ialah menyeru manusia kembali kepada Allah; mengingatkan kembali roh kepada Tuhannya, mengamalkan syariat dan wahyu Tuhan dalam urusan kehidupannya, mengubah manusia daripada perhambaan kepada sesama makhluk, nafsu dan dunia, kepada perhambaan semata-mata kepada Allah swt Inilah seruan dari zaman berzaman Nabi Adam as sehinggalah lahirnya Nabi akhir zaman, Muhammad saw. Seterusnya tugas ini disambung oleh orang-orang yang mengikuti jejak mereka sehingga ke akhir zaman.


Tanggungjawab melaksanakan da’wah, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran merupakan tugas asasi setiap Muslim. Firman Allah swt:
“Dan hendaklah ada dikalangan kamu satu golongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (Ali-Imran:104)


Para penda’wah (da’e) adalah mereka yang terpilih untuk menyambung tugas keNabian setelah wafatnya Rasulullah saw. Kepada mereka, Allah menjanjikan kelebihan dan ganjaran yang besar, serta digolongkan sebagai orang-orang yang beruntung. Firman Allah yang bermaksud;
“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada mereka yang menyeru kepada (agama) Allah dan melakukan amal soleh, sambil berkata;Sesungguhnya aku dari kalangan orang-orang yang menyerah diri (Islam).” (Fussilat:33)


Da’ie adalah mereka yang berniaga dengan Allah, yang tidak akan rugi selama-lamanya. Dan pulangan yang dijanjikan oleh Allah ialah syurgaNya. Firman Allah swt yang bermaksud:
“Wahai org-org yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih, (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad dijalan Allah dengan harta dan jiwa kamu, itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahuinya. Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dlm syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dlm syurga ‘Adnin. Itulah keuntungan yang besar.” (As-Saff:10-12)


Jalan da’wah adalah satu jalan kehidupan para da’ie yang menyeru dan mengajak manusia kepada Allah. Perjalanan ini akan menempuh pelbagai mehnah (ujian) dan tribulasi, onak duri dan ranjau di sepanjang perjalanannya. Sesungguhnya Allah akan menguji hakikat diri mereka. Sabda Rasulullah saw :
“Orang yang paling berat diuji ialah para nabi, kemudian yang paling baik selepasnya, kemudian orang yang paling baik selepas itu.” “Sesungguhnya Allah, apabila mengasihi sesuatu kaum, diujinya mereka itu (dengan pelbagai ujian), barangsiapa yang redha dengan ujian itu, maka mereka mendapat keredhaanNya. Barangsiapa yang benci(marah), maka baginya kemurkaan Allah swt.”
Dalam meniti liku-liku perjalanan ini, kalaulah seorang da’ie tidak berada di bawah lindungan Allah, tidak berhubung terus denganNya, tidak bertawakal kepadaNya, tidak berpegang kepada kitabNya dan tidak pula mengikuti sunnah NabiNya, maka sebenarnya ia sedang berada di ambang bencana dan musibah yang besar.


Rasulullah saw telah meramalkan cabaran dan dugaan yang bakal dihadapi oleh para Mukmin, da’ie dan mujahidin(pejuang agama) dijalan Allah.Baginda saw bersabda:
“Orang mukmin sentiasa diambang 5 dugaan yang sukar: mukmin yang dengki kepadanya, munafik yang benci kepadanya, kafir yang memeranginya, syaitan yang menyesatkannya dan nafsu yang sering bertarung untuk mengalahkannya.” (Abu Bakar Ibnu Lal dari Anas)


Dalam menghadapi pertarungan dengan musuh-musuh di atas, sebenarnya para da’ie telah meletakkan diri mereka di dalam medan mujahadah yang terbaik, melebihi mujahadah yang dilakukan oleh mereka yang hanya duduk berzikir dan tidak mengambil tahu permasalahan ummah diluar sana. Inilah peluang kepada mereka untuk membersihkan diri dan mensucikan jiwa. Dalam medan ini, mereka berhadapan dengan kata nista, celaan manusia, kezaliman dan penyiksaan. Ia meruntun sifat sabar, redha, tawakal, menyedari keupayaan diri yang terbatas, sehingga meresap ke dalam jiwa mereka kalimah ‘La haualawala quwwata illa billahi ‘aliyu ‘azim’(Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan apa yang diizinkan oleh Allah). Inilah ‘maqam’ yang dicari oleh para Sufi dalam perjalanan mujahadah mereka.


Dalam medan ini juga, mereka harus berhati-hati dengan tipu daya syaitan dan nafsu. Kekadang apabila dakwah kita diterima orang atau program yang dianjurkan berjaya, kita melihat ia datang dari kebijaksanaan diri kita, hasil perancangan yang baik dan tersusun. Maka hilanglah “Allah” ketika itu, kita nampak diri kita yang hebat. Sifat “ananiyah” yang menjadikan kita syirik khafi dengan Allah swt.


Syaitan pula akan melakukan tipu dayanya secara yang sangat halus dan sudah tentu ia memberi perhatian yang serius kepada para da’ie, musuhnya yang paling utama. Syaitan akan memasukkan perasaan ujub, riya’ dan takabbur ke dalam diri kita. Nafsu pula mungkin akan menolak kita melakukan ‘kebaikan’ sedangkan dalam ‘kebaikan’ tadi, ia dipenuhi dengan kehendak hawa nafsu. Sebab itu, kita merasa seronok apabila ramai yang mendengar ucapan kita dan bersedih apabila sedikit yang memberi perhatian di atas ucapan kita.


Mungkin di malam hari, kita banyak bertahajud dan berzikir sehingga datang perasaan, merasa dirinya lebih baik daripada orang lain. Dan bila berhadapan dengan orang yang didakwahkan (mad’u) yang agak longgar dari sudut amalan syariatnya, maka perasaan yang sama hadir dalam hatinya. Tanpa sedar, ia telah tertipu dengan jarum halus syaitan. Adakah dia merasa terjamin di saat kematiannya nanti yang mana ia akan mati dalam keadaan beriman?


Berhadapan dengan musuh zahir tidaklah sepayah menentang musuh batin. Musuh zahir boleh dilihat dan dihadapi dengan kemantapan fikrah dan strategi. Tetapi musuh batin ini sangat halus dan seni, tanpa ilmu dan jiwa yang suci serta dibimbing oleh guru yang mursyid, dibimbangi segala penat lelahnya di dunia ini tidak diterima Allah akibat penyakit-penyakit tadi.


Oleh itu para da’ie wajib memberi perhatian yang serius terhadap musuh batin ini, melebihi perhatiannya kepada musuh zahirnya. Kemantapan jiwa perlu dipertingkatkan, disucikan dengan jalan zikir dan mujahadah yang istiqamah; bukan sekadar untuk ia merasa sensitif dengan perjalanan hatinya, malah suatu ketika apabila menghadapi ujian yang hebat dalam dakwah dan jihadnya, maka ketika itulah ketahanan dan kekuatan jiwa amat diperlukan.


Wahai para da’ie dan diriku, berhati-hatilah dengan jalan ini. Bukan musuh zahir yang kamu perlukan takutkan, tetapi berhati-hatilah dengan musuh kamu yang ada dalam dirimu. Sesungguhnya, jiwalah yang perlu dimantap dan ditarbiyahkan kerana kekuatan sebenar dalam dakwah dan kehidupan kamu ialah yang ada dalam diri kamu, iaitu jiwa atau roh. Oleh itu, jadilah ahli zikirullah dan pada masa yang sama menjadi mujahidin yang membawa cahaya kepada seluruh manusia.


Ya Allah selamatkanlah kami dari tipudaya musuh kami yang terdiri daripada dunia, manusia, nafsu dan syaitan. Amin