Rabu, 2 September 2009

Anak-anak kita

Hari ini manusia berlumba-lumba untuk menjadi artis dan menjadi glamour. Buktinya program reality di kaca TV telah menganjurkan bermacam-macam activiti seperti Akademi Fantasia, Mentor, Star LG, Gangstar, One Million, Panggung Anak Wayang dan yang terbaru program mencari bakat menyanyi dan berlakon di kalangan kanak-kanak dan remaja agar semua manusia menjadikan artis sebagai idola,role model dan satu cara hidup. Ibu bapa pula menyambut seperti membeli pisang goreng yang panas lalu dengan pantas mendaftar, mengajar dan mendidik anak menjadi pandai dan hebat dalam lakonan dan nyanyian. Hati mereka tersangat sedih jika anak mereka gagal dan juga hati mereka menangis teresak-esak kerana kejayaan dan kemenangan anak-anak. Hati penulis pula berasa sedih memandangkan situasi dunia hari ini mengagungkan artis dan kerjaya sebagai artis lebih daripada Tuhan.


Wahai Ibu bapa, ketahuilah bahwa anak-anak adalah amanah Allah swt yang perlu dijaga, dibela, dididik dan diasuh supaya menjadi hamba Allah yang taat pada Allah swt. Usahlah diajar untuk menjadi pelakon atau penyanyi kerana hakikat kepada tujuan menjadi artis adalah untuk membesarkan diri, glamour, rasa hebat dan tercantik dan terkacak. Perasaan yang hebat dan bangga itu adalah satu penyakit Iblis laknatullah. Pengajaran dan pendidikan ke arah menyuburkan sifat syaitaniah (ujub, riyak, takabur, angkuh, paling hebat) itu akan menghancurkan masa depan anak-anak. Hancur di mana!?bukan di dunia tapi nun di alam bermulanya perpisahan roh dan jasad. Roh mereka yang begitu bersih dan suci jangan kalian mengotorinya dengan pendidikan sedemikian rupa. Bodohnya kita, jika kita mendidik mereka hanya untuk masa depan 20-50 tahun akan datang tanpa menyedari kehidupan di alam akhirat itu lebih kekal abadi.
Firman Allah swt yang bermaksud; “Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah- megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu”.(al-Hadid:20)


Wahai ibubapa, adakah bila anak-anak menjadi artis, lalu terkenal dan kaya raya akan dapat menolong dirinya dan diri kita menghadapi sakratulmaut?adakah mereka dapat meringankan azab kubur dirinya dan diri kita, dapatkah mereka memberi makanan dan bekalan kepada kita di padang mahsyar dan memberi pertolongan dari azab neraka?Allahuakbar…jadilah kita manusia yang cerdik dalam menjaga amanah Allah swt. Amanah itu jika dibuat dengan betul-betul insyaAllah ia akan memberi saham kepada kita di akhirat, jika kita bermain-main dan berseronok dengan amanah itu maka kita akan menjadi manusia yang paling rugi di akhirat. Sedarlah dan insaflah kita.


Wahai hamba-hamba Allah termasuk diriku, untuk melahirkan anak-anak yang faham apa matlamat mereka sebenarnya dilahirkan, mereka perlu kenal apa itu dunia dan alam semesta ini. Untuk mengenali itu semua perlulah anak-anak dikenali akan Tuhannya (Allah). Siapakah Allah…untuk mengenali Allah, mestilah mengenali dirinya terlebih dahulu. Siapakah dirinya? Siapakah diriku?Diriku ialah roh dan jasad ini adalah kenderaan yang digunakan untuk beramal ibadat terhadap Allah swt. Bagaimana hendak mengenali Allah? Belajar ilmu fardu ain iaitu imu tauhid (ilmu sifat 20 bg Allah). Wajib belajar.


Kemudian yang kedua apakah Matlamat aku dihantar ke dunia ini? Dihantar untuk menjadi khalifah di atas muka bumi berserta dengan untuk beribadat kepada Allah swt.
Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud; “Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi."Al-Baqarah:30).
Tidak Aku ciptakan Jin dan manusia itu kecuali untuk beribadat kepada-Ku”. Bukan dicipta untuk menjadi pelepah dan sampah masyarakat dan dunia.


Dan yang ketiga, soalan ke manakah aku akan pergi selepas ini? ke mana aku (roh) akan pergi selepas berpisah dengan jasad?Aku akan ke alam barzakh/kubur. Pergi ke alam “berehat” atau alam “dikerjakan” oleh para malaikat Mungkar dan Nakir. Selepas itu ke mana lagi? Pergi mengadap Allah di padang mahsyar…..dan di sana samada akan dimasukkan ke syurga atau ke neraka. Itulah tempat kembali yang kekal lagi abadi.
Firman Allah yang bermaksud; “Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan”.(At-tahrim:6)


Ibubapa hari ini sanggup menghabiskan beribu-ribu duit semata-mata untuk melihat anak-anak berjaya dalam pelajaran muzik dan akademi. Mereka terlupa yang lebih wajib daripada itu. Mereka terbalik ayat-ayat Allah di dalam Quran yang mengatakan, “wahai orang-orang yang beriman berusaha dan bekerjalah untuk akhiratmu dan jangan kamu lupa dunia kamu”. Allah menyebut akhirat dulu, baru dunia. Manusia menukar ayat tadi bekerjalah sungguh-sungguh untuk dunia kamu tapi jangan lupa akhirat kamu. Secara “total” disongsangkan ayat tadi. Buktinya ialah ibu bapa akan berpesan kepada anaknya; “wahai anakku, belajarlah atau bekerjalah bersungguh-sungguh tapi jangan lupa sembahyang”. Sepatutnya “wahai anakku, sembahyanglah bersungguh-sungguh dan jangan lupa bekerja dan belajar”.
Firman Allah yang bermaksud: “Hai anakku, dirikanlah shalat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).”(Luqman:17)


Apakah kesannya bila diterbalikkan perintah Allah dalam Quran? maka masyarakat akan jadi haru biru,masalah social,masalah kerosakan akidah, penderhaka ibu bapa dan akhirnya kufur kepada Allah swt. Wanauzubillah…. Oleh yang demikian, di kala masa dan waktu yang masih ada ini, tukarkan arah tuju kiblat kita dari bermatlamatkan dunia kepada bermatlamatkan akhirat. Sebelum membawa anak-anak ke arah akhirat, kita perlulah membawa diri kita terlebih dahulu dengan mencari jalan untuk membersihkan diri. Bersungguh-sungguh mencari guru yang boleh mendidik ke jalan keTuhanan. Tanpa guru, kita akan mudah tersesat kerana jalan-jalan menuju Tuhan itu sebanyak kita bernafas dan banyak bercabang. Ini dapat diumpamakan diri kita yang first time untuk pergi meeting di salah satu hotel di Rusia.Tanpa papan tanda serta orang yang akan bawa kita ke hotel tersebut di Rusia, kita akan tersesat ke mana-mana dan silap-silap sesat ke Negara Amerika Syarikat. Justeru itu, betapa penting penunjuk jalan itu (iaitu guru). Siapa yang dapat guru yang sudah sampai ke Tuhan (Makrifatullah), maka dia telah berada dijalan yang lurus, maka dia akan selamat jika dia terus istiqomah/tetap berada bersama guru itu. InsyaAllah swt.
Ubahkan niat dan matlamat hidup kita dan anak-anak…..