Selasa, 1 September 2009

Nikmat Allah swt

Karena itu, ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku.(Al-baqarah:152)
Bersyukur kita kepada Allah kerana telah memberi ruang dan peluang untuk menikmati nikmat hidup di alam dunia sekarang ini. Dengan taufik dan hidayah-Nya,saat ini kita boleh membuka computer dan membaca laman blog ini. Tanpa izin-Nya, siapalah kita untuk hidup,bergerak dan melakukan sesuatu.

Berbincang berkenaan nikmat Allah di atas muka bumi ini, adalah kita tidak akan terhitung dan terkira banyaknya. Lihatlah nikmat yg paling dekat dengan diri kita dan dalam diri kita. Tanpa mata, kita tidak akan boleh melihat,tanpa telinga kita tidak boleh mendengar,tanpa kaki dan tangan kita tidak boleh bergerak dan bekerja. Begitu juga nikmat air dan udara, tanpa air kita akan kehausan dan dalam kekotoran, tanpa udara kita tidak boleh bernafas. Banyaknya nikmat yg Allah kurniakan kepada manusia tanpa dikenakan bayaran. Oleh itu muhasabahlah diri kita yg kerdil,fakir dan hina ini..tanpa nikmat itu semua kita tidak akan wujud di alam dunia ini.
Di dalam nikmat Allah swt yang telah kurniakan itu kepada manusia, masih ada lagi manusia yang tidak bersyukur kpd Allah swt. Masih tidak puas hati dengan apa yg telah diberikan dan sanggup melakukan perkara yang dilarang oleh Allah demi mendapat nikmat yg tidak ada pada dirinya. Zalimnya manusia jika bersifat sebegini. Ketahuilah bahawa, Allah mengurniakan nikmat-nikmat itu adalah sebagai ujian kepada manusia. Allah menguji manusia siapakah paling baik amalannya. Firman Allah swt yg bermaksud; “ Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun,.”(al-Mulk:2)
Nikmat-nikmat Allah swt yg telah diberikan kepada seluruh makhluk-Nya adalah merupakan dalam jaminan Allah swt. Kita tidak perlu risau kerana semua manusia akan dapat dan binatang pun tidak terlepas dari jaminan Allah swt. Kita boleh takrifkan semua nikmat Allah adalah ‘rezeki’. Sedikit atau banyak rezeki yg Allah swt berikan ke atas hamba-Nya bergantung kepada perkiraan Allah swt yg maha Kuasa. Dia mengetahui siapa yang layak dapat banyak dan siapa tidak layak. Namun jaminan Allah berkenaan rezeki sudah termaktud dalam kitabNya. Salah satunya ialah Firman Allah swt yg bermaksud;
Katakanlah: "Siapakan yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan dari bumi?" Katakanlah: "Allah", dan sesungguhnya kami atau kamu (orang-orang musyrik), pasti berada dalam kebenaran atau dalam kesesatan yang nyata.(Saba’-24)
Jadi sedarlah dan insaflah diri kita bahawa semuanya milik Allah swt di dalam bab nikmat (rezeki) Allah. Jangan kita ada rasa ragu dan waswas dengan jaminan Allah swt. Jika penyakit was-was / ragu ada, maka IMAN kita boleh rosak dan terlucut.
Ketahuilah bahasanya Nikmat Iman dan Islam adalah nikmat yang paling besar dan paling berharga di dunia ini. Nikmat Iman dan Islam tiada dalam jaminan dari Allah swt. Kita perlu berusaha dan bermujahadah untuk memperolehinya. Tiada siapa pun di dunia ini boleh menjamin dirinya boleh mati dalam beriman kepada Allah swt. Mati dalam kebaikan dan beriman kepada Allah bukan perkara yang mudah sebagaimana tayangan drama atau movie di kaca televisyen. Saya masih teringat akan satu cerita wali Allah di mana keadaan hidupnya setiap masa dan saat beribadat kepada Tuhan, dan pada masa yang sama beliau sentiasa menangis. Lalu berkata para muridnya. “wahai guruku, kenapa dirimu siang dan malam sentiasa menangis sedangkan dirimu siang dan malam sentiasa beribadat kepada Allah swt?. Berkata gurunya kepada muridnya, aku tidak takut akan azab kubur dan azab akhirat tetapi yang aku takut lalu menangis adalah kerana takut aku mati dalam tidak beriman kepada Allah swt (tercabut iman ketika sakratulmaut)”. Inilah perangai dan perasaan para wali Allah swt. Dalam keadaan ibadah siang dan malam pun masih takut dan harap dengan Allah swt agar mati dalam keadaan beriman kpd Allah. Berkata Abu Darda ra;“ barangsiapa yang tidak pernah berfikir dalam saat hidupnya dia mati beriman atau pun tidak, dia akan mati tidak beriman.” Wanauzubillahiminzalik (minta jauh).
Oleh yang demikian, siapa kita yang boleh beri jaminan untuk mati dalam beriman? mereka yang bergelar para kekasih Allah pun berfikir siang dan malam tentang iman. Justeru itu, janganlah angkuh dan sombong dgn ilmu, amal, solat dan zikir kita. Ini semua belum menjamin kita mati dalam keadaan beriman. Amalan-amalan kebaikan atau ibadat yang kita buat adalah untuk menagih belas ehsan dan rahmat Allah swt. Tanpa rahmat-Nya, kita semua tidak selamat. Inilah pesanan guru saya….carilah rahmat-Nya dengan melakukan semua amal ibadat dan jadikanlah diri kita orang yang sentiasa fakir dan miskin dihadapan Allah. Ibarat sifat rendah diri/tawaduk kita dengan Allah swt ialah hanya bekas yg kosong sahaja dapat diisi sesuatu. Bekas yang sudah dipenuhi dengan isi benda, tidak akan boleh lagi menerima isian yang baru. Jika diisi juga maka terkeluarlah isi yang baru tadi. Kita perlu buang sifat sombong,takabur dan ujub dalam hati kita. Barulah akan ada pertolongan Allah swt dalam kita mendapat rahmat-Nya dan mendapat jaminan mati dalam kebaikan. Mudah-mudahan Allah berikan jalan kepada kita untuk mendapat makrifatullah (mengenal Allah) secara haqqulyakin agar iman/keyakinan kita kpd Allah tidak tercabut ketika sakratulmaut. Amin.