Rabu, 2 September 2009

Pendidikan Hati - Pendakwah

Salam perjuangan kepada hamba-hamba Allah yang memperjuangkan Agama Allah swt.

Ketahuilah olehmu, berjuang meninggikan agama Allah itu adalah suatu pekerjaan yang mulia lagi agung kerana itulah kerja para Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul. Tidak ada kerja yang lebih mulia melainkan membawa manusia kepada Tuhannya, seperti membawa kekasih bertemu kekasih, membawa anak bertemu ayahnya, membawa isteri bertemu suaminya yang telah lama terpisah kerana kejahilan dan keduniaan.


Rasul-rasul diturunkan oleh Allah swt ke dunia ini adalah kerana untuk membawa manusia mengenali diri dan mengenali Tuhan yang Maha Esa. Mereka mengingatkan semula seluruh manusia agar mengenal Allah swt (makrifatullah) dan mengajar bagaimana untuk mengenal Allah swt. Tanpa makrifatullah, manusia akan terus berada di dalam kejahilan dan seterusnya sesat hingga berlakunya kejadian-kejadian dosa dan maksiat. Mereka mengingatkan kembali perbicaraan hamba dengan Allah di alam arwah (ruh) suatu masa dahulu;
Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): "Bukankah Aku ini Tuhanmu?" Mereka menjawab: "Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi.( Al A'raaf-172).

Ruh manusia sebenarnya atau hakikatnya telah mengenal Allah dan telah ada perjanjian dengan Allah swt. Kedatangan Pesuruh Allah adalah untuk mengingatkan semula dan membersihkan semula hati yang sudah kotor dan hitam supaya kembali bercahaya dan bersinar.

Wahai pejuang agama Allah swt, turutilah dakwah dan tarbiyah sebagaimana Rasulullah SAW melaluinya. Ikutilah jejak langkah Rasulullah saw nescaya kamu tidak akan tersasar daripada matlamat asal. Berjuang agama mesti bermula berjuang dari dalam diri. Sebagaimana Rasululullah lakukan di Mekah iaitu kenalkan mereka akan Tauhid dan di Madinah dengan Syariat. Ikutilah sirah atau perjalanan Nabi di didik dan ditarbiyah oleh Allah. Dalam kisah Isra’ mikraj Rasulullah saw, di situ banyak rahsia yang perlu difahami dan diikuti agar hati dan diri mendapat apa Rasulullah perolehi. Manusia rosak dan kacau bilau adalah disebabkan keimanan. Keimanan yang amat nipis atau tiada langsung terhadap Allah yang mencipta dirinya. Keimanan/keyakinan ini adalah umpama suatu tali tambatan yang berhubung terus dengan Allah swt. Tanpa tali ini, manusia akan terkapai-kapai dan lemas dengan dunia yang diibaratkan seperti lautan yang kadangkala tenang airnya dan kadangkala bergelora. Tanpa kapal yang besar dan kuat, mereka tengelam pada bila-bila masa.

Didiklah dan perbaikilah hati mereka…hati adalah Raja. Bersabda Nabi SAW yang bermaksud; Dalam diri manusia itu ada seketul daging yg kalau baik maka baiklah seluruh diri manusia,kalau ia rosak maka rosaklah seluruh diri manusia.Ketahuilah seketul daging itu adalah hati (rumah kpd Roh)”. Jika kita hanya memberi ilmu..ilmu hanya berada di akal, dan ini belum boleh membuat seseorang itu dapat beramal kerana rajanya berada di hati. Sebab itu Rasulullah menekankan pendidikan hati untuk membaiki manusia dari jahil kpd alim. Bila hati sudah merasai ilmu yang diberi maka bermulalah raja memerintah kerajaan (anggota badan) untuk dengan perkara-perkara yang diperintahkan oleh Allah swt dan menjauhi larangan-Nya. Berapa ramai pelajar-pelajar pondok atau agama atau university aliran agama atau semua yang belajar subjek agama bila tamat belajar mereka menjadi teruk dan lebih teruk dari mereka yang langsung tidak belajar agama. Bila ditanya apakah mereka tidak belajar itu semua?maka mereka akan menjawab sudah belajar Cuma sukar diamalkan. Ilmu hanya semata-mata berada di akal namun belum jatuh lagi ke hati.

Wahai pejuang agama,
Apabila hati belum makrifatullah, bagaimana agama boleh berada dalam diri? macamana hendak mengamalkan ajaran agama jika hati belum mengenali Tuhan yang memiliki agama? Syariat atau Hukum Allah swt adalah amalan agama. Melaksanakan syariat tanpa tidak mengetahui dan merasai siapa pemilik syariat adalah lambang kejahilan kita.

Turutilah para ulama terdahulu bagaimana system pendidikan yang telah diamalkan oleh mereka, berjaya membawa Islam keseluruh dunia (SILA RUJUK laman web http://kembarasalik.wordpress.com/ untuk siapa mereka dan apa yang mereka telah buat dan belajar sehingga Allah muliakan mereka sampai ke hari ini. Pendidikan hati atau nafsu perlunya seorang guru yg sudah arif dengan nafsu. InsyaAllah, Allah akan memberi pertolongan kepadamu sebagai pejuang. Hidup biarlah mulia di sisi Allah..mati biarlah syahid…amin.